Anggaran pemasangan pendakap gigi atau braces sehingga selesai rawatan, biasanya mengambil masa 2 tahun. Menurut Dr. Pergigian Azila Mohd Kasim dari Klinik Pergigian Azila Bangi, jika lebih dari tempoh itu, menjadi hak pesakit untuk bertanya dengan doktor yang merawat.
Kes pesakit terbarunya ini mengalami facial celulitis atau bengkak muka, gara-gara memakai braces. Bukan semua doktor gigi boleh buat rawatan braces ya.
Facial Celulitis ( Bengkak Muka ) Gara-gara Pakai Braces
Pada 18/12/2019, pesakit mula berasa sakit pada gigi sebelah kanan atas. Pesakit pergi ke Klinik Pergigian A lalu doktor memberikan ubat tahan sakit.
Kemudian pada malamnya muka pesakit mula bengkak.
Menurut sejarahnya, pesakit mula memakai braces di Klinik Pergigian B selama 3 tahun lebih tetapi tiada apa-apa perubahan. Bayaran deposit sebanyak RM1,000 dan RM50 bayaran secara bulanan. Jumlah keseluruhan anggaran RM3,000.
Kemudian pesakit menyambung rawatan braces di Klinik Pergigian C. Pesakit dikenakan bayaran RM200 pada setiap kali rawatan. Pesakit hanya mula rawatan lebih kurang 4 bulan yang lalu.
Pada 23/7/2019, doktor di Klinik Pergigian C bercadang untuk mencabut gigi geraham kecil di lelangit pesakit tetapi ditangguhkan.
Doktor di Klinik C meletakkan tampalan sementara pada kedua-dua gigi gerahamnya lalu meneruskan rawatan Ortodontik. Kali terakhir pesakit berjumpa doktor Klinik C pada minggu lepas.
Tampalan Gigi Sementara Sedang Sakit..
Daripada pemeriksaan Doktor Azila, muka sebelah kanan pesakit sudah membesar dan kulit muka berwarna merah. Pemeriksaan dalam mulut pula, mendapati kedua-dua gigi geraham kecil atas kanan telah tumbuh bertindih. Satu batang gigi telah tumbuh di lelangit. Dua batang gigi ini terdapat tampalan sementara dan sedang sakit (Tender To Percussion).
Malangnya, apa yang terjadi sekarang adalah gusi tiba-tiba membengkak hingga merebak ke muka pesakit dari pipi hingga bawah kelopak mata kanan.
Doktor Azila memberi ubat berikut pada pesakit:
1) Amoxycilin 500mg
2) Metronidazole 400mg
3) Paracetamol 500mg
Doktor Azila telah berbincang dengan Doktor Pakar Bedah Mulut dan Pakar Ortodontik.
Pada keesokan harinya iaitu 19/12/2019, pesakit telah datang semula. Didapati saiz bengkak semakin besar. Pesakit juga mengadu keseluruhan gusi gigi atas mula bengkak dan sakit. Ada beberapa gigi atas yang semakin goyang.
Rawatan Semula Untuk Pesakit
Berikut adalah rawatan yang Doktor Azila berikan:
1. Membuka semua braket braces dibahagian atas.
2. Membuka semua tampalan sementara dan didapati gigi yang tumbuh di lelangit itu lubang sangat dalam (karies besar).
3. Cabutan pada gigi yang tumbuh di lelangit yang berkaries besar tersebut.
4. Untuk mengurangkan lagi kesan bengkak, doktor membelah sedikit bahagian gusi atas (incision) untuk mengurangkan bengkak akibat facial sellulitis. Darah berjaya dikeluarkan.
Pesakit di minta datang semula ke klinik untuk pemeriksaan susulan bersama doktor dan menyambung rawatan braces di klinik doktor Azila.
Perkongsian gambar dan cerita ini telah mendapat keizinan pesakit dan keluarga demi kesedaran kesihatan pergigian di Malaysia. Mereka juga berpesan sekiranya kalian mahu membuat rawatan braces, carilah doktor pakar Ortodontik.
Apa itu Facial Cellulitis (Bengkak Muka)
Facial cellulitis merupakan sejenis jangkitan bakteria yang melibatkan kulit. Ia hanya memberi kesan kepada dermis dan subkutaneus.
Penyebabnya adalah daripada beberapa jenis bakteria tertentu, di antaranya bakteria Staphylococcus dan Streptococcus. Bakteria ini biasanya masuk melalui luka dan menginfeksi tisu yang ada di dalamnya.
