Pasangan Sehidup Semati, Isteri Meninggal Hanya 34 Minit Selepas Suami Dijemput Ilahi. Sungguh ajal maut dan jodoh itu ketentuanNya. Menjadi impian bagi setiap suami isteri untuk hidup bersama hingga hari tua, jodoh hingga ke akhir hayat dan dipertemukan di syurga kelak.
Siapa sangka berkongsi suka duka dalam melayari bahtera perkahwinan selama 56 tahun dan mahu bersama hingga ke ‘negeri abadi’, menjadi impian wanita ini. Malah direzekikan pasangan ini meninggal hampir serentak, pada hari Jumaat yang mulia.
Meninggal Selepas 34 Minit Suami Dijemput Ilahi
Hasrat terakhir seorang wanita warga emas ini menjadi kenyataan apabila dia turut dijemput Ilahi selepas 34 minit suaminya menghembuskan nafas terakhir akibat kanser tekak.
Norhani Sice, 71, meninggal dunia pada jam 10.54 pagi manakala suaminya, Zahari Mat Tahir, 77, pergi menghadap Ilahi pada jam 10.20 pagi, 12 Mei lalu.
Lebih memilukan arwah Norhani rebah di riba Zahari sejurus suaminya itu menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Kampung Tualang Sekah di sini, dengan disaksikan anak bongsu mereka, Ellyawati, 41.
Ellyawati turut berkongsi kisah itu di TikTok, baru-baru ini dan mendapat perhatian warganet yang turut bersimpati dengannya susulan kehilangan dua insan tersayang.
Mak Ayah Meninggal Hampir Serentak
Ketika dihubungi, Ellyawati berkata, kehilangan dua ‘syurga’ dalam masa tempoh selang 34 minit nyata menyentap hatinya dan empat beradik lain berikutan ibu bapa mereka meninggal dunia secara hampir serentak.
Ads
Menurutnya, bapanya yang juga pesara tentera menderita kanser tekak tahap empat sejak Oktober tahun lalu dan kerap sesak nafas kebelakangan ini kerana saluran pernafasannya semakin sempit manakala ibunya menghidap penyakit darah tinggi.
“Pada pagi hari kejadian, abah sesak nafas dan saya yang tinggal di hadapan rumahnya membantu menggosokkan dada abah. Sejak sakit, abah memang kerap meludah dengan air ludahnya turut berdarah.
“Tetapi pada hari kejadian, dia meludah banyak penuh dua mangkuk. Abah kemudian dilihat semakin baik dan pergi membasuh mukanya sebelum duduk di sofa di ruang tamu.
“Mak pula ketika itu seperti biasa sahaja, malah sempat menyapu halaman sambil sekejap-sekejap masuk ke rumah melihat abah sebelum mak panggil saya untuk tengok abah sementara dia ke tandas,” katanya dalam nada sebak.
Mak Jatuh Di Riba Abah
Menurutnya, sebaik dia sampai di rumah ibu bapanya, dia melihat bapa kembali sesak nafas dan dadanya juga dilihat berombak selain warga emas itu turut meminta membawanya ke hospital.
“Mak duduk di sebelah abah pada ketika itu dan tidak lama kemudian, abah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kami dan tiba-tiba mak jatuh di riba abah serta tidak sedarkan diri.
“Ketika itu saya memang tidak keruan, tetapi saya sempat hubungi keluarga di kumpulan WhatsApp kami dan meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans, mak pula dijemput Ilahi,” katanya.
Pasangan sehidup semati itu kemudian dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang Sekah di sini.
Ads
Hubungan Erat Mak Abah
Ellyawati berkata, ibu bapanya mempunyai hubungan erat dan selalu menghabiskan masa bersama terutama ketika usia tua mereka, malah mengakui ibunya yang sebelum ini kurang sihat menjadi kuat demi memberi semangat kepada bapa yang disahkan menghidap kanser tekak.
“Arwah mak dan abah selalu bersama, ke mana sahaja mereka selalu pergi berdua. Kalau pergi berjalan dengan anak, mereka tidak mahu berpisah kereta dan mahu naik kereta yang sama.
“Sepanjang abah diuji dengan kanser, mak sentiasa bersama abah. Dia menguatkan dirinya untuk beri semangat kepada abah,” katanya yang memberitahu ibu bapanya mempunyai lima anak berusia 41 hingga 52 tahun, 15 cucu dan seorang cicit.
Menurutnya, ibunya pernah memberitahu sepupunya yang dia mahu meninggal dunia bersama bapa pada Aidilfitri lalu dan mengakui dua insan tersayang itu juga ada memberi tanda sehari sebelum kejadian namun ia hanya disedari mereka selepas itu.
Ads
“Anak saya memang rapat dengan abah dan setiap hari akan pergi ke kedai bersama. Sehari sebelum kejadian, abah minta anak peluknya dan cakap selepas ini atuk sudah tak bawa ke kedai.
“Mak pula cakap dia mahu kemas rumah sebab esok ramai orang nak datang. Saya ingatkan itu biasa sahaja kalau ada tetamu atau orang kampung yang datang, namun saya dan empat beradik lain reda.
“Mak dan abah pergi pada penghulu hari, Jumaat dan abah sudah tidak menanggung sakit lagi.
“Mungkin kalau mak ada, dia akan menanggung rindu pada abah, tetapi sudah takdir mereka pergi bersama,” katanya.
Mingguan Wanita: 56 tahun hidup bersama, sehidup dan semati pasangan suami isteri ini hingga ke akhir hayat. Semoga pasangan ini ditempatkan di syurga dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah
Nak senangkan kerja ibu bapa sekarang ini. Anak menangis atau meragam, umpan sahaja dengan gajet, baik telefon pintar atau ipad. Terus anak senyap atau paling tidak ia boleh membuatkan anak leka dan ibu bapa senang boleh siapkan kerja rumah tanpa gangguan anak.
Tidak dinafikan dengan pendedahan melalui gajet ini, anak-anak akan menjadi lebih cerdik. Itu jika diberi pendedahan dengan ilmu atau aktiviti sesuai yang ada dalam gajet tersebut.
Hakikatnya, bila anak sudah ada ‘kawan karib’ yang sentiasa ada dengannya 24 jam, ia boleh memberi masalah kepada anak-anak untuk jangka masa panjang. Bahkan, jika anak didedahkan dengan gajet pada usia bawah dua tahun, macam-macam masalah timbul, bukan sahaja masalah penglihatan tetapi juga tingkah laku yang agresif dan ada juga boleh menyebabkan anda menghidap autisme. Jangan main-main…
Ini antara intipati yang dibincangkan dalam Mingguan Wanita Talkshow tengah hari tadi. Antara panel yang hadir tadi ialah Dr. Atiyah Azmi, Perunding Keibubapaan & Pengasan Pusat Keluarga Ceelik.
“Kita perlu kawal penggunaan gajet bagi anak yang berusia bawah 6 tahun kerana waktu ini perkembangan otaknya sangat pesat. Cuba cari skill lain yang boleh bagi manfaat untuk anak-anak ini. Tetapi, jika didedahkan dengan cara yang betul ia boleh memberi kebaikan pada anak-anak.”
“Selain penggunaan gajet, ibu bapa boleh gunakan cara tradisional dengan alihkan kepada membaca buku, belajar menulis dan paling penting cara utnuk menghormati orang lain.”
“Jadi, ibu bapa kena bawa anak-anak ke dunia realiti dan tentunya makanan-makanan otak adalah melalui sentuhan, pendengaran dan pertuturan.”
Tip Ajar Anak Kawal Guna Gajet
1. Anak sentiasa jadi cerminan kita – sebenarnya kita yang ketagih gajet dan perlu rawat diri agar anak tidak terikut-ikut. Sentiasa rajin lakukan aktiviti bersama anak.
2. Sabar – ia memang mengambil masa yang lama untuk menghilangkan ketagihan gajet.
3. Buat keputusan yang baik – beritahu kesan dan baik buruknya.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah, Pensyarah Perubatan & Pakar Mata Kanak-kanak UITM pula mengatakan ada tanda-tanda awal yang boleh ibu bapa jadikan panduan sama ada anak mengalami masalah kesihatan mata akibat penggunaan gajet.
1. Bawah umur 2 tahun – Bila berjalan, kerap terlanggar barang dan sentiasa telengkan kepada apabila melihat sesuatu.
2. Anak kecil – Suka kecilkan anak mata untuk membantu melihat benda dengan lebih jelas.
3. Anak sekolah – sering pening kepala dan penglihatan tidak jelas.
“Amalkan 20:20:20 iaitu selepas 20 minit bermain gajet, ambil masa 20 saat untuk melihat benda lain dengan jarak 20 meter.”
Jangan umpan anak dengan gajet dan ibu bapa prlu ada kerjasama untuk menghadkan masa bermain gajet. Cubalah cari alternatif lain untuk masa depan mereka.
Untuk mengetahui perbincangan lebih lanjut, ikuti siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow pada jam 8 malam di Astro Prima 105 dan Prima HD yang dihoskan oleh Siti Elizad dan Sherry Al-Hadad.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Penghujung bulan Januari memang mudah nak jumpa limau Mandarin. Lagi-lagi yang dijual dekat pasaraya besar. Ada juga yang dihadiahkan oleh syarikat-syarikat persendirian pada orang perseorangan.
Disebabkan limau itu sendiri kaya dengan vitamin C, kita pun pulunlah makan. Rupanya limau yang dijual di pasaraya itu mak-mak tak boleh terus makan macam gitu. Sebab ada cara yang betul memakannya. Bukan main kupas dan makan.
Inilah yang diterangkan oleh Dr Rosli Abdul Jalil berkenaan cara betul memakan limau Mandarin. Kenapa Dr ingatkan tentang ini semua. Haa.. ini jawapannya.
Kaitan Limau Mandarin Dan Gejala Sakit Tekak
Limau sangat kaya dengan vitamin C dan ia sepatutnya menghalang kita dari gejala sakit tekak.
Namun begitu, bilangan pesakit yang menghidap gatal dan sakit tekak serta batuk bertambah sekali ganda dalam musim perayaan.
Apakah kaitannya dengan limau Mandarin tersebut?
Pengusaha buah-buahan memang ada menggunakan sejenis bahan kimia iaitu ‘Sulphur dioxide’. Buah limau ini akan direndam terlebih dahulu ke dalam cecair yang mengandungi bahan kimia tersebut.
Ia dilakukan sebelum limau dimasukkan ke dalam kotak untuk tujuan melindungi kulit limau dari dijangkiti bakteria, kulat dan serangga.
Dan secara tidak langsung ia bertindak sebagai bahan pengawet supaya ianya dapat bertahan lama sebelum dipasarkan.
Kesan Sulphur Dioxide Pada Manusia
Apa kesan ‘Sulphur Dioxide’ yang terdapat pada kulit limau tersebut kepada manusia?
Ia boleh menyebabkan radang dan kesakitan tekak yang teruk, demam dan gejala batuk kering yang berpanjangan. Ia juga boleh menyebabkan sakit perut dan radang usus.
Terdapat juga kes alahan seperti radang kulit dan serangan penyakit lelah.
Bagi mengatasi masalah yang dinyatakan di atas. Sebelum nak makan limau Mandarin itu, cubalah ikuti langkah-langkah berikut:
1. Basuh atau rendam dahulu buah limau ini dan kemudian barulah dimakan. 2. Pastikan jari yang terkena kulit limau yang tidak dibasuh tidak tersentuh dengan isi limau yang hendak dimakan. 3. Sekiranya perlu, pakailah sarung tangan plastik ketika mengopek limau!
Semoga anda kekal sihat di musim perayaan ini. Inilah pesanan ringkas ‘Tips kekal sihat di musim perayaan’ yang ditulis DR ROSLI ABD JALIL.
Ada benarnya bimbang sungguh dengan trend berpeluang ziarah ke Baitullah sebagai satu penanda aras bahawa hidup kita sudah diberkati. Hakikatnya sesiapa sahaja boleh sahaja ke tanah suci ini.Janganlah kita terus berbangga dengan ibadah yang dilakukan, ini kerana hanya Allah yang menyampaikan kita ke sana. Sebaliknya malulah jika masih melakukan dosa serta tidak menunaikan perintah dan suruhanNya.
Adakah pemergian ke Mekah tanda hidup kita sudah diberkati?
Saya ada satu kebimbangan apabila trend di kalangan kita yang menjadikan ziarah ke Baitullah sebagai lambang hidup kita sudah diberkati.
Baitullah dianggap tempat untuk menyuci dosa, namun bila pulang ke tanahair diulang lagi dan lagi dosa yang sama.
“Aku pondan tapi boleh sampai Mekah” “Aku tak pakai tudung tapi boleh sembahyang depan Kaabah” “Kau banyak solat dan puasa tapi tak pernah jejak ke Mekah”
Mana dalil mana nas menyatakan Kaabah hanya menerima orang yang tiada dosa?
“Bukanlah kebaikan itu dengan memandangkan wajahmu ke timur atau barat, tetapi kebaikan ialah mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, malaikat, kitab dan para nabi, dan memberikan harta yang dicintai kepada kerabat, anak yatim, orang miskin, ibn sabil, dan orang yang memerlukan dan riqab, dan mereka yang menunaikan solat, mereka yang mengeluarkan zakat dan mereka yang menunaikan janji bila berbuat janji”
Sejak zaman jahiliah, orang Mushrik tawaf di sekeliling Kaabah dalam keadaan berbogel.
Sejak dahulu pencuri penyeluk saku membuat onar di keliling Kaabah.
Pelacur penzina begitu banyak di sana sejak dahulu.
Malah bukan satu dua jemaah mati membunuh diri di hadapan Kaabah.
Adakah mereka mati kena petir di hadapan Kaabah?
Adakah semata-mata berada di hadapan Kaabah tanda semua aktiviti kehidupun mereka selama ini diberkati?
Sahabat,
Siapa pun boleh pergi ke Mekah, siapa pun boleh sahaja tawaf, saie mengerjakan haji dan umrah. Penzina, penipu, pencuri, ahli syirik dan lainnya boleh sahaja ke Mekah pada bila-bila masa.
Dosa hidup kita tidak disucikan semata-hata hadir di hadapan Kaabah. Apabila berbuat dosa, Allah suruh kita bertaubat. Taubat ini boleh dilakukan di mana-mana. Tiada nas menyuruh kita bertaubat hanya di depan Kaabah.
Dalam Islam tiada ritual penebusan dosa di hadapan Kaabah. Tiada bayaran tiada aktiviti tertentu menghapuskan dosa melainkan taubat. Hanya Allah yang mengetahui taubat kita diterima atau tidak.
Hanya Allah yang berhak mengampunkan dosa kita.
Bergambar di hadapan Kaabah bukan tanda Allah reda.
Tapi cinta kita kepada Kaabah, rindu kita untuk menunaikan umrah dan haji adalah satu ibadah yang sangat baik dan dituntut.
Betapa ramai ahli maksiat pergi ke Mekah dan pulang masih berbuat maksiat?
Berapa ramai orang berkali-kali mengerjakan umrah dan haji tapi masih menipu dan khianat.
Jangan berbangga dengan ibadah kita yang hanya Allah yang menyampaikan kita ke sana.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, berkesempatan dan berpeluang ziarah ke Baitullah bukanlah lambang hidup sudah diberkati.Jangan sesekali berbangga dengan ibadah kita, yang hanya Allah yang menyampaikan kita ke sana.