Panas dari semalam kes lelaki lempang wanita di media sosial, dan akhirnya polis memburu lelaki yang melempang muka serta menumbuk kepala wanita yang memandu kereta Honda Civic dalam perselisihan faham yang berlaku di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur, semalam.
Tak boleh nak bayangkan macam mana keadaan wanita itu bila kena lempang, tetapi rasa macam kejam sangat bila tangan yang melekat di muka daripada kudrat seorang lelaki.
Kejadian Lempang Itu Bermula Di Sini
Ramai netizen yang bengang dengan kejadian yang berlaku kira-kira 4 petang semalam apabila lelaki yang menunggang motosikal Honda Dash datang dari arah belakang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap wanita berkenaan.
Melalui video yang tular rakaman berdurasi 34 saat semalam, suspek menuduh mangsa memasuki simpang jalan tanpa memberikan lampu isyarat.
Ads
Selepas itu, suspek kemudian membuka topi keledar dipakai dan menghentak bumbung kereta mangsa.
Akibat tindakan itu, mangsa kemudian keluar bagi melihat kerosakan pada keretanya sebelum suspek yang memaki hamunnya bertindak menampar muka serta menumbuk kepalanya.
Menerusia rakaman video dirakam pengguna jalan raya lain menunjukkan tindakan lelaki itu yang melempang wanita terbabit menggunakan tangan kanan pada muka sebelah kiri serta menumbuk kepala menggunakan tangan kirinya sebelum dileraikan orang ramai.
Ads
Lelaki Itu Ada Rekod Jenayah
Mangsa kemudian dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis serta rawatan di Hospital Ampang.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan dengan sengaja serta kerana melakukan khianat.
Namun hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan khianat.
Ads
Susulan itu, tindakan mengesan suspek kini sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor R Sivanathan di talian 016-5903985 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Rata-rata golongan wanita meninggalkan komen marah sebab lelaki itu memilih guna cara yang kasar.
Sumber Info Berita: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak kedua pasangan suami isteri, Herman Ishak dan Nurulella Sayuti diuji sakit masalah jantung berlubang (atrioventricular septal defect(AVSD) dan sindrom down sejak lahir. Dari hari pertama kelahirannya, sehingga ke usia 8 bulan, Muhammad Hadif Nufail Herman belum pernah pulang ke rumah.
Setiap 3 kali seminggu ayahnya, akan berulang ke hospital untuk membawakan keperluan isteri dan anak keduanya ini. Anak sulungnya bernama Nadia, 5 tahun juga cuma dapat bertemu ibu seketika. Itu pun seketika dan sesekali saja, selepas itu ibunya perlu kembali ke hospital semula.
Kongsi ibunya yang juga seorang suri rumah, “Dia budak yang tak banyak ragam kecuali dia tak sihat. Dekat wad dia kerap tak sihat. Kerap dapat pneumonia. Itu yang membuatkan dia perlu bergantung dengan antibiotik.”
Keadaan anaknya itu juga memungkinkan bayi ini perlu minum susu menggunakan ryles tube (tiub nasogastrik). “Dimasukkan ikut hidung. Kadang bagi susu perahan ibu dah juga formula.”
Dekat 8 Bulan Kakak Sulung Rindukan Ibu Dan Adik
Sesekali, anak sulungnya ada bertanyakan pada ayah bila ibu dan adiknya akan pulang. Namun, ayahnya juga tiada kepastian jawapan untuk diberikan. Cuma mampu memujuk anak sulungnya, yang rindukan kehadiran ibu dan adik.
Menurut ibunya lagi, anak bongsunya itu disahkan menderita penyakit sindrom down selepas pemeriksaan dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sejak lahir. Berikutan itu, si kecil ini perlu menjalani pembedahan secepat mungkin di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Ketika berusia sebulan, Muhammad Hadif di rujuk ke Hospital Serdang untuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan disahkan mengalami masalah lain seperti saluran darah tidak normal.
“Sebelumnya, sekitar usia tiga bulan, Muhammad Hadif pernah menjalani pembedahan buat kali pertama untuk memperbaiki saluran darahnya.”
Manakala pembedahan kali kedua pula akan menelan belanja sehingga RM80 ribu.
Mingguan Wanita menghubungi Herman, dan dimaklumkan ketika ini anaknya masih berada di wad ICU lagi. Dan, pembedahan kali kedua sudah pun dijalankan.
“Sekarang ini masih di ICU, saya tak boleh tengok lagi. Lagipun, nak bagi dia berehat. Alhamdulillah, pembedahan Hadif berjaya dilakukan.”
