Selama ini mungkin anda tercari-cari menu itik panggang yang halal dan sudah tentu ia sukar dicari. Sesiapa yang masih belum pernah mencuba itik panggang, anda wajib singgah di restoran D’YAYA. Rasanya yang asli pasti membuatkan anda ketagih untuk mencubanya lagi.
Hidangan itik panggang ini bukan calang-calang penyediaannya, ia diperap semalaman dengan rempah terpilih sebelum dipanggang segar setiap hari. Dibakar dalam pemanggang khas selama berjam lamanya bagi menjadikan kulit itik tadi keemasan dan garing.
Daging yang beraroma herba Cina ini kemudiannya dihidangkan bersama tiga jenis sos iaitu sos kicap, sos plum dan sos cili yang dicipta khas serta disesuaikan dengan selera setiap bangsa.
Restoran D’YAYA telah dibuka sejak 7 November 2018 lagi. Menurut pemilik restoran yang mesra dengan panggilan Ida, idea untuk membuka restoran dengan mengetengahkan menu itik adalah ekoran sukarnya mencari restoran itik yang halal.
“Saya sebenarnya memang minat dengan dunia masakan kerana suka masak, suka makan dan mencuba makanan. Oleh itu apabila anak makin membesar, saya merancang untuk membuka sebuah restoran setelah mendapat persetujuan suami.
“Alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan pada awalnya. Pada enam bulan pertama, restoran kami penuh hingga ada pelanggan yang terpaksa menunggu di luar. Memang meriah sambutannya. Maklumlah masih baru, tetapi sambutan cukup luar biasa,”
cerita Ida teruja dengan samlbutan yang begitu menggalakkan.
.
Suasana santai, menenangkan dan seolah-olah berada di kampung menjadi elemen utama dekorasi restoran D’YAYA. Ida sengaja memilih buluh untuk mendekatkan setiap pelanggan dengan alam semulajadi.
Apa yang dia inginkan adalah setiap pelanggan dapat menikmati hidangan dalam keadaan tenang dan rilek. Restoran ini sesuai untuk golongan berpendatan sederhana kerana pihaknya menawarkan harga yang berpatutan.
“Dekorasi yang cuba ketengahkan adalah melahirkan suasana kampung di dalam bandar. Bila ada elemen buluh dan juga atap rumbia, jelas teringat suasana seperti di kampung. Jadi konsep ini sesuai untuk mereka yang datang bersama kawan atau berkeluarga.
“Selain hidangan itik panggang, restoran kami turut dikenali dengan keenakan asam pedas claypot yang dihidang panas-panas. Rasanya asli kampung tetapi rasanya tak terlalu pedas, bangsa India dan Cina pun boleh terima. Saya sengaja variasikan supaya kena dengan tekak semua orang.
“Selain tu sambal tumis seafood dengan petai juga sentiasa mendapat permintaan ramai. Lagi satu sayur paku-pakis, mesti ramai pelanggan yang akan order. Gabungan masakan di sini adalah pelbagai bangsa iaitu Melayu, cina dan India. Rasa dan menu memang mengabungkan antara kaum agar dapat diterima,” terangnya satu-persatu.