Menjadi seorang guru tugasnya bukan hanya sekadar mengajar. Bersikap prihatin dan ambil berat terhadap anak-anak murid juga salah satu tugasan yang harus digalas oleh mereka yang bergelar cikgu.Hatta, jika ada anak murid yang tak pandai memakai tudung mahupun berbaju comot ketika disekolah juga mampu terselit kisah yang menceritakan punca sebenar.
Perkongsian kisah menarik ini dikongsikan oleh cikgu yang prihatin, Mohd Fadli Salleh. Semoga mak ayah memperoleh manfaat daripada kisah ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Tahun lepas, ada seorang murid tahun satu yang sangat pendiam. Perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi. Macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.
Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.
Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan.
Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot.
Dua hari lepas, adik dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.
Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna.
Kerja Buruh
Hari ini, selepas habis kelas pertama ada pengawas datang menjemputku ke pejabat. Katanya pentadbir panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang.
Dengan tenang aku terus ke pejabat. Diluar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh. Nampak comot dengan selut dan kotoran.
‘Ini kasut orang kerja buruh,’ getus hati aku.
Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju.
Ads
Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti dibawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.
Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul disebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku merasa geli atau membuat muka tidak selesa walau bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.
Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.
Anak Kategori Istimewa ADHD
Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.
Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.
Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagi pun, murid pendidikan khas ini ada elaun.
Tunggu Dapat Gaji
Sebelum dia beredar, kami bagitahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia cakap,
“Cikgu. Boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya.”
Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji.
Ads
Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu.
Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.
“Abang kerja kat mana?”
“Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang.”
Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat. Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.
“Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?” soalku bertalu-talu.
“Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah,” balasnya tenang.
Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia hubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan, dan dia berlalu pergi.
Berlalu pergi dibawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.
Dijaga Oleh Ayah
Patutlah. Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.
Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.
Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.
Ads
Kelu. Aku kelu sebenarnya.
Terharu. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku ditempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia.
Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah. Tambah-tambah bagi kaum lelaki.
Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati,
‘Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu.’
Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul.
Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa.
Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
#MFS
– Kasih seorang bapa.
Semoga kisah ini bermanfaat! Benar, jaga anak tidak mudah. Selepas berlaku penceraian tidak mudah menguruskan anak-anak seorang diri, lebih-lebih lagi jika peranan tersebut digalas seorang lelaki yang bergelar bapa.
Azabnya kesengsaraan fizikal yang ditanggung oleh anak kecil ini sebelum meninggal dunia akibat hilangya sifat perikemanusiaan seorang manusia.Dipukul dengan objek tumpul sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus, itu penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak 6 tahun, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, sehingga menemui ajal akibat disyaki didera oleh teman lelaki ibunya, kelmarin.
Terbongkar Selepas Bedah Siasat
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar menjalankan bedah siasat ke atas jenazah kanak-kanak malang itu, semalam. Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan.
“Mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius, selain ususnya pecah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini.
Azisman berkata mangsa telah meninggal dunia pada 4 pagi Rabu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu. Beliau berkata susulan kematian Mohamad Rayyan, polis telah menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya yang berusia 26 tahun.
“Suspek serta ibu mangsa ditahan petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dan kebanyakannya membabitkan curi motosikal,” katanya.
Azisman berkata, polis telah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu ke atas pasangan itu bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ditemui Sihat Bulan Lalu
Sementara itu, bapa mangsa, Hairil Khan Azali, 32, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak saudaranya pada Rabu.
“Rayyan dibawa ke hospital pada malam Selasa dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
“Saya hanya mengetahui dia dipercayai didera selepas laporan forensik yang dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah pada 8 malam, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hairil berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya sekitar bulan lalu dan ketika itu keadaannya masih sihat.
“Saya berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu. Saya kerap berjumpa dengan Rayyan sebelum ini kerana dia tinggal dengan bekas mentua di Kampung Abi, di sini.
“Namun, sebulan lalu saya tidak dapat berjumpa dengannya selepas bekas isteri membawa Rayyan keluar dan tinggal dengan kekasihnya.
“Tetapi saya tak tahu di mana mereka tinggal kerana bekas mentua saya pun tidak dimaklumkan,” katanya.
Menurutnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan tengah malam tadi Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim.
Semoga anak kecil ini dicucuri rahmat dan berbahagia disyurga hendaknya. Pesanan buat para wanita mahupun mak-mak, jangan sesekali sanggup ‘korbankan’ anak, pejamkan mata yang berlaku demi cinta buta. Anak kecil seharusnya disayangi dan dilindungi bukannya dijadikan tempat melepaskan segala amarah dan rasa benci.
Sebenarnya tak kiralah anak hisap susu botol atau susu badan, mak-mak kena tahu macam mana cara nak elakkan gigi rosak.
Bukan hanya berpunca daripada hisap susu, ada banyak lagi punca lain yang menyebabkan terjadinya karies gigi.
Hah, malam ni anak dah hisap susu ke belum? Kalau sedang atau bakal hisap susu sebelum tidur, jom semak dulu perkongsian ilmu yang dikongsikan Doktor Iqbal Rosli tentang penjagaan gigi.
ADAKAH SUSU IBU BOLEH MEROSAKKAN GIGI?
Pertama, bergantung semata-mata kepada susu ibu, dan tidak menggalakan pemakanan selepas umur 6 bulan, adalah tidak betul. Malah tidak baik untuk pertumbuhan dan kesihatan gigi, dan juga perkembangan kesihatan anak secara amnya.
Kedua, mari kita belajar bagaimana mekanisme ketika anak minum susu.
Semasa menyusu badan, anak akan memasukkan puting hampir keseluruhan areola ke dalam mulutnya. Tindakan itu akan meletakkan puting dan susu yang keluar jauh ke dalam mulut. Anak akan terus telan.
Semasa menyusu dengan botol susu, tidak perlu memasukkan semua puting, susu sudah keluar. Walaupun tak dihisap, susu tetap akan menitik dan berpotensi untuk berkumpul di dalam mulut jika tak ditelan terutamanya sewaktu tidur.
Ketiga, mari kita fahami bagaimana gigi rosak terjadi. Ada 4 faktor utama terjadinya karies gigi.
Faktor 1 Gigi
Gigi susu adalah lebih rapuh berbanding gigi kekal kerana lapisan enamelnya yang lebih nipis
Faktor 2 Makanan
Apa-apa sahaja yang masuk ke dalam mulut terutamanya yang berasid dan manis, termasuklah susu, berpotensi menyebabkan karies kepada gigi
Faktor 3 Bakteria
Bakteria dari banyak sumber. Barang mainan yang dimasukkan ke dalam mulut, puting tiruan, tangan ibu bapa
Faktor 4 Masa
Jika gigi lama tak dibersihkan, perlahan-lahan proses karies akan berlaku.
Apabila ada keempat-empat faktor ini, karies akan terjadi.
Keempat, penting untuk kita fahami juga, susu ibu semata-mata tidak menyebabkan karies.
– Ada kajian menunjukkan kandungan dalam susu ibu baik untuk pertumbuhan dan kesihatan gigi.
– Ada kajian menunjukkan kanak-kanak yang masih menyusu ibu selepas umur 2 tahun berpotensi mengalami kerosakan gigi lebih serius.
Seperti dalam point ketiga, ada lagi faktor lain menyebabkan karies. Ibu-ibu bolehlah muhasabah dan re-check aktiviti seharian yang mungkin berkaitan dengan penjagaan gigi anak masing-masing.
Contohnya, apabila ibu-ibu merasa makanan dahulu sebelum menyuapkan ke dalam mulut si anak. Pemindahan bakteria boleh berlaku dan menyumbang kepada kerosakan gigi.
Contoh lain, tidak membersihkan semua permukaan gigi si anak dengan betul terutamanya pada kawasan antara gusi dan gigi (seperti dalam gambar)
Keempat, sebab itu, hal paling utama dalam mengelakkan gigi rosak adalah penjagaan kesihatan gigi. Bagilah anak-anak susu ibu atau susu formula. Tapi sekiranya kebersihan gigi tak dititikberatkan, gigi tetap akan rosak juga.
Kelima, ketahuilah Puan-puan sekalian, komuniti doktor gigi tidak pernah menyalahkan penyusuan anak-anak sehingga menyebabkan gigi rosak. Sebaliknya, apabila tiada keseimbangan di antara penyusuan/pemakanan dan penjagaan kebersihan gigi, itulah punca utama gigi mudah dan cepat rosak.
Nota:
Sapuan berwarna koko itu ialah sapuan flourida untuk membantu menguatkan gigi dan mengelakkan karies menjadi lebih besar.
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak-anak adalah permata hati mak ayah. Kehadiran insan-insan kecil itu pasti menggembirakan hati pasangan suami isteri. Anak pengikat kasih antara mak dan ayah. Namun mak aya kena ingat, anak-anak adalah amanah Allah SWT, disertai dengan tanggungjawab.