Gurauan pun ada batasannya.Janganlah melampau sehingga boleh meragut nyawa. Kejadian yang berlaku tengah malam tadi, seorang kanak-kanak lelaki berhadapan dengan detik cemas dengan niat gurauan bapa saudaranya.
Gurauan melampau bapa saudaranya menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki terperangkap hampir 10 minit apabila disumbat ke dalam mesin basuh pakaian sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, di sini dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Difahamkan, kanak-kanak itu disumbat ke dalam mesin basuh oleh bapa saudaranya yang bergurau dengannya tanpa disedari ibu kanak-kanak berkenaan yang datang membasuh pakaian di kedai dobi itu.
Pintu Tidak Dapat Dibuka
Bagaimanapun, gurauan lelaki itu mengundang padah apabila pintu mesin basuh berkenaan tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak berkenaan terperangkap di dalamnya.
Malah, video kejadian itu yang berdurasi dua minit 46 saat turut tular di media sosial memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.
Pecahkan Cermin Pintu Mesin Basuh
Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu yang berada di lokasi kejadian memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan selepas usaha membuka pintu mesin itu tidak berhasil.
Sementara itu, pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan, ketika dihubungi berkata, ada menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak berkenaan yang menghubungi pengurusnya bagi menyelesaikan masalah serta ganti rugi akibat kejadian yang berlaku.
Katanya, berdasarkan maklumat diterimanya, kanak-kanak itu datang ke kedai dobinya bersama ibu serta bapa saudaranya untuk mencuci pakaian.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya yang berusia lingkungan umur 20-an.
“Secara tiba-tiba, lelaki itu memasukkan kanak-kanak itu ke dalam mesin basuh sebelum pintu mesin terkunci dan tidak dapat dibuka,” katanya.
Hazmal berkata, beberapa pekerja restoran yang terletak bersebelahan kedai dobinya kemudian cuba membantu untuk membuka pintu mesin basuh berkenaan namun tidak berjaya.
Kerugian RM3,000
Katanya, oleh kerana pintu mesin itu tidak dapat dibuka, mereka bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh itu untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
“Pintu mesin itu lazimnya akan terkunci secara automatik apabila dimasukkan syiling serta apabila butang ‘mula’ atau butang ‘start’ ditekan.
“Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku, namun masalah di sini adalah ia bukan saja menyebabkan saya kerugian hampir RM3,000 sebaliknya nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang,” katanya.
Menurut Hazmal, kanak-kanak itu bernasib baik berikutan mesin berkenaan tidak berputar mungkin disebabkan terlebih muatan.Katanya, susulan kejadian itu, dia membuat satu laporan polis agar tindakan serta siasatan dapat dijalankan berikutan kejadian itu boleh mengancam nyawa kanak-kanak berkenaan.
Alhamdulillah, nyawa kanak-kanak ini dapat diselamatkan. Mingguan Wanita mengharapkan agar jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Bergurau biarlah berpada-pada, fikir panjang terlebih dahulu, terutamanya perkara yang melibatkan nyawa!.
Sekitar Ogos lalu, berat ujian yang ditanggung wanita ini, Nur Hafiza. Disahkan positif Covid-19, malah adik perempuannya juga disahkan positif sama. Bertubi-tubi kecaman diterima dirinya dan ahli keluarga.
Biar pun, ramai sedia maklum. Covid-19 itu tidak mengenal mangsa. Siapa saja jika sudah ditakdirkan diuji pasti akan melaluinya. Maka, bermulalah episod menghabiskan tempoh rawatan yang sunyi dan terasing dari orang ramai. Dan, akhirnya wanita ini bangkit melawan Covid-19. Sehingga menjadi ‘hero’ yang tidak didendang.
Positif Covid-19, Bangkit Melawan Virus Dalam Tubuh
Tiada siapa yang meminta dan tiada siapa yang menduga. Saya disahkan positif Covid pada 4 Ogos 2020 setelah menjalani saringan disebabkan ahli keluarga saya disahkan positif pada 3 Ogos.
Sesungguhnya besar ujian ini kerana saya sendiri tidak pernah menyangka bahawa saya salah seorang daripada insan terpilih.
Bermula daripada ahli keluarga saya disahkan positif seluruh ahli keluarga kami menerima kecaman berunsur hinaan malah ada yang mengambil kesempatan menyebarkan berita yang tidak sahih ke atas keluarga.
Namun masih ada rakan rakan yang tidak putus mengirimkan doa dan kata semangat. Sewaktu saya menerima panggilan daripada pihak Pejabat Kesihatan, mental dan emosi saya sudah bersedia kerana saya menerima ini ujian daripada Allah.
Lalui 14 Hari Yang Sunyi Bersama Adik
Saya bersama adik perempuan saya disahkan positif. Fizikal saya sihat namun perasaan berdebar itu tetap ada. Ini kali pertama saya menaiki ambulans dan perasaan teruja itu ada.
Setibanya di HSB, saya agak terkejut dengan suasana di sini kerana membayangkan 14 hari saya akan berada di sini.
Ini kali pertama saya dimasukkan ke wad HSB dan persekitaran baru buat saya. Saya dibawa naik ke tingkat 2 dan wad di sini kelihatan sunyi.
Saya ditempatkan bersama adik saya di dalam satu bilik yang sama. Memang selesa dan saya bersyukur dengan kemudahan dan semuanya selesa.
Pada sebelah malamnya doctor datang untuk mendapatkan maklumat perjalanan dan juga pergerakan dalam tempoh 13 hari yang lepas.
Saya mula perasan saya kehilangan deria rasa dan bau pada pagi hari raya Aidiladha dan saya hanya menyangka ini simptom saya akan demam disebabkan cuaca yang kerap hujan.
Selama 14 hari di dalam wad, saya tidak mengalami pertambahan gejala melainkan deria rasa dan hidu. Saya tidak dapat membezakan rasa pahit mahupun manis.
Doctor akan datang melawat satu hari sekali bertanyakan khabar tahap kesihatan dan jururawat pula akan memantau tahap tekanan darah, bacaan suhu dan pernafasan tiga kali sehari.
Selebihnya saya banyak menghabiskan masa dengan mendekatkan diri dengan Allah, melukis dan menulis.
Daripada Sebar Berita Palsu, Sokong Pesakit Covid-19
Jika ditanya apakah perasaan sewaktu mula-mula masuk, saya hanya menyatakan rasa syukur kerana saya dipilih dan dirawat dengan segera di bawah pemantauan KKM.
Pesanan saya pada yang di luar sana, berikanlah sokongan dan elakkan daripada menyebarkan berita yang tidak berasas kerana ini akan menimbulkan rasa panik kepada orang lain.
Pihak Pejabat Kesihatan juga terpaksa membuat semakan terhadap berita palsu yang tidak berasas. Terima kasih yang tidak terhingga buat staff PKD yang membantu. Rasa bersalah itu tetap ada walaupun saya cuba menangkis perasaan itu…
Setelah melalui 14 hari kuarantin wajib di hospital, saya dibenarkan pulang ke rumah. Perjalanan pulang saya dihantar menggunakan ambulans disebabkan kawasan rumah saya masih lagi dalam tempoh TEMCO.
Setelah 15 hari di rumah akhirnya tanggal 31 Ogos 2020 saya bebas.
Erti kemerdekaan sebenar buat saya. Kini saya kembali meneruskan rutin harian saya bekerja seperti biasa.
Dari Positif Covid-19, Akhirnya Jadi Penderma Plasma
Saya lebih yakin dan kuat untuk meneruskan kehidupan seharian saya.. Tanggal 17 September 2020, saya dihubungi semula oleh doctor untuk bertanyakan keadaan kesihatan saya. Seperti biasa saya sihat dan bertenaga kerana itulah saya.
Doktor bertanyakan kesudian saya sama ada bersedia untuk menjadi penderma plasma untuk diberikan kepada pesakit di ICU.
Jawapan yang diberikan saya adalah YA! Dua hari selepas itu saya diminta hadir untuk menjalani ujian darah dan swab test sekali lagi.
Tanggal 21 September saya disahkan negatif dan saya boleh menderma.
Maka prosedur pendermaan dilakukan keesokkan harinya di bawah pengawasan dan pemantauan doctor dari HSB.
Tempoh pendermaan lebih kurang 30 minit dan saya gembira kerana saya berjaya melalui dengan tenang sedangkan saya seorang yang takutkan jarum dan darah.
Kini saya telah menderma sebanyak dua kali dan saya yakin kekuatan yang ada ini adalah doa dan galakkan dari kawan-kawan dan keluarga.
Semoga kita semua rakyat Malaysia akan Berjaya melawan virus ini sampai habis. Buat doctor dan seluruh warga KKM terima kasih kerana membantu dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia!
Covid Fighter 9022 19 Oktober 2020
MW :Semoga lebih ramai rakyat sedar, Malaysia belum lagi bebas Covid-19. Sentiasa jaga diri, patuhi SOP. Jika duduk rumah itu pilihan terbaik, maka DUDUK RUMAH saja.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...