Biasanya awal-awal pergi sekolah, ada sesetengah anak menangis tanpa sebab yang kukuh. Jenuh pujuk tetapi dia tetap buat hal di sekolah, sudahnya mak-mak akan mula risau dengan masalah anak ini.
Tetapi kalau anda yang sudah berpengalaman macam Dr. Bustam Kamri, pasti akan tahu puncanya. Mak ayah mungkin boleh pulihkan keadaan ini secepat yang mungkin dengan merujuk beberapa peristiwa ini…
Semasa saya menjadi guru ganti tadika dulu selama beberapa bulan, ada satu peristiwa yang tidak pernah saya jangkakan akan berlaku. Saya rasa saya tak pernah buat salah terhadap kanak-kanak itu. Tidak pernah marah, tengking pada pelajar saya. Saya mencari-cari punca dan sebab kenapa kanak-kanak itu fobia, takut dan tidak mahu ke tadika. Sudah lama saya mencari punca terhadap peristiwa itu. Setelah beberapa tahun berlalu, barulah saya tahu punca sebenarnya. Bila saya baca punca-punca di bawah ni, rupaya punca ke-9 menyebabkan kanak-kanak itu menjadi fobia.
Seminggu sudah berlalu sesi pembelajaran tadika. Pada suatu hari, saya terima ‘call’ dari seorang ayah yang berminat nak tahu pasal program playschool kami. Petang tu jugak beliau bersama isteri datang. Selepas saya ceritakan mengenai perjalanan program kami, beliau terus isi borang dan bayar yuran tahunan ‘ lum sum’. Anaknya umur 6 tahun. Pernah bersekolah pada umur 5 tahun di tadika yang dekat dengan rumahnya dan tadika itu sangat fames. Ibunya kata anaknya tidak mahu bercakap dengan cikgu. Sebab tu beliau mencari tadika yang loving and caring yang dapat bantu masalah anaknya.
Dan seminggu kelas berlalu. Ya, memang si anak ni tidak mahu bercakap dengan cikgu. Dengan kawan-kawan bercakap. Kami cuba bersembang dengannya, cuba bercerita perkara yang menarik minat dia.
Akhirnya, dia sudah ada rasa percaya pada cikgunya. Alhamdulillah. Semuanya atas izin Allah. Kami hanya berusaha, Dialah yang melembutkan hati anak itu. Sekarang pelajar itu sudah beri kerjasama dan memberi respon dengan baik.
Saya cuba korek apa yang menjadi punca dia bersikap begitu. Rupanya dia takut dengan cikgu yang lama. Cikgu yang lama agak garang katanya. Cikgunya pernah marah masa makan. Ye, saya tahu dia jenis yang cerewet makan. Tapi, tak perlulah kita paksa dia makan apa yang dia tak suka. Katanya, dia pernah kena marah sebab tak boleh jawab.
Allah.. Mereka kan dalam proses belajar. Normallah kalau ada yang tak tahu jawapan kan..
Nak cerita pasal ni panjang pulak dan tak pernah habis.
Mari kita lihat apa punca sebenar menyebabkan anak menangis ke tadika. Semoga perkongsian ini jadi muhasabah pada diri kita.
1. Sukar bangun pagi disebabkan terlalu letih. Terlalu banyak bermain dengan menggunakan fizikal seperti berlari, kejar-mengejar atau bermain bola. Sukar bangun pagi sebab belum hilang rasa penat keesokannya
2. Berjaga malam menonton TV bersama keluarga menyebabkan sukar bagun pagi
3. Apabila kurang tidur dan merasa letih bangun pagi, jadi anak akan merengek dan tak mahu ke sekolah
4. Selalunya kanak-kanak belum biasakan diri dengan rutin bangun pagi.
5. Kanak-kanak juga perlukan kawan untuk berbual dan bermain. Jika kanak-kanak tidak diterima untuk berkawan, dirinya merasa terpinggir. Berkemungkinan kanak-kanak ini terlalu dominan dan berkelakuan kasar termasuk merosakkan mainan, mengganggu rakan bermain, bercakap kasar terhadap kanak-kanak lain
6. Sikap pemalu dalam diri kanak-kanak juga menyebabkan mereka sukar mendapat kawan. Mereka mula rasa diri terpinggir dan suka menyendiri.
7. Guru tidak memberi perhatian dan tidak menyapa. Keadaan ini juga boleh menyebabkan kanak-kanak terasa dirinya seolah-olah dipinggirkan dan mereka rasa bosan berada di tadika.
8. Guru tadika sepatutnya menunjukkan sikap mesra sepanjang masa. Kanak-kanak di tadika memerlukan guru yang mesra kepada kanak-kanak. Mereka masih perlukan guru sebagai pelindung yang melindungi keselamatan mereka.
9. Ada kanak-kanak yang datangnya dari keluarga yang tidak meninggikan suara. Apabila mendengar nada suara tinggi sewaktu guru memberi arahan atau penerangan akan menakutkannya.
10. Guru bukan sahaja perlu gunakan nada suara mesra, tapi juga raut wajah mesra menjadi perhatian kanak-kanak kecil untuk merasa keseronokan belahar di kelas
11. Kekadang ada kanak-kanak yang datang dari keluarga yang serba lengkap merasa tidak seronok dengan keadaan tadika yang serba kekurangan peralatan.
12. Di tadika sudah mula diperkenalkan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi. Dirumah biasanya tiada peraturan yang ditetapkan. Kanak-kanak perlu patuh pada peraturan.
13. Kanak-kanak perlu mengikut rutin harian di tadika. Rutin bermaksud aktiviti yang telah ditetapkanmengikut masa. Kanak-kanak yang belum biasa dengan rutin itu akan merasa bosan dan ingin tinggal di rumah sahaja. Contohnya, rutin makan ditetapkan waktunya. Dirumah tiada boleh makan tanpa ikut jadual.
14. Ada kanak-kanak yang sukar untuk berpisah dengan ibu bapa terutama anak-ana yang datang dari keluarga kecil yang sangat akrab.
15. Terdapat kanak-kanak yang tidak pandai mengurus diri seperti mengurus diri untuk ke tandas. Mereka berasa malu untuk meminta bantuan guru menyebabkan mereka rasa selesa tinggal di rumah kerana ada orang akan membantunya.
16. Ada kanak-kanak tidak suka mengemas peralatan atau mainan selepas digunakan kerana mereka belum dilatih.
17. Ada kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk memakai kasut dan stoking sendiri kerana belum bersedia berdikari. Hal ini perlukan kerjasama dari ibu bapa sebagai persediaan sebelum ke tadika.
18. Terasa dirinya ketinggalan juga salah satu punca kanak-kanak tidak mahu ke tadika. Terdapat pelbagai latar belakang keluarga yang ada dalam satu tadika. Ada keluarga yang memberi pendedahan awal akademik seperti memperkenalkan asas huruf dan nombor. Kanak-kanak yang tidak diperkenalkan dengan asas akademik merasakan dirinya ketinggalan dan perasaan rasa rendah diri mula pengaruhi sikapnya
19. Perkara ini boleh di atasi jika semua ibu bapa memberi kerjasama bagi membantu kanak-kanak sewaktu di rumah.
20. Masalah kanak-kanak tidak mahu ke tadika boleh di atasi jika ibu bapa peka perkara yang menjadi punca kepada diri kanak-kanak.
21. Lebih baik atasi perkara ini dari awal demi membina keyakinan diri kanak-kanak untuk masa depannya.