Dunia hari ini memberi memberi tamparan hebat kepada institusi pendidikan dan kekeluargaan. Dalam tidak sedar generasi yang kita lahirkan semakin tenat. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap soal pendidikan anak-anak terutamanya soal agama dan akhlak sudah tiba masanya untuk kita merenung sejenak adakah kita sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik?Jika tidak, ini masanya untuk melakukan anjakan paradigma.
Anak-Anak Hadir Dengan Tanggungjawab
Rakan penjaga yang dihormati, tanggungjawab dan amanah ini hakikatnya amat berat dan harus dipandang serius dalam kehidupan. Ini kerana, amanah ini akan diaudit di akhirat kelak. Ini kerana, kehidupan yang kita lalui tidak berhenti di sini sahaja malah kita akan lalui yang kekal abadi di sana nanti. Oleh yang demikian, sebagai muslim, tasawur kehidupan kita harus benar-benar jelas agar kita tidak tersasar dalam meletakkan prioriti.
Dalam soal mendidik anak yang paling penting adalah memastikan wujud rasa percaya dalam perhubungan kekeluargaan yang sedang kita bina. Unsur ini amat penting bagi memastikan kelestarian perhubungan yang positif sesama ahli keluarga. Usah silap dalam meletakkan percaturan.
Kita mungkin percaya bahawa apabila sudah menjadi keluarga jadi rasa percaya akan wujud secara semula jadi. Perkara ini mungkin betul dari satu segi namun masih banyak harus dilihat kembali. Rasa percaya tidak hadir dengan sendiri tanpa dibenihkan dengan kasih sayang yang dapat dirasakan.
Bukti kepercayaan menebal dalam perhubungan adalah rasa kebersamaan yang kuat sesama ahli keluarga. Sewaktu anak-anak kita masih kecil, mereka amat bergantung kepada kita selaku orang dewasa kerana pada waktu itu mereka masih belum boleh berdikari.
Namun setelah semakin dewasa mereka semakin boleh berdikari secara fizikal dan pada waktu ini ikatan kasih sayang dan kepercayaan yang mengikat mereka untuk kembali dan sentiasa wujud bersama ibu bapa dan keluarga.
Kukuhkan Kepercayaan Dengan Kasih Sayang
Rasa kepercayaan boleh diwujudkan atau diperkukuhkan dengan kasih sayang yang boleh dirasai oleh anak-anak. Mereka harus dapat merasakan bahawa ibu dan ayah amat menyayangi mereka sama ada dengan ucapan atau pun perbuatan. Tanda sayang bukan sahaja terhad dengan material namun lebih lagi dengan sokongan emosi dan dukungan spiritual yang kita berikan kepada anak-anak. Mereka harus dapat melihat prioriti yang jelas dalam kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Kefahaman ini membantu mereka untuk menghayati kehidupan dan tanggungjawab dalam keluarga. Selain daripada itu, masa yang diperuntukkan untuk bersama dengan anak-anak juga merupakan kunci kepercayaan. Apabila ibu dan ayah ada masa untuk mendengar keluhan dan kegembiraan anak-anak maka mereka akan mengiktiraf kita sebagai sahabat mereka yang akrab.
Mak Ayah Kepercayaan Anak-Anak
Kita juga akan menjadi orang kepercayaan mereka dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka kelak. Amatlah beruntung ibu ayah yang mendapat kepercayaan ini daripada anak-anak mereka. Mengapa? Ini kerana apabila kepercayaan ini sudah diperoleh, mudah bagi kita untuk memberikan panduan yang baik kepada anak-anak. Saya pasti tiada ibu ayah yang menginginkan yang tidak baik untuk anak mereka.
Ini berbeza jika, anak-anak lebih percaya kepada rakan-rakan atau orang luar sebagai penasihat peribadi. Sudah tentu cakap kita, nasihat kita menjadi secondary untuk diri mereka. Malah kita mungkin kita dapat mendengar keluhan dan masalah mereka langsung kerana rasa ingin bercerita itu tertutup untuk kita. Nauzubillah. Inilah kegagalan kita dalam mendidik.
Oleh yang demikian, biarkan anak bercakap sewaktu kecilnya dan layanlah mereka dengan baik kerana waktu itu, mereka sedang membina persepsi dan kepercayaan tentang perhubungannya dengan kita. Insya-Allah sewaktu kita perlu mendengar daripada mereka kelak, mereka akan datang tanpa menunggu arahan kita kerana kita pada waktu itu telah pun menjadi orang kepercayaan mereka. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...