Isi Kandungan
ToggleWaktu pagi adalah waktu yang cukup berkat. Waktu inilah dibuka pintu rezeki setiap orang. Sebab itu, orang tua cakap, bangun seawal pagi supaya rezeki masuk. Rugilah bagi yang kerap bangun lewat.
Ini antara bait-bait yang dikatakan oleh Khairul Syazwan. Moga ia menjadi panduan dan amalan untuk kita semua.
Pagi diciptakan Allah sangat indah.
Waktu satu jam sebelum subuh dan satu jam selepas subuh adalah sangat yang paling dekat manusia itu dengan Tuhannya.
Sebab itu, siapa yang mengusahakan segalanya di awal pagi, insyaAllah dia akan tenang melalui kehidupan ini walau banyaknya diuji.
Rahsia Yang Maha Esa
Maka, pagi-pagi ni ada rahsia Allah yang akan diberikan kepada kita. Yang mana, kalau kita lakukan, insyaAllah. Kita benar mendapat apa yang terbaik dalam hidup ini.
1. Pagi itu berkat.
Berkat ni maksudnya cukup. Siapa yang bangun awal, solat subuh awal waktu, tidak tidur selepas subuh, itulah kecukupan yang akan mencukupkan semuanya. Soal rezeki, soal rumahtangga, soal kerja dan segalanya. Itulah powernya waktu pagi. Waktu dimana Nabi kita sendiri mendoakan umatnya.
2. Pagi itu sihat.
Bangun pagi, buka tingkap dan angin yang masuk ke dalam rumah itu, menyegarkan dan menjadikan ahli rumah itu positif. Malah, kalau kita jogging ke, buat senaman di luar rumah pun, memang kita akan rasa segar dan sihat. Embun yang turun di waktu pagi itulah, yang paling segar.
3. Pagi itu kuat.
Kalau kita lihat orang yang kaya, orang yang berjaya, orang yang ada jutaan followers, hidup mereka memang dari awal pagi. Mereka orang yang tahu dari mana nak dapatkan kekuatan itu. Suami isteri yang kuat itu, walaupun semalam penat, tapi bila mereka positif di awal pagi, mereka lah pasangan yang paling kuat sepanjang hari.
Dari Abu Hurairah R.A,
Bahawa Nabi SAW bersabda:
“Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang dari kalian saat tidur dengan tiga ikatan ia akan membisikkan kepadamu bahawa malam masih panjang, jika ia terbangun lalu berzikir pada Allah lepaslah satu ikatan, jika ia berwuduk maka lepaslah dua ikatan, dan jika ia melanjutkan dengan solat, maka lepaslah seluruh ikatan itu, sehingga pada pagi harinya ia mulai dengan penuh semangat dan jiwanya pun sihat, namun jika tidak, maka dia akan memasuki waktu pagi dengan jiwa yang keji dan penuh kemalasan.” [HR Bukhari]
Berpagi itu berkat!
MW: Waktu pagi nie, ramai yang tarik selimut untuk tidur kembali. Kita tak tahu, inilah waktu pagi yang cukup berkat untuk kita.
Sumber: Khairi Syazwan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mimpi Kepulan Asap & Soalan Misteri Petunjuk Istimewa Buat JEANNIFER SUDIAN
Sedari kecil agama bukanlah subjek utama buat dirinya. Meletakkan diri di kedudukan tanpa agama atau free thinker menjadikan dirinya terapung-apung bak belon yang beriisi gas helium. Hanya ketika usianya mencecah 12 tahun, baru dia berjinak-jinak mengikuti kelas agama Kristian. Setiap Ahad rutinnya ke gereja berdekatan untuk mendalami lebih mendalam tentang agama itu.
Seiring dengan peningkatan usia dan nalurinya masih lagi longgar tentang agama yang dianuti. Dia kemudian dikejutkan dengan satu mimpi yang aneh lagi luar biasa. Malam itu, kebetulan ketika umat Islam sibuk menjalani ibadah di bulan Ramadan, wanita berdarah kacukan Cina dan Kadazan ini mengalami satu keanehan luar biasa yang mengubah persepsinya terhadap Islam. Ikuti kisah selanjutnya mengenai perjalanan Jeannifer Sudian Abdullah, 35 mengenai kisah pengislamannya.
“Masih segar diingatan, satu malam ketika di bulan Ramadan saya mengalami mimpi pelik yang aneh. Pada tahun 2005, ketika saya berusia 21 tahun saya bermimpi menyaksikan satu perhimpunan manusia dan ada satu sosok yang tidak jelas kelihatan, seperti kepulan asap mengetuai kumpulan itu. Saya tak faham tiap butir perkataan yang dipertuturkan.
“Apa yang saya lihat kumpulan itu berada dalam suasana ketakutan seolah-olahnya hari itu hari penamat. Saya kemudian diajukan dua soalan; apa yang saya takut dan siapa yang saya takut. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu, sebaik melihat sekelompok orang menunaikan solat buat kali terakhir, saya hanya memandangnya dengan perasaan takut kerana tak tahu solat. Saya yakin mimpi ini membawa makna yang besar dan ketika itu saya tidak tahu mimpi itu sebenarnya satu bentuk hidayah untuk saya lebih mengenali Islam,”cerita ibu kepada sepasang cahaya mata kembar Naura Auni dan Mohammad Emyr Zareed enam tahun.
Bermulanya pencarian
Kepada teman sebilik, Norashikin Mohd Dini berkongsi cerita mengenai mimpi itu. Kemudian wanita ini berkesempatan menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Abdullah (2), Semporna selama setahun pada tahun 2010. Kesempatan yang ada memberi saya lebih ruang untuk mengenali Islam lebih mendalam.
“Kisah mengenai mimpi itu sudah saya rujuk kepada mereka yang arif dalam Islam dan Kristian. Masing-masing punya pendapat sendiri. Saya kemudiannya membuat hipotesis sendiri dan meneruskan pencarian. Alhamdulillah atas bantuan teman-teman Muslim dan guru di sekolah tersebut, saya akhirnya terbuka untuk melafazkan syahadah dengan bantuan Ustaz Burari Ungsurani. Setahun kemudian saya mendaftar pengislaman saya di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS).
“Lima tahun pertama selepas memeluk Islam, sejujurnya saya mendapat tentangan dari keluarga. Persekitaran di kampung saya menjadi contoh kes terdekat, ramai diantara wanita yang memeluk Islam kemudiannya diabaikan suami dan ditinggalkan. Orang tua saya cukup skeptikal dengan isu menukar agama dan diabaikan bila berkahwin dengan lelaki Muslim. Mereka bimbang saya juga bakal melalui pengalaman yang sama,”kongsi wanita daripada tiga bersaudara yang kesemuanya perempuan.
Janji bapa mertua di hari pernikahan
Selaku anak yang baik dan matang, Jeannifer mengakui dia tidak memberontak dan melarikan diri dari keluarga. Dia tahu hal itu bakal memburukkan lagi keadaan. Hal menjadi lebih serius apabila dia bertemu dan menjalin hubungan dengan seorang lelaki Muslim. Kesungguhan suaminya memenangi hati ibu bapa Jeannifer dan usaha itu turut dilakukan oleh seluruh keluarga pihak lelaki memberi kekuatan buatnya.
“Saat paling mengharukan apabila bapa mertua saya sendiri mengeluarkan kenyataan tegas sewaktu hari pernikahan kami. Menurutnya anak lelakinya takkan mempersiakan saya sebagai isteri dan dia berjanji tidak ada isu menduakan atau mengabaikan saya. Dia benar-benar menerima saya sebagai menantu. Momen istimewa yang menjadi sejarah penting dalam permulaan perkahwinan kami kekal menjadi memori termahal dalam momen pengislaman saya. Dengan sekali lafaz saya menjadi suri halal buat Mohamad Syahrizal Izhar,”ceritanya yang terharu dengan penerimaan bapa mertuanya, Drs Hj Izhar Husin.
Tidak terhenti disitu, keluarga pihak suami Jeannifer terus menerus memelihara hubugan silaturahim dengan keluarga besannya. Apabila ada majlis keraian dan perayaan, mereka pasti datang menyambutnya sebagai tanda menghormati hubungan kekeluargaan ini.
“Saya bersyukur dikurniakan keluarga mertua yang begitu memahami. Mereka juga tidak skeptikal dan sama-sama melapangkan diri meraikan hari perayaan keluarga saya. Apabila melibatkan hal makanan, awal-awal lagi keluarga saya peka mengenainya. Bagi saya dikurniakan mertua yang baik adalah satu bentuk rezeki juga.
Rezeki yang mengalir bak air
Usai melepasi fasa penolakan dari keluarga sendiri, wanita ini perlahan-lahan mengutip manisnya Nur Islam itu. Mengakui masih lagi dalam proses mendalami Islam, dalam nada merendah diri dia mensyukuri tiap keajaiban yang sentiasa hadir dalam hidupnya.
“Sesungguhnya Allah S.W.T maha kaya. Selaku seorang Islam, kita ikut dan laksanakan tiap suruhannya dan meninggalkan larangannya. Saya juga bersyukur kehidupan kami lebih baik, ada sahaja rezeki yang tak diduga hadir dan membuatkan saya cukup mensyukuri kurniaanNya. Sejujurnya, masih banyak lagi yang perlu pelajari.
“Skop kerja saya juga membuka ruang untuk saya mendekati lebih ramai kelompok mualaf. Disamping membantu mereka, sama seperti mereka kami juga sama-sama dalam usaha mengenali Islam. Terima kasih Allah S.W.T diatas kurniaan yang luar biasa hebat ini,”tuturnya menutup bicara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lafaz Doa Di Mulut, Tapi Kena Didik Hati Ikhlas Mohon Pada Allah
Isi Kandungan
ToggleLafaz doa memang di mulut, namun apakah hati kita sepenuhnya berserah dan ikhlas atas tiap patah kata doa tersebut? Jangan mulut lain di hati lain…
Doa adalah amalan yang mulia serta amat dituntut dalam Islam. Berdoa mempunyai kaedah serta adab-adab tertentu agar setiap doa diberkati oleh Allah SWT.
