Walau semoden mana pun satu-satu tamadun itu, perihal sihir mahupun unsur mistik takkan pernah dapat lari dalam diri satu-satu masyarakat itu. Percayalah! perkara menakutkan ini sentiasa wujud dan boleh jadi berlegar-legar di sekeliling kita tanpa kita sedari. Bagi yang berniaga, ada masanya tak dapat lari dari penangan sihir perniagaan dengan niat mahu menyekat rezeki seseorang.
Perkongsian daripada Perubatan Tradisional Alternatif, menyatakan penyakit hasad dan dengki merupakan salah satu penyakit jiwa dalam masyarakat kita. Dan ianya perlu diubah secepat mungkin. Kerana, semua ini akhirnya membawa kepada berlakunya ilmu hitam atau dikenali sihir perniagaan.
Perawat alternatif suami isteri ini menggunakan kaedah Islam sepenuhnya. Catatan yang mereka zahirkan ini berdasarkan pengalaman pesakit-pesakitnya yang terdiri dari saudara Muslim berkecimpung dalam bidang perniagaan. Terutama mereka yang berniaga di bulan Ramadhan iaitu di bazar Ramadhan.
Hati-hati Jangan Sampai Terkena Sihir Perniagaan
Sihir adalah satu perbuatan yang bertujuan menyakiti atau mempengaruhi badan, akal atau hati orang yang disihir yang dilakukan di luar dari hukum alam bagi menjatuhkan orang lain bagi mencapai kepentingan diri sendiri. Dalam istilah dunia Melayu, sihir digelar ilmu hitam dan berkait rapat dengan pertolongan dan hubungan dengan jin.
Sihir perniagaan biasanya digunakan pada 2 perkara atau salah satu daripadanya iaitu pada tempat perniagaan atau pada pemilik perniagaan. So, sentiasalah berhati-hati jika anda seorang peniaga. Diri sendiri mesti kuat dan sentiasalah memerhati tempat perniagaan anda.
Kenal Pasti Tanda Ini Dalam Diri, Adakah Sudah Terkena Sihir Perniagaan
Tanda terkena sihir perniagaan:
1. Pada Pemilik Perniagaaan:
Sering sakit kepala, berasa malas bekerja tanpa sebab, kurang motivasi, pertelingkahan sering berlaku antara suami isteri tanpa sebab, sakit yang sukar dirawat cara pengubatan moden, selalu bermimpi ular, orang yang telah meninggal dunia, dan mimpi yang aneh-aneh.
2. Pada Premis Perniagaan:
Pekerja-pekerja yang berkerja dalam sesebuah perniagaan sering bertengkar, bergaduh dan kerap berhenti, terdengar bisikan-bisikan dan juga kerap kali terlihat bayangan lembaga-lembaga yang menakutkan, sering terjumpa duit syling atau wang kertas tanpa diketahui sumbernya dan juga bungkusan-bungkusan yang aneh serta pasir atau kemenyan yang ditaburkan di lantai premis.
Kadang kala premis anda menjadi ghaib dari pandangan pelangan dan kerap kali ada benda asing dalam periuk nasi atau di hidangan makan pelanggan.
Sihir perniagaan dan sihir-sihir yang lain apabila semakin dibiarkan akan semakin cepat merosakkan dan membinasakan anda. Sekiranya ada sahaja tanda-tanda ini, anda patut ragu dan mengambil tindakan pantas untuk menghentikannya dengan jalan berubat secara Islam.
Cara Cegah Dan Ubati Penangan Sihir Perniagaan
1. Cegah dan ubatilah dengan solat 5 waktu. Bagi peniaga, sibuk walau bagaimana sibuk pun, solat jangan diabaikan. Barangsiapa yang abaikan solatnya, Allah abaikan urusannya. Jangan kita hanya solat ikut waktu. Waktu senang, kita tinggalkan atau abaikan, waktu susah, baru kita mencari tikar sejadah yang telah lama ditinggalkan. Walaupun anda peniaga, tetapi jangan jadikan SOLAT sebagai bahan niaga antara anda dan Tuhan. Anda pasti menyesal jika melakukannya.
Firman Allah SWT. “Dan mintalah oleh kamu akan pertolongan (kepada Allah) melalui jalan solat dan sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”
2. Bersedekahlah. Orang yang rajin bersedekah dengan keuntungan yang didapatinya, insyaallah akan dijauhkan dari segala perkara buruk yang tidak diingininya. Nabi menjanjikan bahawa tiada bala yang dapat turun kepada orang yang rajin bersedekah kerana Allah. Memberilah kepada anak yatim dan orang-orang susah, nescaya Allah lepaskan anda dari kesusahan di dunia ini lagi.
Sabda Nabi SAW,”Barangsiapa yang membantu saudaranya keluar dari kesusahan dan keluh-kesah, nescaya Allah akan mengeluarkannya dari kesusahan dan keluh-kesahnya di Hari Akhirat”.
3. Bacalah setiap kali setelah solat 5 waktu:
Al-Fatihah ( 1 kali )
3 Qul ( 1 kali )
Ayat Kursi ( 1 kali )
Ayat 1000 Dinar ( 1 kali )
Bacaan zikir harian: “La ilaha illah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumit wahuwa ‘ala kulli syai’in Qodir ” ( 20 kali )
4. Jangan jadikan ayat al-Quran sebagai alat gantungan sahaja di premis perniagaan anda kerana itu adalah tanda penghinaan kepada ayat-ayat Allah SWT jika anda tidak mengamalkannya. Jika digantung dengan niat untuk mengamalkannya atau memperingatkan diri sendiri serta orang lain untuk mengamalkannya, maka diperbolehkan.
5. Sentiasa memperdengarkan bacaan al-Quran di premis perniagaan anda. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan perkara yang sia-sia sahaja daripada berlaku, bahkan dapat juga memperingatkan diri kita bahawa kita beserta perniagaan kita merupakan hamba dan milik Allah semata-mata dan bisnes adalah antara tali penghubung antara kita dan DIA.
Sumber/Foto : Perubatan Tradisional Alternatif
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI