Masalah keputihan boleh membuatkan diri wanita rasa tidak selesa.Apatah lagi ia mampu mengakibatkan kegatalan, kemerahan dan meninggalkan bau yang tidak menyenangkan pada bahagian intim ni.Jika tidak dirawat ia memang boleh menjejaskan keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang sekeliling apatah lagi bersama suami tersayang.
Sebenarnya, selain melakukan rawatan tradisonal masalah keputihan ini juga boleh dirawat dengan ubat-ubatan tertentu. Menurut perkongsian oleh Pegawai Farmasi, Faiz Akmal Mfa penggunaan Ubat Pessary (ubat antikulat) ini adalah khusus untuk kaum wanita mengatasi masalah keputihan dan kegatalan pada bahagian intim.
UBAT PESSARY VAGINA
Ini adalah ubat antifungal atau anti-kulat. Khas untuk kaum WANITA sahaja. Perlu dimasukkan ke dalam VAGINA dan ia akan cair dalam suhu badan lalu membebaskan bahan ubat secara perlahan-lahan.
Ubat ini berfungsi untuk merawat masalah keputihan oleh sebab jangkitan kulat pada kawasan vagina.Keputihan akan menyebabkan rasa gatal dan kemaluan akan membengkak dan menjadi merah.
Ubat ini bertindak untuk mengurangkan rasa kegatalan pada kawasan vagina, bertindak untuk mengurangkan pertumbuhan kulat, sekaligus mengelakkan risiko jangkitan.
Ads
CARA GUNA: (BOLEH RUJUK PADA GAMBAR)
1.Guna pada waktu malam sebelum tidur
2.Pastikan tangan dan vagina bersih sebersih-bersihnya
3.Keluarkan batang plastik berwarna putih dan biji ubat dari bungkusan kotak.
4.Perlahan-lahan, tarik plunger (A) sampai habis.
5.Koyakkan bungkusan aluminium ubat itu.
Ads
6.Masukkan biji ubat itu ke dalam aplikator (B)
7.Baring atau sandar pada dinding dengan membuka kedua-dua belah kaki secara luas (dalam posisi ingin bersalin)
8.Masukkan aplikator (B) yang sudah pun berisi ubat itu ke dalam vagina sedalam yang boleh
9.Tekan plunger (A) sampai habis supaya ubat itu dalam masuk ke dalam vagina dengan sedalam-dalamnya.
10.Keluarkan batang plastik berwarna putih itu dari vagina
11.Basuh tangan sekali lagi dengan sebersih-bersihnya.
12.Basuh batang plastik berwarna putih itu dengan menggunakan air suam jika berniat untuk menyimpannya semula.
BAGITAHU PADA DOKTOR ATAU FARMASI JIKA:
Ada alahan pada ubat / bahan ubat tersebut.
Ambik ubat yang sama, tetapi dengan kaedah ambik ubat yang berbeza
Ada datang bulan (period).
Mengandung.
SIMPAN DI TEMPAT YANG SELAMAT DAN JAUH DARI BUDAK-BUDAK, TEMPAT KENA REDUP DAN JAUH DARI CAHAYA DAN BAHANG
Ads
TIPS: (BOLEH RUJUK PADA GAMBAR)
Jangan guna ubat yang dah luput.
Jangan pegang biji ubat terlalu lama kat tangan, kerana ubat senang cair apabila dipegang dengan tangan.
Anda mungkin tak selesa selepas gunakan ubat itu, tetapi kesan itu akan beransur reda selepas beberapa minit
Anda dinasihatkan gunakan PANTY LINER.
Kalau anda mengandung, GUNAKAN JARI anda sahaja untuk masukkan ubat itu ke dalam vagina, TAK PAYAH guna batang plastik berwarna putih itu
Elakkan dari ‘bersama’ dengan pasangan sepanjang rawatan berlangsung
Elakkan juga dari guna TAMPON sepanjang rawatan berlangsung
Ubat ini TIDAK BOLEH DIMAKAN.
Semoga dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat membantu orang di luar sana untuk lebih mengenali ubat yang sinonim dengan kaum hawa ini.
Sekian,
Faiz Akmal Mfa,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor
Dia pasrah dan reda ditakdirkan berkongsi kasih dengan wanita lain. Malah, sebagai isteri muda, dia ‘sedar diri’ dan menjaga hubungan dengan madu, demi menjaga keharmonian rumah tangga.
Namun kini, timbul dilema baru apabila anak kandungnya menjalinkan hubungan cinta dengan anak angkat madunya. Patutkah dia merestui atau melarang saja?
Luahan hati ini wanita ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan memiliki tiga orang cahaya mata. Masing-masing berusia 25, 23,19 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya merupakan isteri kedua.
Perkahwinan saya dan suami atas kebenaran isteri pertama suami. Saya sedar bukan mudah untuk seorang wanita berkongsi kasih dan sebab itu juga saya sentiasa mengingatkan diri agar menjaga kelakuan supaya tidak timbul pertelingkahan bersama isteri pertama.
Tanpa Zuriat
Suami mengahwini saya setelah perkahwinannya bersama isteri pertama tidak dikurniakan cahaya mata setelah lima tahun berkahwin. Kata suami, isteri pertama menghadapi sedikit masalah dan tak mampu mengandung. Saya pula tak pernah bertanya lebih lanjut demi menghormati perasaan suami.
Mungkin sebab itu juga madu dengan rela mengizinkan suami berkahwin lagi demi untuk mendapatkan zuriat. Selain itu mereka turut memelihara sepasang anak angkat, yang merupakan anak saudara madu saya sendiri.
Walau pun hubungan kami tidak rapat dan sangat jarang berjumpa, tapi menghormati ‘privacy’ masing-masing sejak awal perkahwinan dulu lagi. Saya sedaya upaya tidak akan mengganggu suami ketika berada di rumah isteri pertama dan begitu juga dirinya. Ini penting untuk menjaga keharmonian rumah tangga kami.
Rapat
Walau pun saya dan madu sangat jarang berjumpa namun anak-anak saya rapat dengannya. Sejak kecil suami sering kali membawa anak-anak ke rumah madu terutama ketika cuti sekolah atau ketika saya perlu out station.
Walau pun ada pembantu rumah, tapi suami lebih suka bawa anak-anak ke rumah isteri pertama dan saya pula tak kisah bila melihatkan anak-anak gembira di sana. Kata mereka, ibu (madu saya) melayan mereka dengan baik. Itu membuatkan saya percaya madu saya itu ikhlas melayan anak-anak.
Sehingga sekarang, kadang kala anak-anak ‘hilang’ dari rumah, dan bila ditanya, rupanya ke rumah ibu mereka dan saya okay saja. Anak-anak juga rapat dengan anak angkat suami yang sering kali juga bertandang ke rumah saya.
Bahkan anak sulung saya, Irman, satu universiti dengan anak angkat suami yang sulung, Aira. Mereka sebaya. Jadi, sering kali juga Irman ambil dan balik bersama Aira.
Mengejutkan
Ramadan ke-17 lalu, saya dikejutkan dengan satu pengakuan daripada Irman. Katanya dia nak bawa teman wanitanya ke rumah untuk berbuka bersama. Sudah pasti saya tak melarang kerana dia sudah dewasa untuk bercinta.
Hari itu, saya memasak hidangan istimewa untuk menyambut kedatangan tetamu yang dinanti-nantikan. Tiba-tiba muncul Aira dan adiknya bersama Irman. Tapi saya taklah terkejut kerana Ramadan ini mereka belum datang berbuka di rumah. Saban tahun mereka pasti datang. Cuma agak hairan kenapa datang ketika ayah mereka di rumah ibu Aira? Terasa tak sedap hati pula…
Ternyata naluri saya tepat bila merasakan ada yang tak kena. Rupa-rupanya teman wanita yang Irman maksudkan adalah Aira! Saya terkedu waktu itu dan tak tahu nak cakap apa. Macam-macam saya fikir. Ternyata hubungan rapat di antara mereka telah membibitkan rasa cinta. Lebih terkejut kerana adik-adik mereka semua tahu dan tolong rahsiakan daripada saya, suami dan madu selama ini. Irman meminta saya untuk berterus terang dengan ayahnya dan ibu Aira. Dia benar-benar jujur sukakan Aira. Hati saya berbelah bagi.
Memang mereka boleh berkahwin kerana tak ada sebarang pertalian darah. Tapi saya risau kalau ibu Aira tak dapat terima anak tirinya sebagai menantu. Saya juga tak dapat bayangkan madu saya bakal menjadi besan saya. Tentu janggal sedangkan selama ini kami sangat jarang bertemu muka demi menjaga hati masing-masing.
Lebih penting lagi, apakah suami juga merestui? Puan, tak tidur malam saya dibuatnya. Tiap kali pandang wajah suami, mulut saya terkunci untuk meluahkan. Tapi saya juga kasihan pada Irman dan Aira yang ikhlas saling menyayangi. Sehingga kini mereka berdua mengharapkan saya untuk berterus terang dengan suami. Puan, saya buntu dibuatnya.
Mama Kay, Setiawangsa.
Saranan Kaunselor
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Puan Yang dirahmati Allah. Pertama sekali tahniah diucapkan kepada puan kerana memberi satu contoh yang terbaik kepada pasangan yang berpoligami tentang cara layanan dan memahami peranan dan perasaan madu dan suami.
Tidak ramai orang yang mampu melakukan seperti yang puan lakukan. Kredit kepada puan dan ini patut dicontohi oleh ramai wanita yang bergelar isteri, khusus kepada yang berpoligami. Sesungguhnya kehidupan ini boleh diurus dengan baik jika masing-masing hormat menghormati antara satu sama lain, berbaik sangka dan mengamalkan akhlak terpuji. Inilah yang dituntut dalam agama kita.
Ujian Hidup
Namun, apabila dinamakan kehidupan, pastinya ada ujian yang mendatang. Ujian itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Malah menyebabkan kita menghadapi masalah dan amat sukar untuk dirungkaikan. Teramat jarang kita mendengar bakal besan kita adalah madu kita sendiri.
Sememangnya pernikahan dibolehkan kerana ia bukan anak kandung suami. Dan apabila dikatakan percintaan pula antara lelaki dan wanita, teramatlah sukar untuk mereka melupakan antara satu sama lain jika ibu bapa meminta mereka memutuskannya. Pasti ada halangan besar untuk membatalkan hasrat mereka.
Nasihat
Puan yang dirahmati Allah. Pertama sekali cuba di peringkat puan dengan menasihati kedua-dua mereka. Sama ada secara berseorangan atau bersekali. Terangkan bahawa adalah sukar di kalangan masyarakat kita untuk menerima hakikat perkahwinan anak sendiri dengan anak angkat walaupun ianya dibenarkan dalam Islam.
Terangkan juga ini tidak akan menyenangkan hati ibu dan ayah, termasuk puan sendiri. Beri masa pada diri masing-masing untuk fokus kepada kerjaya terlebih dahulu, dan mengenali orang lain dalam kehidupan. Beritahu mereka juga bahawa dalam hidup ini apa yang kita suka sangat tidak semestinya baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya.
Belajar terima ujian dalam hidup iaitu untuk melupakan perasaan cinta terhadap seseorang, kerana hidup ini bukan cinta semata-mata. Ada perkara yang lebih utama. Puan hanya boleh menasihati dan mencuba…minta mereka juga mencuba. Minta mereka lakukan solat istikharah untuk mereka membuat pilihan yang terbaik untuk mereka, dan juga untuk keluarga dan agama.
