Patutlah Guru Besar Sedia ‘Tengokkan’, Benarkan Cikgu Bawa Anak Ke Sekolah

Share

Hebat Guru Besar SK Pekan Nanas bernama Firdauz Abdullah ini. Dia membenarkan gurunya membawa anak yang ketiadaan pengasuh ke sekolah, untuk sama-sama di’tengok-tengokkan; olehnya dan guru-guru yang lain.

Guru-guru sekolah lain yang membaca kisah tular guru besar ini sama terkesan dengan kebaikan yang diberikan. Rupanya ada cerita di sebalik, rasa prihatinnya sebagai seorang guru besar pada guru-guru wanita terutamanya yang berdepan masalah ketiadaan pengasuh ini.

Matiin, membesar di SK Sungai Danga.. kawan-kawan dan pentadbir sangatlah membantu kami ketika ini. Matiin ketika itu dalam prolonged jaundice, eczema dan urine infection.

Ada Sebab Kenapa Guru Besar Benarkan Cikgu Bawa Anak Ke Sekolah

Menjadi tular pula status aku berkenaan bawa anak ke sekolah tu.

Terus terang aku katakan, ia adalah hasil didikan semua Guru Besar aku sebelum ini, dari mula aku bertugas di SK Nong Chik di bawah kepimpinan Datin Hjh Azizah, Datin Hjh Hapipah dan Pn Norayu Jayus, dan seterusnya di SK Sungai Danga dibawah kepimpinan Hj Noh Sahan dan Ustaz Zamri.

Kesemua mereka mempunyai impati yang tinggi, memang tahap mak-mak dan bapak-bapak kita. Kita sampai jadi segan dengan toleransi mereka, dan tak gamak nak selesaikan sebarang tugasan sambil lewa.
Di SK Nong Chik dulu, Datin Hjh Azizah banyak menjaga kebajikan aku yang hidup merantau di tempat orang, segala perkara beliau ambil tahu.. Memang aku ni dilayan macam anak sendiri.

Datin Hapipah pula, memang dah macam mak sendiri… Kau bayangkanlah.. Aku nak pergi merisik dan bertunang, dialah ketua rombongannya! Sebab itu juga aku bernikah dan melangsungkan majlis pun di SK Nong Chik.. Hehehe

Pn. Noorayu Jayus pun sama, kak long kami. Bila isteri aku dah sarat mengandungkan Matiin dulu, diberinya izin kepada aku untuk menghantar isteri ke tempat kerja yang mana ketika itu, tempat parking isteri amatlah jauh.

Amna pun sama, membesar di SK Jaya Mulia, waktu ini kami kena berulang alik ke hospital sebab tali pusat Amna yang tak tanggal walaupun dah 85 hari.

Ketua Ini Memimpin Dari Hati

Dua bulan jugalah aku berulang alik menghantar isteri, kelas aku masuk tanpa gagal (aku mengajar Tahun 6 ketika tu). Apabila kelongaran dah diberi ketika itu, kita pun jadi semangat bekerja. Lapang fikiran nak melakukan apa jua program di sekolah, siap aku stay back sampai malam (sebab nak ambil isteri balik kerja pula) sepanjang tempoh itu. Dan anak-anak murid aku juga yang beroleh manfaat. Semua dapat gunakan makmal komputer sementara menanti ibu dan ayah mereka ambil. Keselamatan terjamin.

Di SK Sungai Danga apatah lagi, keluarga kecil yang sentiasa menjaga antara satu sama lain. Memang ketika itu, berulang kali aku ke hospital kerana keadaan kesihatan Matiin yang kurang mengizinkan. Tetapi rakan-rakan pentadbir semuanya memahami kekangan tersebut, sama-sama mereka mudahkan urusan.

Kelas aku dianjak selepas jam 10.00 pagi dan sempatlah aku mengajar seperti biasa. Sekali lagi apabila urusan keluarga di permudahkan, urusan sekolah menjadi tip top! Tanyalah rakan-rakan di sana, Unit Kokurikulum, Sukan dan Permainan memang menjadi. Terima kasih kepada Cikgu Noh Sahan dan Ustaz Zamri yang sentiasa cakna akan kebajikan anak buah mereka.

Pada aku, mereka semua memimpin dari hati.. Ya, kita sebagai ketua memang perlu ‘play by the rules’ dan itulah panduan kita, tetapi janganlah kita lupa terma ‘budi bicara ketua jabatan’, dan selagi ia tidak menyalahi etika kemanusiaan, permudahkanlah urusan kita sesama insan.

Apabila kau permudahkan urusan orang lain, pasti Tuhan akan permudahkan urusan kau sekeluarga“, itu pula pesan ibu dan ayah aku.

MW : Terkesan sungguh dengan kisah guru besar ini, semoga semakin ramai yang mencontohi kepimpinan dari hati yang dikongsikan Guru Besar SK Pekan Nanas ini. Dalam keadaan ekonomi menekan ini, ramai yang kadang dah tak guna logik akal.

Baca sini : Sebak gurunya, murid pakai kasut koyak dari darjah 6 sampai tingkatak 2

Sumber/Foto : Firdauz Abdullah

Published by
NETTY AH HIYER