Mas kahwin atau mahar wajib diberikan oleh pihak suami kepada isteri sebagai pemberian hadiah ketika akad nikah. Nilai serta jenis pemberiannya pula bergantung pada persetujuan bersama. Tidak semestinya kena bagi wang ringgit atau barang kemas, apa yang penting ia tidak membebankan.
Uniknya mas kahwin yang menjadi pilihan pasangan dari Indonesia ini. Pasangan ini memilih hanya Surah Al-Ikhlas dan segelas cendol sebagai pemberian mas kahwin di hari perkahwinan mereka.
Video pernikahan pasangan ini menjadi viral di media sosial apabila ia dikongsikan oleh Bagus Yudhistira di laman Facebooknya pada 30 Januari lalu. Berwalikan bapa pengantin, pasangan ini sah diijabkabulkan dengan surah Al-Ikhlas dan segelas cendol.
Selepas selepas akad nikah, pengantin lelaki telah menyerahkan segelas cendol kepada pengantin perempuan. Sebagai tanda ‘terima’, pengantin perempuan meminum cendol tersebut.
Lebih istimewa lagi, sebagai simbolik pada perkahwinan ini, pengantin lelaki telah menunggang sebuah motosikal yang telah diubah suai untuk kelengkapan jualan cendol menuju ke rumah pengantin perempuan. Pasangan pengantin diraikan dalam majlis serba sederhana bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
MW: Selamat Pengantin Baru buat pasangan ini. Perkahwinan itu memudahkan, apa yang penting bersederhana dan ikut kemampuan diri.
Sumber: Bagus Yudhistira