‘Patutlah Di Rumah Tak Mahu Disuap’ Teruja Ibu, Anak 2 Tahun Pandai Makan Sendiri

Share

Wahai ibu, ketahuilah sebenarnya sejak usia anak 6 bulan, ibu dah boleh ajar anak-anak untuk makan sendiri. Nor Robaniyah, Penyelia di Taska Nur Husna – Bondamama Kids Centre berkongsi tip untuk mak ayah latih anak makan sendiri.

Banyak kelebihan pada anak, terutamanya dapat membina keyakinan diri mereka. Dan menjadikan anak lebih berdikari menguruskan diri mereka sendiri. Jika di taska, tentunya lebih mudah. Kata Nor Robaniyah, ada cara macam mana mak ayah nak latih anak makan sendiri di rumah.

Patutlah Di Rumah Dia Tak Mahu Saya Suap..

Seorang ibu yang anaknya berusia lingkungan 2 tahun dijaga di taska saya, pernah bertanya. “Puan, Anak saya di taska makan sendiri atau di suap?”

Apabila saya jelaskan yang anaknya kami latih makan sendiri, “Patutlah di rumah dia tak mahu saya suapkan. Dia nak makan sendiri. Terima kasih Puan ajar anak saya. Saya suka dia pandai berdikari nak makan sendiri.”

Begitulah keterujaan seorang ibu bila melihat ada peningkatan dalam kemahiran anaknya.
Kebiasaannya para ibu kurang berkeyakinan dan kesabaran bila anak makan comot, lambat, makan bersepah atau tumpah. Sedangkan mengajar anak kecil makan sendiri adalah mendidik mereka lebih yakin diri. Dan bersifat berdikari dalam menguruskan hal sendiri.

Ibu juga boleh melakukan urusan lain sambil memantau anak ketika mereka makan.

Tip Ajar Anak Makan Sendiri Di Rumah

Berikut saya kongsikan beberapa tips untuk ajar anak makan sendiri di rumah.

1. Sediakan kerusi dan meja yang bersesuaian untuk kanak-kanak ketika mereka makan. Jangan gunakan meja makan biasa kerana kedudukan meja yang lebih tinggi dari badan menyukarkan mereka menyuapkan makanan.
2. Kita boleh didik anak makan sendiri sedari usia anak 6 bulan lagi. Kanak-kanak pada usia ini lazimnya sering memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya. Pada peringkat permulaan, ajar mereka makan biskut atau makanan yang lembut seperti buah-buahan.
3. Apabila anak sudah mencapai usia 1 tahun ke atas, kita sudah boleh didik mereka makan nasi menggunakan sudu. Boleh juga makan menggunakan tangan cuma risiko makanan bersepah lebih tinggi kerana anak kecil akan bermain dengan makanan.
4. Makanan seperti sayur, ayam, ikan, telur atau kentang perlu dipotong atau dicarik menjadi lebih kecil. Ini mengelakkan anak akan tercekik ketika makan.

Guna Mangkuk Kecil

5. Untuk mengurangkan tertumpah makanan, ibu-ibu boleh gunakan mangkuk kecil agar anak mudah menyenduk makanannya.
6. Gunakan mangkuk dan sudu plastik

bagi mengelakkan kecederaan ketika menyuap atau pecah jika terjatuh ke lantai.
7. Jika ingin memasukkan kuah, elakkan mengisi kuah yang banyak ke dalam mangkuk anak-anak. Tuangkan sekadar yang perlu sahaja.
8. Pada waktu ini, anak perlu kerap dipantau bagi mempercepatkan tempoh mereka menyuap makanan. Ibu-ibu perlu memberi galakkan kepada anak agar mempercepatkan makan. Cakap dengan lembut dan berhemah dengan cara pujukan. Jangan memarahi mereka.

Jangan Hidang Anak Air

9. Sering betulkan pegangan sudu pada tangan atau kedudukan pinggan agar lebih hampir dengan badan anak bagi mengurangkan makanan lebih banyak tertumpah di luar pinggan. Sering pastikan anak-anak memegang sudu dengan tangan kanan sebab kebiasaannya mereka akan menukar pegangan sudu ke tangan kiri.
10. Waktu anak makan, jangan hidangkan mereka dengan air. Biarkan mereka makan sehingga habis, barulah diberikan air minuman. Ajar mereka memegang cawan sendiri semasa minum air dengan pantauan kita. Boleh juga gunakan cawan yang bertangkai bagi memudahkan mereka memegang cawan.
11. Pastikan anak membasuh tangan sebelum dan sesudah makan. Mulut juga perlu dibersihkan sebaiknya ketika membasuh tangan selepas makan.
12. Bagi beragama islam, didiklah anak sebelum makan dengan membaca Bismillah atau doa makan sebelum mereka makan dan ajar mereka mengucap Alhamdulillah selepas mereka makan.

Terlebih makanan di proses itulah punca anak kecil susah makan, 3 cara ini bantu atasinya.

Sebagaimana sabda Nabi SAW :
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ
Maksudnya : “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” [HR al-Tirmizi (1858)]
Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW ada bersabda :
سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ
Maksudnya : “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” [HR al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)]

Semoga dengan tip-tip ini dapat membantu ibu-ayah di luar sana yang kurang berkeyakinan ingin mengajar anak makan sendiri. Semoga bermanfaat untuk semua. Insya-Allah…

Sumber/Foto : Nor Robaniyah

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Netty Ah Hiyer