Syukur ke hadrat Allah, seorang pelajar Malaysia di Mesir yang disahkan hidap meningitis, sempat jumpa mak ayah sebelum meninggal dunia di sana.
Pada mulanya gadis ini disyaki dijangkiti Covid-19 namun selepas melalui pemeriksaan, keputusannya negatif. Rupanya gadis yang bernama Siti Aishah disahkan mengidap meningitis.
Seorang penuntut Malaysia di Alexandria University, Mesir sempat bertemu ibu dan ayahnya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 pagi waktu tempatan semalam di Hospital Iskandariah.
Siti Aishah Mohd Dani, 20, yang merupakan tahun ketiga jurusan perubatan pergigian sebelum itu menerima rawatan selama sembilan hari selepas disahkan menghidap meningitis iaitu jangkitan kuman dalam otak.
Abangnya, Muhammad Afiq, 29, berkata, Siti Aishah yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik sebelum itu disyaki dijangkiti Covid-19 namun selepas menjalani kuarantin dan beberapa siri ujian, adiknya disahkan negatif.
Namun, katanya, Siti Aishah kemudiannya mengadu sakit dada dan pening kepala sebelum rakan menghantarnya ke hospital.
Menurutnya, ayah mereka, Mohd Dani Md Ali, 59, dan ibu, Nabiha Omar, 56, ditemani dua adik lelakinya berlepas ke Kaherah, Mesir pada awal pagi 26 November lalu dan sempat bertemu dengan Siti Aishah pada sebelah petang.
“Doktor memaklumkan pada pagi Khamis, Siti Aishah berdepan dengan serangan jantung tetapi kembali stabil selepas diberikan rawatan kecemasan.
“Walaupun tidak sedar, adik saya tetap kuat mungkin untuk menunggu ketibaan ibu dan ayah. Alhamdulillah ibu dan ayah sempat jumpa walaupun sebelum itu doktor memaklumkan tiada harapan lagi buatnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Muhammad Afiq berkata, jenazah Siti Aishah dikebumikan di Perkuburan El Manara, Iskandariah Mesir.
Baca Juga Di sini:
Tak Dapat Online, Guru Masuk Kampung, Redah Hutan Hantar Lembaran Kerja Pelajar
Walau Seorang Saja Pelajar Sambut Deepavali, Cikgu Nancy Pakai Sari Dalam Google Meet
Bercerita mengenai peribadi satu-satunya adik perempuan dalam keluarganya, Muhammad Afiq berkata, Siti Aishah merupakan seorang pelajar yang cemerlang.
“Di universiti juga, dia merupakan antara pelajar yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang. Dia juga merupakan adik kesayangan kami kerana dialah satu-satunya adik perempuan yang kami ada.
“Kami reda dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur, ibu dan ayah dapat bertemu dengan Siti Aishah sebelum dia dikebumikan,” katanya.
MW: Semoga keluarga ini tabah menghadapi ujian kehilangan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Di samping itu semoga Allah menempatkan allahyarhamah Siti Aishah di kalangan para solihin dan mengampunkan dosa-dosanya. Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian Online
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita