Peguam syarie kongsi isteri kena penjara 7 hari, “lebih 80 kali sengaja ubah tempat pertemuan bekas suami & anak. Kes seorang ibu yang di penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana dengan sengaja tidak beri kebenaran kepada bekas suami bertemu anak agak memeranjatkan.
Ini kerana kita biasa mendengar ada lelaki yang di penjara kerana gagal membayar nafkah anak tetapi kali ini ia melibatkan seorang isteri yang didapati lebih 80 kali dengan sengaja mengubah tempat pertemuan anak dan bapanya.
Ikuti perkongsian dari peguam syarie, Fahmi Ramli dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates mengenai hal ini.
Penjara kerana anak
Pada asalnya, saya bercadang untuk kunci mulut terlebih dahulu sehinggalah ada fakta kes yang jelas diketahui. Sebab keadilan ini mesti datang dengan keterangan dan pembuktian.
Ramai orang kecoh dan menghentam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah apabila memenjarakan seorang ibu yang telah melanggar perintah Mahkamah berkaitan dengan hak jagaan anak.
Ramai yang mencemuh katanya mahkamah zalim, bapa zalim dan sampai satu tahap ada yang mengkritik Islam itu zalim. Nauzubillah.
Percayalah, Islam tak pernah zalim.
Yang zalim apabila kita tidak mengikut apa yang telah ditentukan syarak dan undang-undang serta tidak meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya.
Saya menyeru untuk semua follower yang membaca untuk bertenang, dan nilaikan sendiri dengan akal yang waras.
Apakah perintah asal berkaitan jagaan anak?
Bagi suami isteri yang bercerai, salah satu isu yang bakal timbul di Mahkamah adalah berkaitan dengan hak jagaan anak. Semua orang yang selalu saya terangkan akan faham, saya selalu cakap, bab jagaan anak adalah bab kebajikan anak.
Dan keutamaan biasanya diberikan kepada ibu kerana hak jagaan disisi undang-undang dan syarak akan diutamakan kepada ibu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Tapi, yang paling baik bila ada pertikaian berkaitan hak jagaan anak adalah diputuskan melalui Persetujuan. Kes pihak-pihak adalah Perintah Jagaan yang diputuskan bukan melalui paksaan Mahkamah, tetapi melalui Persetujuan pihak-pihak.
Maka, bekas suami dan isteri, sangat perlu menghormati perjanjian apatah lagi bila ia melibatkan Perintah Mahkamah.
Apabila sesuatu perkara itu telah menjadi Perintah Persetujuan ia tetap dikira perintah Mahkamah. Setiap pihak-pihak yang terlibat sangat perlu mematuhi perintah.
Jika salah satu pihak melanggar perintah, ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Dan pihak yang dianiaya tersebut, berhak, untuk memohon supaya perintah tersebut dikuatkuasakan.
Jika, bekas isteri atau suami rasa terbeban dengan perintah tersebut, mereka sepatutnya boleh membuat tuntutan Ubah Perintah di Mahkamah yang sama keluarkan perintah tersebut.
Tidak. Mahkamah Syariahlah yang paling kurang bagi penjara meskipun melibatkan kes-kes jenayah syariah yang walaupun dah termaktub setiap kesalahan yang ada hukuman penjara.
Apatah lagi nak hukum penjara keatas wanita yang bergelar ibu dan isu yang berkaitan dengan Perintah Hak Jagaan Anak.
Permulaan kepada kes Komital (Hukuman Penjara) perlu bermula dengan satu Permohonan di Mahkamah Syariah. Ia mesti dibuktikan sekeras-kerasnya apakah pelanggaran yang berlaku.
Mengikut fakta, si bapa ini diperintahkan untuk berjumpa di Kuala Lumpur, tapi si ibu dengan sengaja mengubah lokasi ke Kajang iaitu satu tempat yang bertentangan dengan perintah yang mereka persetujui.
Ini bukan kali pertama. Lebih daripada 80 kali perkara tersebut berlaku seorang bapa dinafikan haknya untuk berjumpa dengan anak-anak.
Mahkamah tidak zalim. Mahkamah beri peluang kepada si ibu untuk bela diri kenapa berbuat demikian apabila mengeluarkan satu Notis Tunjuk Sebab pada 17 Januari 2019. Lebih daripada 20 orang Peguam Syarie bertukar ganti untuk bela si ibu.
Melalui perbicaraan dan keputusan Yang Arif Hakim, pihak si ibu telah gagal membuktikan alasan yang munasabah dan ada pengakuan sendiri si ibu yang dia ingkar perintah tersebut dengan alasan yang tidak munasabah.
Pengalaman kes saya sendiri?
Dahulu, saya ada satu kes yang lebih teruk berlaku kepada si ibu. Mahkamah Tinggi Syariah telah putuskan hak jagaan kepada si ibu dan si bapa diberikan hak untuk melawat pada bila-bila masa yang munasabah.
Tapi, perintah ini jadi sia-sia apabila anak-anak dibawa lari dan disembunyikan tanpa jejak. Jenuh saya naik turun Mahkamah untuk dapatkan pula Perintah Penguatkuasaan untuk dapatkan kerjasama pihak berkuasa.
Tapi, masih lagi belum berjaya.
Hinggalah ke peringkat Akhir, kita dapat menjejaki si bapa, saya segera dapatkan Notis Tunjuk Sebab namun banyak halangan yang masih dilalui hanya untuk dapatkan keadilan serta jagaan anak tersebut.
Kes ini makan masa lebih daripada 3 tahun. Si ibu dinafikan haknya di Mahkamah.
Namun, pada tahun keempat, akhirnya berjaya dibawa si bapa ke Mahkamah dan kuasa Allah pada ketika itu, anak-anak juga dibawa ke Mahkamah.
Adakah Mahkamah terus jatuhkan hukuman penjara? Tidak. Mahkamah tegaskan dan berikan amaran sekeras-kerasnya kepada si bapa supaya Jangan Hina Perintah Mahkamah.
Dan si ibu juga memaafkan peristiwa lalu. Si bapa akhirnya dilepaskan dari segala waran tangkap sebab keadilan telah diperoleh.
Kesimpulan,
Masih kejamkah Mahkamah Syariah apabila memerintahkan penjara 7 hari kerana pelanggaran perintah melalui perbuatan sendiri?
Saya selalu berpesan, seorang bapa, jika jahat atau teruk macam mana sekalipun, selagi dia adalah Bapa Kandung, selagi itu, dia berhak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Begitu juga dengan si ibu, teruk macam mana sekalipun, bab jagaan anak, ibu tetap ada hak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Islam tidak pernah zalim. Islam diturunkan untuk membela hak Lelaki dan Wanita. Penjara bukan untuk lelaki sahaja. Hukuman dalam Islam juga bukan untuk lelaki semata-mata.
Berlapang dada. Fahamkan dahulu asas kes sesuatu. Baru menilai. Hormatilah undang-undang, apatah lagi perjanjian yang kita lakukan sendiri.
Islam Adil Untuk Semua.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Terkahwin Sesama Adik Beradik, Peguam Syarie Dedah Anak Dalam Kandungan Dikategorikan Anak Sah Taraf Tetapi…
Lelaki Kalau Ajak Poligami Tapi Nak Nikah Di Siam, Peguam Syarie Nasihat Wanita Tinggalkan Dia
Suami Panas Baran, Isteri Jangan Berdiam Diri, Peguam Syarie Beri Saranan Apa Nak Buat