Peguam Syarie Dedah Fakta Komunikasi Penting Dalam Rumah Tangga, Kunci Bahagia Suami Isteri
Komunikasi adalah salah satu kunci yang paling asas dalam sesebuah perkahwinan. Michele Weiner Davis dalam bukunya The Sex-Starved Marriage mengatakan bahawa pasangan yang memiliki kemahiran berkomunikasi boleh belajar dan menangani perbezaan mereka dengan lebih baik.
Banyak perkahwinan gagal separuh jalan kerana kurangnya komunikasi antara suami dan isteri. Bagaimanapun bukan semua orang mampu berkomunikasi dengan baik dengan pasangan.
Menurut peguam syarie dari Syazmee Sapian And Associates, komunikasi dalam rumah tangga adalah perkara yang sangat penting. Pasangan yang bahagia adalah pasangan yang sangat menjaga dan mementingkan komunikasi dalam rumah tangga mereka.
Tidak sedikit suami isteri yang komunikasinya tidak lancar kerana tidak tahu cara berkomunikasi dengan betul. Dengan mengetahui kepentingan berkomunikasi dalam perkahwinan, anda boleh mula mempraktikkan kebolehan ini agar perkahwinan berkekalan.
“Mustahil bagi sesebuah rumah tangga itu tidak timbul konflik atau permasalahan. Bak kata Tan Sri P.Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kebanyakan pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga sehingga ingin bercerai, apabila diselidik kebanyakan puncanya adalah kegagalan dalam komunikasi.
“Enggan berkomunikasi, putus asa dengan komunikasi, jalan penyelesaian berpisah. Ini yang banyak berlaku. Apabila ada masalah, diam atau lari daripada masalah dan tidak mahu berbincang atau mencari jalan bersama. Tidak mahu saling menasihati,” katanya.
Jelas beliau lagi, ada juga yang sudah berbincang dan sudah puas menasihati tetapi pasangan tidak memberikan kerjasama menyebabkan mereka merasa putus asa untuk berkomunikasi. Jalan singkat, berpisah. Walhal komunikasi dalam rumah tangga ini ada peringkat-peringkatnya. Komunikasi secara sendiri, komunikasi melalui keluarga dan komunikasi melalui orang berautoriti.
“Kalau ada yang datang mahu bercerai, saya akan bantu selidik cari puncanya terlebih dahulu. Sudah tahu punca, akan tanya pada klien sama ada sudah berbincang dengan pasangan atau belum.
“Jika belum tahu puncanya, usahakan dahulu. Jika sudah tahu tapi tiada respon positif daripada pasangan, saya akan minta klien untuk merujuk dan meminta bantuan keluarga terdekat pula untuk berkomunikasi dengan pasangan,” katanya.
Jelas Syazmee lagi, jika masalah komunikasi masih tidak boleh diselesaikan maka usahakan pula untuk rujuk kepada bahagian kauseling di pejabat agama atau pun peguam untuk berkomunikasi dengan pasangan. Selepas daripada keseluruhan peringkat ini jika tiada jalan keluar daripada konflik, maka barulah difikirkan tentang perpisahan.
“Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes, apabila mengikut langkah komunikasi ini, banyak sahaja peluang dan ruang untuk menyelamatkan rumah tangga daripada berpisah. Apa yang penting adalah komunikasi,” jelasnya,
Kita berkomunikasi bukan hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah. Tujuan berkomunikasi ialah bagi mewujudkan dan mencipta suasana bahagia yang boleh menghindarkan rumah tangga daripada masalah.
Sumber: Syazmee Sapian
Kredit foto (top image): Pexels
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI