Pasangan itu milik Allah, dia manusia biasa yang hatinya boleh berubah. Kadang-kadang sang isteri sudah melakukan yang terbaik dalam menjaga hati suami, tetapi suami tetap berubah hati.
Isteri sanggup lakukan itu dan ini demi menjaga hati suami, namun masih ramai saja suami yang curang di belakang isteri. Ternyata hati suami ini berbolak-balik, tidak kiralah sama ada isterinya cukup sempurna atau tidak. Segala yang berlaku atas kehendaknya.
Ada orang kata, isteri kena pandai layan suami, baru suami tak cari lain.
Malah ada orang kata, isteri kena kongkong suami, barulah suami tiada peluang cari yang lain dekat luar.
Ada juga orang kata, isteri jangan kongkong suami sangat. Nanti suami rimas dan cari yang lain.
Dan ada orang kata, isteri kena jadi terbaik, barulah suami tak cari lain.
Pasangan Itu Milik Allah, Hatinya Boleh Berubah
Saya pernah berdepan dengan satu kes dulu. Isteri menuntut cerai walaupun mereka ini dilihat sebagai pasangan romantis, sangat sepadan dan tidak ada potensi langsung untuk mereka mengkhianati sesama sendiri.
Dia dan suami mengusahakan sebuah syarikat jual kereta. Mereka agak kaya. Ada seorang anak perempuan yang masih kecil masa itu, baru berusia empat tahun, comel.
Suami isteri ini bekerja bersama. Selalu bersama. Semua hal kewangan daripada syarikat sampailah ke keluarga, dijaga oleh isteri. Mereka tak pernah terpisah, di rumah dan di tempat kerja sentiasa bersama.
Suami Manusia Biasa & Hatinya Boleh Berubah
Mustahil suami boleh cari lain kan?
Tapi mana tahu, satu hari kami tersilap hantar surat ke alamat suami. Sebab suami beli rumah. Dia memang ada pesan, semua surat jangan pos. Dia akan datang ambil. Tapi entah macam mana boleh terlupa, kami terpos sekeping surat.
Bukan surat penting pun, cuma cc copy je (salinan surat), walhal selama hari ni cc surat kami cuma email saja.
Datanglah si isteri ke pejabat kami, bertanyakan tentang surat tu. Katanya bila masa pula suaminya beli rumah? Maka, pecahlah rahsia.
Rupanya si suami belikan rumah itu untuk perempuan simpanannya. Bahkan, mereka sudah ada seorang anak lelaki berusia dua tahun. Isteri mana yang tak kecewa kan?
Namun dia pelik juga. Segala kewangan, dia pegang. Setiap masa suami bersamanya. Bila masa pula dia jumpa perempuan lain, siap ada anak bersama.
Dipendekkan cerita, rupanya setiap bulan mereka akan ambil duit gaji masing-masing. Walaupun itu syarikat mereka, mereka masih disiplin mengambil duit gaji sama seperti pekerja lain.
Sebab tak nak campur adukkan duit syarikat dengan duit perbelanjaan sendiri.
Dan mereka akan terpisah selama dua jam setiap hari, iaitu masa makan tengahari. Sebab salah seorang perlu berada di pejabat, tak boleh dua-dua keluar sekali.
Maka, dari situlah si suami memiliki perempuan simpanan. Walau hanya terpisah 2 jam sahaja sehari.
Segalanya Tentang Hati, Suami Manusia Biasa
Kepada pada isteri di luar sana, walau apapun yang kita sudah buat untuk suami kita, cara keras, cara lembut….
Segalanya tentang hati…
Walau bagaimana kongkong suami, kalau dia nak buat hal, dia buat juga.
Walau bagaimana kita berlembut dan biarkan dia, pun dia boleh buat hal juga.
Begitu juga dengan isteri. Walau dapat suami sebaik mana sekalipun, masih ada isteri yang berpaling tadah.
Pasangan kita itu milik Allah. Dia manusia biasa. Hatinya boleh berbolak-balik. Nasihat orang kita dengar dan fikir kebaikannya, bukan ikut melulu. Selebihnya, berdoalah kepada Allah, hanya Dia yang terbaik, kerana Dia yang memegang hati setiap hamba-Nya.
Farizal Radzali
MW: Paling penting sebagai isteri dan juga pasangan, serahkan dan berdoalah kepada Allah untuk memegang hati suami hanya untuk kita. Namun jika pasangan tetap curang, percayalah ianya adalah kehendak Allah dan pasti ada hikmah setiap satunya walaupun perit.
Akidah bererti ‘kepercayaan’, ‘keyakinan’ atau keimanan yang mantap dan tidak mudah terurai oleh pengaruh mana pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.
Ujian kesihatan merupakan salah satu nikmat yang Nabi s.a.w minta kita syukuri. Antara lain, kata Baginda yang mulia: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” – (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Hadis ini sesuai direnungkan pada waktu kita sedang bergelut dengan wabak yang belum lagi nampak titik hujungnya. Berbuatlah sehabis baik dalam skala kita sebagai hamba Allah SWT untuk mencegah daripada dijangkiti. Usaha ini juga mrupakan salah satu daripada tanda syukur kita kepada Allah atas nikmat sihat yang diberikan.
Rakan penjaga yang dihormati, cara pandang terhadap wabak yang cuba saya bawakan menerusi artikel ini adalah sebuah cara pandang yang diajarkan oleh Islam yang seharusnya dipegang kemas. Daripada mana sumbernya, sudah tentu daripada al-Quran dan Sunnah yang sudah pun rapi disusun dan sarat dengan panduan.
Mana mungkin kejelasannya dapat kita nampak dan hikmahnya dapat kita rasai jika isi kandungannya hanya dipandang sepi. Begitu jugalah dalam hal mendidik dan menguruskan hal ehwal anak-anak kita.
Bahkan, adalah dituntut untuk kita menekuni konsep yang diberikan Allah menerusi kalamnya dan cara dan metode pendidikannya menerusi teladan Baginda s.a.w. Oleh yang demikian, dua sumber ini seharusnya benar-benar dijadikan panduan dalam kehidupan kita.
Dalam mendidik anak-anak, perkara utama yang harus ditekankan adalah semaian akidahnya. Ia harus kukuh berakar dalam sanubari anak-anak kita. Sejajar dengan plot dakwah Nabi s.a.w yang memulakan dakwahnya di Mekah dengan pemasakan akidah sehingga mengambil masa 13 tahun.
Kejayaan Baginda s.a.w dalam usaha baginda ini kemudiannya dapat dilihat dengan tamadun yang dapat dibina dengan utuh di kota Madinah. Bukan sahaja secara material malah lebih-lebih lagi keutuhan peribadi mukmin dalam diri para sahabat Baginda. Nama Islam disegani dan benar-benar dijulang dek kerana hati-hati yang tawaduk kepada Ilahi.
Beginilah peribadi anak-anak yang ingin kita bangunkan. Anak-anak kita mungkin tidak berdepan dengan serangan akidah secara fizikal namun serangan yang mereka hadapi adalah secara halus dan tidak nampak zahirnya. Tanpa pengukuhan akidah yang mapan dalam jiwa mereka sudah tentu banteng akidah mereka senang tercalar. Kesannya dapat dilihat daripada cara mereka berfikir, berhujah dan berperilaku. Maka teladan yang Nabi s.a.w tunjukkan haruslah diikuti agar anak-anak tidak terperangkap dengan serangan ini.
Rakan penjaga yang dihormati, kepercayaan adalah titik mula kepada pembinaan karektor dan tingkahlaku yang baik. Kepercayaan yang ditunjangi dengan akidah yang murni bersumberkan al-Quran dan Sunnah pasti membuahkan sebuah karektor mukmin yang soleh lalu membuahkan tingkah laku penuh adab yang mengetahui letak duduknya setiap perkara dalam sistem kehidupan. Maka benarlah teladan Baginda s.a.w yang memasakkan akidah kepada bangsa arab jahiliyyah sehingga berjaya menghasilkan sebuah tamadun yang disegani.
Dalam bingkai kehidupan keluarga yang kita miliki, ibu dan ayah harus sepakat dalam soal ini demi mewujudkan sebuah persekitaran yang selari dan harmoni. Kejayaan membina tamadun dalam rumah adalah hasil kesefahaman dua pihak iaitu ibu dan ayah yang sentiasa memastikan ketunggalan Allah dalam setiap gerak geri perlakuannya.
Bagaimana untuk mendapatkan persefahaman itu ialah dengan berlaku ihsan dalam setiap pergerakan. Kedua-dua ibu dan ayah harus bertindak demi menyampai dan membenarkan ketunggalan Allah SWT. Maka insyaAllah perselisihan akan dapat dikurangkan dan persekitaran harmoni dapat diwujudkan dalam usaha menyemai akidah dalam diri anak-anak.
Walau bagaimanapun, dalam memperkenalkan keagungan Allah, tiadalah yang lebih layak dan tepat melakukannya melainkan Allah SWT sendiri. Maka mintalah dan seringlah bermunajat kepada-Nya sesuai dengan martabat hamba yang kita miliki. Wallahuallam.
Berbanggalah jadi surirumah kerana ramai wanita yang bekerjaya juga mahu duduk di rumah besarkan anak sendiri jika bersempatan. Masing-masing ada peranan dalam meneruskan hidup. Jika sudah tersurat, mak-mak bergelar seorang surirumah, pasti sahaja ada hikmahnya.
Begitu juga dengan mak-mak yang bekerjaya, sudah tentu mereka juga mempunyai peranan di syarikat atau kepada masyarakat. Hidup mengikut ketentuan yang Allah telah tentukan.
Ikuti perkongsian Syahirah Omar dan hadam baik-baik ya. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang.
Pernah juga,
Rasa teruknya jadi surirumah ini.
Waktu tengah struggle dulu, dengan anak-anak masih membesar dan menuntut perhatian, tiba-meniba aku rasa nak sambung belajar. Tengok kawan-kawan sudah bergelar Dr falsafah, aku?
Ada kat rumah tengah lap kencing berak anak.
Rasa loser sangat! Pressure satu macam. Tak ada life duduk rumah!
Aku pun hendak berjaya. Aku hendak jadi seperti mereka. Tetapi hendak berjaya juga perlu pengorbanan bukan? Pengorbanan masa. Pengorbanan bersama keluarga. Mungkin mereka sendiri tak pernah meluah rasa dengan kita. Hakikatnya, kita cuma lihat luaran saja.
Makin tua ni barulah dapat berfikir.
Kita semua boleh berjaya dalam bidang masing-masing. Dan jika ditakdirkan kita duduk di rumah jaga anak sekalipun, kita juga boleh berjaya mendidik anak-anak kita.
Kalian tahu berapa ramai yang nak sangat mahu saja duduk di tempat kita besarkan anak anak dengan sendirinya? Cuma mereka terpaksa bekerja.
Kita berbisnes dari rumah bantu kewangan keluarga, kita juga patut berbangga dengan diri kita. Kita hebat sebenarnya. Bukan senang tau duduk rumah, kerja lagi dari rumah. Semua sudah merasa musim PKP hari itu kan?
Biarpun pendapatan kita bukan mencecah angka 1 juta. Tak mengapa. Lagipun kita bukan warganegara Indonesia. Duit juta-juta sekelip mata. Tidak kaya bukan bermakna kita sambil lewa, kita ada komitmen luar biasa, support system kita semua tak sama.
Hari ini,
kita tengok diri kita. Masih survive. Masih hidup biar ujian yang datang kita menangis terduduk bagai nak gila. Kita masih lagi survive. Ada saja Tuhan beri kita jalan keluar.
Persetankan saja mereka yang bercakap itu ini.
Biar saja mereka!
Hidup ini kau boleh mati kalau dengar cakap cakap manusia.
Pesan orang tua,
Gembira jangan sampai terlupa.
Bahagia jangan sampai alpa.
Hidup ini ujian.
Bila susah itu ujian.
Bila senang itu juga satu ujian.
Saat kau menggunung atau melangit,
Jangan sesekali lupa untuk terus tunduk ke bumi.
Esok lusa kita tak tahu apa ujian Tuhan nak beri.
MW: Bersyukurlah dengan takdir hidup yang telah Allah tentukan. Pasti ada hikmah di sebalik setiap satu kejadiannya. Tak kisahlah anda seorang suru rumah atau bekerjaya, anda tetap berkorban dan memberi sumbangan pada keluarga dan orang lain.
Tular video memaparkan Mona Allen dan Pekin Ibrahim memakai topi Santa serta bertukar hadiah mencetuskan dakwaan sambutan Krismas dan perdebatan hangat netizen.