Setelah tertangguh sebelum ini, akhirnya hukuman sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan kekasih songsang berusia 22 dan 32 tahun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu berjalan dengan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang.
Kedua-dua pesalah menjalani hukuman sebatan enam kali seorang di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Rosdi Harun; dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail pada 10.10 pagi.
Hukuman sebatan di khalayak umum yang dilaksanakan hari ini adalah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.Bagaimanapun, hukuman dilaksanakan di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Turut hadir bagi menyaksikan hukuman adalah ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.
Turut menyaksikan hukuman adalah Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.
Terdahulu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan pada 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.
Terdahulu, menerusi laporan sebelum ini, dua wanita dijatuhi hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta pada April lalu. Bukan itu sahaja, tertuduh masing-masing berusia 32 dan 22 tahun itu turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas pasangan berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.
Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan bertentangan dengan fitrah yang ditentukan Allah.
Katanya, hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat umum. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, jam 1.50 tengah hari, pada 8 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah.
Portal NSTP sebelum ini melaporkan dua wanita dipercayai pasangan lesbian dicekup di dalam kereta di Dungun sebelum kedua-duanya mengaku memilih melakukan hubungan kelamin sejenis kerana merasa lebih selamat berbanding melakukan hubungan dengan lelaki.
Dalam serbuan 1.50 tengah hari itu, pasangan itu turut mengaku sudah kerap ‘terlanjur’.Malah, penguat kuasa turut menemui satu alat kelamin lelaki tiruan yang disorokkan di bawah kerusi pemandu dipercayai untuk memuaskan nafsu.
Tahniah buat Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas pelaksanaan hukuman ini. Semoga ia mampu memberi peringatan dan pengajaran buat masyarakat dan golongan sebegini agar kembali kepada fitrah. Semoga hukuman ini setimpal dan dapat mendidik mereka.