Apakah pemakanan baik kita boleh amalkan sepanjang tempoh PKP yang boleh meningkatkan sistem imuniti bagi mengelakkan diri daripada terkena wabak COVID-19?

Pegawai Sains (Pemakanan), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kementerian Kesihatan Malaysia, Encik Muhammad Asyraf bin Ismail menjelaskan dalam keadaan wabak COVID-19 seperti sekarang ini, kita semestinya risau dengan kesihatan masing-masing.

“Imuniti dalam badan boleh membantu melawan penyakit. Bukan semua penyakit tetapi sekurang-kurangnya badan ada kebolehan untuk bertindak balas dengan penyakit yang kita dapat.

“Saranan saya, pemakanan yang sangat penting bagi mendapatkan imun badan yang lebih baik adalah mesti makan sayur dengan buah. Sebabnya sayur dan buah tinggi dengan semua vitamin dan mineral yang penting untuk badan. Semua vitamin dan mineral ini penting untuk badan. Ia akan membantu menghasilkan imun badan yang lebih baik.

“Kita juga menggalakkan pengambilan makanan tinggi vitamin C. Contoh-contoh makanan yang tinggi vitamin C adalah seperti jambu batu, oren, brokoli, tomato, betik dan lain-lain lagi  yang boleh membantu meningkatkan sistem imuniti badan.

“Selain daripada itu kita juga boleh amalkan minuman susu kultur yang ada bakteria baik di dalamnya. Bakteria ini baik untuk kesihatan usus. Ataupun kita boleh ambil yogurt. Secara tidak langsung pengambilan ini boleh membantu mendapatkan imun badan yang lebih baik.”

Pemakanan Yang Baik Untuk Tingkatkan Imuniti
Mingguan Wanita Talkshow dihoskan oleh Dahlia Syazwan

Muhammad Asyraf mengupas topik Pemakanan Yang Baik Untuk Tingkatkan Imuniti di program Mingguan Wanita Talkshow di saluran Astro Prima dan Astro Prima HD yang bersiaran dari pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 tengahari. Siaran pada hari Selasa 24 Mac 2020 ini telah dihoskan oleh hos jemputan Dahlia Syazwan.

Ini Perkara Yang Boleh Dilakukan Supaya Tidak Terlebih Makan

Bila duduk rumah kita jadi cepat lapar. Betulkan? Oleh itu apa perkara yang boleh kita lakukan agar tidak terlebih makan?

IKLAN

Terlebih makan ini bahaya kerana ia boleh menyebabkan berat badan kita semakin bertambah. Kita tidak tidak mahulah sebaik habis kuarantin, berat badan pula bertambah. Kan?

Cadangan Pegawai Sains (Pemakanan) ini boleh dijadikan panduan. Muhammad Asyraf mengesyorkan jika kita masak sesuatu makanan itu, masaklah dengan secukupnya.

“Jika ada 4 orang dalam rumah, jangan pula masak untuk 10 orang. Masak secukupnya untuk 4 orang. Sebabnya kalau kita masak secara berlebihan, makanan itu siap ada di atas meja, kita akan kerap mengulang untuk makan.

“Pastikan makanan yang kita masak itu secukupnya untuk bilangan orang yang ada di rumah agar kita tidak makan secara berlebihan.

“Cuba ubah mind set itu untuk ingat makan sahaja. Kita cuba buat aktiviti lain seperti senaman ringan dan mengemas rumah untuk mengelakkan kita asyik teringat makan dan makan secara berlebihan.”

Jangan Percaya Petua Tanpa Sumber Sahih!

Berkaitan dengan munculnya banyak petua-petua yang boleh diamalkan bagi mengelakkan penyakit dan wabak Covid-19, Muhammad Asyraf berpendapat bahawa kadang-kadang petua ini muncul disebabkan secara kebetulan sahaja.

“Pada pendapat saya kadang-kadang petua ini muncul mungkin disebabkan oleh secara kebetulan seseorang itu sedang demam dan masa yang sama dia makan buah epal hijau sebagai contohnya. Dan selepas itu suhu badannya telah menurun.

“Maka dia mengatakan epal hijau boleh menurunkan badan dan demam boleh baik. Itu semuanya secara kebetulan sahaja. Belum tentu berdasarkan apa yang dia makan. Mungkin juga berdasarkan ubat yang dimakan sebelum itu.

“Ada juga petua-petua ini berdasarkan  testimoni dan pendapat yang dikumpul oleh orang lain. Semua ini tidak boleh digunakan.

“Untuk sesuatu pernyataan itu, ia mesti berlandaskan daripada fakta yang betul, kajian yang mendalam yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun. Benda ini (COVID-19) baru lagi. Takkanlah dalam masa singkat ini macam-macam boleh keluar.

“Jadi kita kena pastikan bahawa petua yang kita dapat itu, kita fikir dahulu samada adakah ia betul atau tidak. Jangan hanya sebarkan sahaja kerana kadang-kadang petua ini bahaya kerana kesannya tidak sama.”

Musim-musim PKP ni jangan pula kita sibuk beratur nak beli makanan kegemaran, gunakan je khidmat penghantaran. Sekarang ni Lazada MY ada bagi Ramadhan Food Voucher discount , diskaun sehingga RM9 potongan. Jimatkan!

Ikuti Saranan Ini

  • Jangan makan secara berlebihan.
  • Amalkan konsep pengambilan makanan suku suku separuh yang mana mesti ada buah dan sayur. Selain itu perlu ada protein dan karbohidrat.
  • Minum air kosong dengan banyaknya. Sekurang-kurang 6 hingga 8 gelas sehari.
  • Pastikan info-info yang kita peroleh sebelum disebarkan kepada orang lain adalah info daripada sumber yang sahih daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya daripada Bahagian Pemakanan dan Cawangan Pemakanan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ikuti Siaran Ulangan

Siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow boleh ditonton pada pukul 8.00 malam di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD. Mingguan Wanita Talkshow bersiaran dari hari Isnin hingga Khamis.