Sepasang telekung berwarna merah jambu menjadi kenangan pemberian terakhir pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di New Zealand. Allahyarham Megat Ashman Aqif, 21, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand pada 30 Mac mengirimkan hadiah istimewa itu sempena hari jadi ibunya, Noor Aishah Abdul Latif, 49, pada 12 Mac lalu.
Menurut Noor Aishah, pemberian itu sama sekali tidak dijangka kerana arwah sebelum ini tidak pernah menyebut mahu membelikannya telekung.
“Saya dah pakai pun telekung baru itu untuk solat dan tarawih. Cantik sangat telekungnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu, Langkap dekat sini pada Ahad.
Anak Yang Berdikari, Kirim Duit Belanja Hasil Kerja Sambilan
Noor Aishah berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu seorang yang suka berdikari hingga sanggup bekerja sambilan setiap kali cuti semester di sana bagi menampung sedikit sebanyak kos pembelajarannya.
“Baru ini dia beritahu, Aqif ada kirim duit sikit dekat ibu. Saya kata kenapa Aqif bagi dekat ibu, sepatutnya ibu yang bagi pada Aqif.
“Dia kata tidak mengapa, dia lakukan begitu kerana mahu berkat dan doa seorang ibu.
Artikel berkaitan: Nahas 5 Sahabat Rentung Disahkan Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)
Saksi Menggigil Tengok Jenazah Pelajar Kolej Terlibat Kemalangan Ngeri, Kereta Hampir Terputus Dua
Naik Motosikal BARU Dibeli Bapa, Pelajar Meninggal Akibat Kereta Buat Pusingan U
Kali Terakhir Berhubung Menerusi Panggilan Video WhatsApp
Suri rumah itu memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada Selasa lalu menerusi panggilan video di WhatsApp.
Jelasnya, arwah memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan akan menduduki peperiksaan pada Khamis dan meminta agar mendoakannya.
“Arwah ada menyatakan mahu pulang ke Malaysia untuk beraya bersama tetapi saya nasihatinya supaya tidak berbuat demikian memandangkan baru sahaja berada di sana,” katanya.
Difahamkan Megat Ashman Aqif berkonvoi bersama dua kenderaan lain yang terdiri rakan-rakannya sebelum kenderaan yang dipandunya di belakang sekali terpisah dari kumpulan konvoi. Rupa-rupanya kenderaan arwah telah terlibat dalam kemalangan, difahamkan berlanggar dengan sebuah motosikal dan terbabas.
Megat Ashman Aqif yang baru menyambut hari lahir pada 8 Mac lepas seorang yang periang dan akan memberitahu setiap kali keluar ke mana-mana sejak belajar di New Zealand pada Julai tahun lepas.
Allahyarham juga bakal menjalani praktikal di sebuah firma akaun di sana. Allahyarham juga pernah memberitahu dia tidak akan balik ke tanah air sampai habis belajar. Namun kita hanya merancang, Allah yang menentukan.
Dua Pelajar Malaysia Maut, Tiga Cedera
Pada Sabtu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.
Menurut kenyataan itu, nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dengan tiga mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.
Pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.
Mangsa yang cedera pula dikenal pasti sebagai Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut daripada universiti sama sementara Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.
Sumber: Sinar Harian dan Sinar Harian 2
Baca lagi: Motosikal Hilang Kawalan Selepas Bergesel Treler, Pelajar Kolej Meninggal Di Tempat Kejadian
Hilang 3 Beradik Sekelip Mata Kemalangan Maut, Pelajar Tahfiz Pelik Adik Beradik Tak Muncul