Terus Terang Pada Suami Dan Madu
Jika untuk tempoh yang ditetapkan tiada perubahan, dan mereka juga tidak mampu melupakan pasangan, maka puanlah yang perlu menyatakan ini kepada suami dan suami yang akan memberitahu madu puan. Biar suami yang buat keputusan, puan hanya mengikut. Mungkin puan boleh menjangka apa yang akan berlaku, mungkin buruk, mungkin juga dalam kawalan. Namun yang paling ditakuti adalah jika mereka bertindak di luar jangkaan yang mengundang murka Allah…nauzubillah.
Hidup ini memang ada dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada kita. Dalam kejayaan kita mendidik anak pun masih ada ujian yang kita tidak mahu ianya berlaku. Namun takdir Allah tu adalah untuk menjadikan kita lebih beriman.
Pohonlah petunjuk daripada-Nya agar dilindungi daripada apa yang tidak diingini. Cuba sebaik mungkin untuk memahamkan mereka memberi peluang kepada hati untuk mengenali orang lain dalam kehidupan mereka. Namun jika ditakdirkan mereka bersama walau apa cara sekali pun dilakukan untuk memisahkan mereka, maka berlapang dada, terima dengan rela hati atas ketentuan-Nya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Susah sangat kah nak layankan emosi keinginan seorang isteri? Bukan dia minta macam-macam pun.. cuma nak ambil gambar bersama suami tercinta saja. Lagipun, dengan cara inilah isteri akan rasa lebih bahagia dan dihargai suami.
Sebab itulah, kalau isteri Akhtar Syamir (BroOhsem) ini minta ambil gambar berdua dengannya, dia tak menolak. Diturutkan saja, asalkan isteri rasa tenang. Bila isteri tenang, hatinya senang. Nanti suami pun akan rasa bahagia sama.
Catatan suami ini ringkas saja, tapi ‘deep’ maksudnya. Bagus cara suami ini melayan emosi isterinya, Nora Azni. Jangan pula sebab nak bergambar isteri dicop mengada. Sedih sangat bunyinya tu.
Layankan Lah Kalau Isteri Nak Ambil Gambar Bersama
Kepada suami semua. Kalau isteri nak ambil gambar bersama tu layankan la. Bukannya selalu. Tak rugi pape pun.
Ini tidak, ada yang sampai nak bergaduh bila nak bergambar. Lepas tu kalau bergambar pun payahnya la nak senyum. Nak pegang lengan pun tak bagi. Inikan pula nak pegang tangan.
Kesian la kat isteri tu. Dia happy dengan kita. Dia nak abadikan waktu indah tu dengan kita. Kenapa susah sangat nak layankan keinginan dia tu? Bukan kena keluar duit bagai.
Naluri isteri ingin saat yang bahagia diingati. Bila tengok kawan – kawan bergambar ceria, sweet, cantik bersama sang suami, saya yakin fikiran isteri terus bayangkan suami dengan diri dia dalam situasi yang sama.
Sekeping Gambar Yang Boleh Menceriakan Hati Isteri
Bukan untuk menunjuk – nunjuk keluarga bahagia ke apa. Gambar bersama pasangan dan keluarga adalah satu benda yang positif. Satu gambar yang cantik boleh menceriakan hati isteri kita untuk jangka masa yang lama. Isteri yang ceria akan menjadikan keluarga yang ceria. Lagipun, berkongsi sesuatu yang positif jarang sekali akan mendatangkan kemudharatan.
Kongsilah kebahagiaan dengan semua orang asalkan dengan cara yang tidak melampau, In Shaa Allah ia akan mendatangkan kebaikan buat semua.
Suami semua, senyumlah, peganglah erat isterimu. Ceriakan wajahmu. Demi si dia. Yang mencintaimu selamanya.
Yang mana belum berpunya pula, janganlah jadikan ianya satu perkara yang negatif, cuba ambil yang positif dan tanamkan dalam hati yang suatu hari nanti, aku juga akan sebahagia ini. Be strong ok?
Apa kata korang semua kongsi gambar sweet muweet dengan pasangan korang kat komen. Kita sama – sama kongsi kebahagiaan kita.
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...