Dalam kes pesakit ini, penyebab berpunca daripada kerosakan gigi yang teruk dan tidak dirawat iaitu gigi yang berkaries (lubang yang dalam) seperti yang ditanda di dalam gambar.
Sekiranya gigi yang berlubang besar dan tidak dirawat sama ada rawatan matikan akar atau dicabut menjadi tempat untuk bakteria membiak jika dibiarkan.
Tanda-tanda dan gejala termasuk satu kawasan kemerahan yang membesar saiznya dalam masa beberapa hari. Sempadan kawasan merah itu selalunya tidak jelas dan kulit berkenaan boleh menjadi bengkak.
Kawasan jangkitan berkenaan kebiasaanya menyakitkan. Salur nodus limfa kadang kala boleh terlibat dan pesakit itu boleh menghidapi demam dan berasa letih.
Bahayakah Facial Cellulitis ?
Jika tidak dirawat, kawasan yang terinfeksi boleh merebak kepada nodus limfa atau salur darah.
Gangguan pada tubuh boleh menyebabkan ia menjadi teruk dan berpotensi membawa maut dan jangkitan darah yang di panggil sepsis.
Facial cellulitis yang tidak dirawat boleh menyebabkan bakteria meningitis yang mana ianya satu jangkitan pada membran yang mengelilingi otak dan saraf tunjang.
Pesanan Untuk Semua Doktor Gigi Yang Pasang Rawatan Braces
Pengajaran dari kes ini kepada semua doktor gigi yang pasang rawatan braces:
1. Ketahui kemahiran diri sendiri.
Sekiranya tiada kepakaran pasang braces atau tidak mahir menangani kes yang rumit. Rujuklah kepada pakar ortodontik. Jangan kita “dera” pesakit hingga bertahun-tahun tanpa pengakhiran (kesudahan) rawatan braces. Jangan semua kes kita nak “ambil”.
2. Selesaikan semua yang sepatutnya.
Sepanjang pemakaian braces, tidak semua pesakit berjaya menjaga kebersihan mulut dengan jayanya. Ada yang kecundang contoh gigi jadi berlubang karies atau gusi makin rosak (peridontitis).
Maka tangguhkan dulu rawatan braces tersebut. Rujuk kepada doktor gigi lain untuk tampalan, cabutan atau rawatan lain mengikut keperluan. Kemudian sambung semula pasang braces tersebut.
Harap jangan ada kes sebegini lagi selepas ini. Dah tahu gigi tu rosak teruk, usah disimpan buat “museum” dalam mulut. Cabut sahajalah.
Sebelum Buat Rawatan Braces, Pesakit Sila Hadamkan Ini
Panduan untuk pesakit sebelum memulakan rawatan braces:
1. “Survey” beberapa klinik gigi. Untuk lebih yakin bertanyakan kepada bekas pesakit yang telah selesai rawatan braces di klinik gigi tersebut. Bukan hanya percaya iklan-iklan di media sosial.
2. Murah atau Mahal itu subjektif. Jangan nak buat braces sebab murah atau mahal. Itu semua bukan jaminan rawatan yang berjaya. Yang penting disiplin diri pesakit sendiri.
3. Sekiranya banyak gigi perlu ditampal/cabut. Pastikan doktor yang pasang braces itu sudah menyelesaikannya sebelum pasang braces. Tidak kira dia sendiri yang membuat rawatan cabutan atau dirujuk kepada doktor gigi lain.
4. Pastikan doktor pasang braces memberi anggaran tempoh masa hingga selesai rawatan. Kebiasaannya anggaran tempoh 2 tahun. Sekiranya berlarutan, seeloknya bertanya semula pada doktor tersebut. Apakah tindakan selanjutnya?
5. Pastikan jangan culas temujanji, datang setiap bulan mengikut tarikh yang ditetapkan oleh doktor braces. Jangan pula kau yang suruh doktor ikut masa kau. Banyak cantik.
6. Jaga kebersihan gigi dan mulut lebih berbanding pesakit yang tidak pakai braces. Gunakan berus gigi braces, floss, interdental brush.
Sekian, semoga bermanfaat.
Rujuk sini : untuk ketahui sama ada doktor gigi itu pakar orthodontik
Sumber/Foto : Azila Mohd Kasim, doktor gigi kesayangan anda.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI