Cepatnya masa berlalu. Rasanya baru sahaja aku bergambar dengan 4 orang anak, itu pun aku sudah merasakan betapa meriahnya rumah.
Bukan sekadar meriah dengan sorak dan usik mengusik adik beradik tetapi meriah dengan suara ‘tarzan’ mamanya. Mana tidaknya, yang sulung mengejek adik no 2, abang no 2 mengacau adik no 3. Kakaknya pula mengusik adik no 4. Paling kecil, no 5 hanya mampu terkebil-kebil mata. Mungkin dalam fikirannya ‘tunggu bila adik dah boleh berjalan yer’.
Mungkin orang di luar sana menganggap hidup di bandar raya ini, 3 orang anak sudah memadai. Tapi bagi aku, semua ini sudah diatur oleh Allah dan ini jugalah yang dikatakan rezeki anak-anak.
Itu pun bila waktu malam setiap kali melihat raut wajah anak-anak, aku kira satu persatu anak… semuanya 5 orang. Rasanya masih belum cukup ramai lagi nie. Tak pe, cukuplah dengan apa yang Allah berikan ini. Selebihnya aku perlu menjaga amanah yang Allah berikan sebaiknya, walaupun kadang2 terpaksa mengeluarkan suara ‘tarzan’ dan tangan ‘gatal’ mencecah kulit anak, bila mereka tidak mendengar kata.
Jarak umur mereka pun antara 2-3 tahun tapi yang paling dekat adalah no 4 dan 5. Semua tanpa dirancang. Jika sebelum ini, setiap kali hari raya, kami sekeluarga mesti bergambar bersama. Contohnya sebelum ini, 2 kali raya, jumlahnya tetap sama. Tup-tup tahun 2017, kami bertujuh berpakaian sedondon, sedangkan kami baru sahaja bergambar 6 orang tahun lepas.
Tidak kurang juga yang kata ‘kesian’ abang, kecik-kecik dah ada adik. Tak mengapa, nanti mereka akan sama-sama membesar. Boleh jadi orang ingat mereka kembar nanti. Seronoknya, sebelum bersalin anak ke 5, aku sudah belikan baju raya warna sedondon dengan abang-abangnya. Inilah dinamakan rezeki anak-anak. Sayang anak mama.
Menjerit dan berleter itu sudah perkara biasa bagi mak-mak. Belum masuk suara anak-anak menangis dan bergaduh sesama mereka. Ada beberapa tip untuk anak mengurus anak yang ramai.
• Bagi panduan pada anak yang besar untuk melakukan kerja rumah sendiri. Bagi anak yang masih kecil (2-3 tahun) ajar perkara yang sesuai dengan umur mereka. Contohnya, buang pampers di dalam tong sampah atau baju kotor di dalam bakul.
• Bila anak dah ramai, pakaian kotor pun menimbun. Jadi, untuk memudahkan kerja, mak-mak boleh asingkan pakaian. Contohnya, untuk anak yang masih kecil (0-2 tahun), mak-mak basuhkan sekali. Asingkan baju basahan di rumah, baju kerja dan baju anak-anak. Ini belum termasuk baju sekolah anak-anak lagi.
• Bila masa bekerja, memang tidak sempat untuk memasak. Jawabnya ‘masak’ di kedai. Tapi mak-mak boleh rancang menu ringkas seminggu dan mampu membuka selera anak-anak.
• Bila anak ramai, sudah tentu masing-masing akan mengharapkan satu sama lain. Jadi, untuk jimatkan masa, anak-anak yang sudah besar sudah boleh diminta bantuan. Sulung, jemur pakaian, anak kedua, buang sampah, anak ketiga kemas mainan, anak ke 4 dan 5 pula, sudah tentu sepahkan mainan.
• Sesetengah mak-mak suka beli pakaian yang sama corak dan warna. Bezanya hanya pada saiz. Tapi bagi saya, lebih suka beli warna pakaian yang sama dengan corak berbeza. Sekurangnya, bila adiknya dah besar sedikit boleh guna pakai semula. Tak adalah nampak baju corak dan warna yang sama. Jimat.