Pakai Pelitup Muka, Sanitasi Tangan Sampai Lencun, Tetap 12 Hari Positif Covid-19

Share

Lelaki ini, Najmi Farisham tak pernah menyangka akan melalui detik disahkan positif Covid-19. Tidak pernah terbayangkan, malah dia begitu berjaga-jaga dengan pakai pelitup muka dan sanitasi tangan setiap kali keluar rumah.

Namun, takdir tuhan tiada siapa menduga. Bukan saja dia, malah ada ahli keluarga yang turut disahkan positif. Dan beliau berkongsi pengalaman, kekal bertenang biar pun sakit diuji dengan virus Covid-19.

Akhirnya Tuhan Pilih Aku..

Tak sangka, akhirnya kali ini Tuhan pilih aku untuk merasa jangkitan positif virus COVID-19 ini. Fuh!

Dari Madinah, kemudian terbang balik ke Malaysia, kena cucuk mulut hidung dah. Syukur, negatif ketika itu. Dapatlah merasa menginap di hotel 5 bintang, lengkap segalanya.

Masa itu, virus ini tengah mengganas betul. Kes di serata dunia naik mencanak-canak. Tambahan, dunia tengah kalut sebab masih belum jumpa cara nak mengawalnya.

Dah sampai di Malaysia, aku merantau ke sana ke mari. Rentas daerah, rentas negeri. Semuanya selamat. Namun itulah, kalau Tuhan tak nak beri lagi, pergilah ke mana sekalipun tetap tak dijangkiti.

Pada penghujung Mac lepas, kami sekeluarga disahkan positif.

Rasa Tak Sedap Satu Badan

Mula-mula umi kena, demam dan batuk-batuk. Terus dibawa ke hospital untuk kuarantin.

Aku dah rasa tak sedap badan dah. Tubuh berasa tak bertenaga sangat. Berdiri lama, rasa nak rebah. Demam menggigil, sakit kepala, sakit sendi badan. Nak tidur malam pun tak boleh.

Dalam hati memang dah rasa sangat, “Konfem positif ni nampak gayanya.”

Aku terus mengasingkan diri, duduk di bilik lain. Tak nak bercampur dengan orang lain terutamanya anak dan bini.

Akhirnya Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telefon, mengarahkan kami sekeluarga untuk datang melakukan saringan sebab dikira kontak rapat dengan umi.

Pagi pergi buat saringan, tengah hari itu terus pegawai PKD telefon.

Encik, Muhammad Najmi ke?”

Ha, ya saya.”

Saya nak beritahu result pagi tadi, yang encik positif. Nanti siap-siap kemaskan barang ya, ambulan datang jemput di rumah.”

Terkejut Tidak, Takut Apatah Lagi

Yang peliknya, aku tak rasa terkejut langsung. Takut pun tidak. Tak adalah duk terbayang yang bukan-bukan.

Mungkin sebab gejala yang aku alami itu dah teruk. Jadi aku memang mengharapkan supaya dikuarantin di tempat khas. Bukan di rumah. Risau benda ini berjangkit ke orang rumah, anak, adik-adik dan nenek yang ada sekali.

Lagipun aku faham benar yang virus ini tak ‘berbahaya’ untuk orang muda. Ramai yang dah survive. Dan benda ini harus dibendung sepenuhnya dalam tempoh 10 hari awal. Sebab tempoh inilah virus itu sangat aktif.

Saya seorang ja kan yang positif? Orang rumah, anak, adik-adik, nenek yang swab sekali pagi tadi negatif kan?” tanya aku mendapatkan kepastian sebelum menamatkan perbualan.

Ya encik, yang lain semua negatif,” jawabnya tenang.

Ah, syukurlah!

Masa ambulan sampai, seorang petugas lengkap berpakaian ‘angkasawan’ keluar menjemput. Ceria orangnya, membuatkan mental dan psikologi kita tak berasa lemah.

Aku melangkah naik ke ambulan dengan penuh tenang. Kepala tak diserabutkan dengan benda bukan-bukan. Aku hanya nak kuarantinkan diri di tempatnya saja, bukan di rumah.

Adik-adik Dan Nenek Pula Disahkan Positif

Seminggu kemudian, adik-adik aku dan nenek pula disahkan positif selepas saringan kedua. Ada yang bergejala, ada yang tidak. Dugaan sungguh! Mujurnya, anak bini kekal negatif.

Nenek dibawa ke Hospital Tumpat kerana berisiko tinggi. Dia ada kencing manis. Jadi memerlukan pantauan khas dari pihak hospital.

Adik-adik aku yang lain dihantar ke Hospital Pasir Puteh, tempat aku dikuarantinkan. Dah jadi macam tempat pertemuan keluarga pula. Kahkah. Doktor pun nak tergelak siap pesan lagi dekat aku, “Awak sebagai senior di sini, jaga bebaik adik-adik awak tu. Haha

Hari Ke-12 Dibenarkan Pulang

Jujurnya sikap perwatakan para petugas di sini juga memainkan peranan penting untuk kami kekal kuat. Setiap kali kami berhubung untuk pemantauan, ceria dan riang saja nada suaranya. Tak adalah duk mengeluh ke, apa ke.

Makan cukup, rehat cukup di tempat kuarantin. Tak ada duk risau virus ini akan terjangkit dekat sesiapa lagi. Paling penting, kena kuatkan semangat. Jangan fikir bukan-bukan.

Hari ke-12, aku dibenarkan pulang. Kami sekeluarga survive, alhamdulillah! Kluster yang melibatkan kami pun, seingat aku dah diisytiharkan tamat dah.

Pakai Pelitup Muka, Tangan Disanitasi Selalu

Biarpun gejala yang dialami masih belum pulih sepenuhnya, namun yang paling penting tempoh aktif virus ini sudah tamat.

Kata doktor, tubuh badan bekas pesakit COVID-19 sudah membentuk satu imuniti baru untuk melawan virus ini. Jadi kami tidak akan dijangkiti bahkan tidak akan menjangkiti sesiapa lagi. Dalam erti kata lain, kami sudah selamat alhamdulillah!

Ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, sungguh. Ketika dunia dan negara sendiri bertungkus lumus melawan wabak yang entah bila penghujungnya, aku dengan tak sengaja memberi ‘jasa’ dalam statistik angka. Kahkah!

Ya, kita tak minta pun nak kena. Pelitup muka, pakai. Tangan disanitasi selalu, sampai lencun kalau masuk ke pasar raya. Namun bila Allah takdirkan kita untuk menerimanya, jangan melenting. Tabah dan reda dengan ketentuan-Nya.

Bukankah ujian itu untuk menambahkan lagi iman kita?

Itulah.
Sumber/Foto : Najmi Farisham,
Bekas pesakit COVID-19.

Anak Elfira kontak rapat individu positif Covid-19 ‘Rayyan tak keluar orang datang rumah terdedah virus’

Untuk info kursus anjuran Mingguan Wanita dan keusahawanan, join Telegram BANGKIT WANITA di sini : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Netty Ah Hiyer