Antara adab yang disarankan adalah seseorang berdoa dalam keadaan melepaskannya di mulut serta melepasnya di hati. Apa maksud saranan ini?
Meluahkan Dan Lafazkan Doa
Sudah menjadi amalan rutin ketika berdoa, individu meluahkan segala permintaan melalui lidah (mulut). Individu meluahkan segala hajat tidak kira hajatnya panjang atau pendek maka semuanya diungkapkan dengan lidah secara jelas dan terperinci.
Bagi individu yang kreatif serta mampu menyusun bait-bait doa yang indah serta berkesan di hati maka gaya bahasa yang indah itu diluahkan ke hadrat Ilahi.
Amalkan Doa
Tidak kira daripada mana sumber doa yang dipilih, baik doa yang bersumberkan al-Quran dan al-hadis atau doa ciptaan sendiri, doa itu disebut atau diluahkan melalui mulut. Doa terus diamalkan sebagai suatu ibadah yang dilakukan demi memenuhi keperluan hidup sebagai hamba.
Berdoa pada tahap inilah yang dimaksudkan dengan melepaskan doa di mulut. Cakap atau sebut lah segala hajat anda ke hadrat Ilahi beserta harapan doa itu diperkenankan. Usah jemu meluahkan permintaan anda melalui kata-kata kerana Tuhan tidak pernah jemu mendengar kata-kata permohonan daripada hamba-hamba-Nya.
Lagi artikel menarik:
Kata-Kata Ibarat Doa, Bangunkan Karakter Peribadi Anak Melalui Seni Komunikasi
Doa Ibu Sangat Mustajab, Jadi Mak Harus Berhati-hati dan Jangan IKUT Perasaan
Ikuti kami di instagram:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Hati Penyebab Doa Diterima Atau Tidak
Sebenarnya tidak ada kesalahan pada tahap doa di mulut ini. Kita bebas menyatakan segala doa dengan sepuas hati kepada Ilahi. Cabaran berdoa adalah tentang persoalan di hati. Adakah doa itu terbit daripada hati yang pasrah dengan menyerah serta melepaskan segala-galanya kepada Ilahi?
Sesungguhnya Islam amat mengambil berat tentang hati ketika berdoa. Hati menjadi tumpuan pandangan Allah SWT. Hati menjadi penyebab bagi doa diterima atau ditolak. Keadaan hati menyumbang kepada kesungguhan serta kepasrahan ketika berdoa.
Lafaz Doa Dalam Keadaan Hati Lalai
Bagaimana dikatakan seseorang belum melepaskan di hatinya ketika dia berdoa, walau dia sudah melepaskannya di mulut? Contoh mudah, individu berdoa dalam keadaan lalai. Mulut berdoa tetapi hati dan perasaan entah ke mana. Hati tidak memahami atau menghayati apa yang diungkapkan oleh mulut.
Contoh yang lain, individu berdoa dalam keadaan hati masih ragu-ragu terhadap Tuhan. Doa diluahkan di mulut namun hati masih ragu-ragu, adakah Tuhan akan makbulkan doa itu. Hati masih ada rasa syak terhadap janji-janji Tuhan yang telah berjanji akan memperkenankan setiap permintaan hamba-Nya.
Lafaz Doa Tapi Hati Sombong
Sebagai contoh yang lain, individu yang berdoa dalam keadaan dia merasai bahawa segala yang dimiliki boleh membantunya andai hajatnya belum dipenuhi. Bagi individu yang berharta maka dia merasai hartanya boleh membantunya. Bagi individu yang berkuasa atau pengaruh maka dia merasai kuasa dan pengaruh yang ada itu boleh membantunya dalam keadaan tertentu.
Inilah gambaran berdoa tanpa melepaskannya di hati. Individu berdoa dengan kesombongan hati. Mereka berdoa sekadar melafazkan di mulut melalui kata-kata tetapi hati masih berprasangka negatif terhadap Allah SWT.
Belajar Pasrah Diri Pada Tuhan
Justeru itu, bagi mencapai maksud yang positif daripada doa yang dipanjatkan maka kita disarankan untuk berdoa dalam keadaan benar-benar pasrah diri kepada Allah SWT. Mulut melafazkan doa dan hati membenarkan kebesaran dan keagungan Ilahi.
Cuba didik hati untuk merasai bahawa diri ini tiada apa-apa (kosong). Segala yang dimiliki pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah SWT. Selarikan apa yang diucapkan di mulut dengan rasa di hati yang menyerahkan segala urusan hidup ini ke hadrat-Nya. Mudah-mudahan hati beroleh kelapangan dan kepuasan pada setiap kali doa dipanjatkan.
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Ambil Ubat Tangguh Haid, Kena Pastikan Kesesuaiannya Agar Ibadah Haji, Umrah Sempurna
Isi Kandungan
ToggleTahniah buat anda yang bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Betapa gembiranya bila ‘dijemput’ ke rumah Allah dan tunaikan rukun Islam ke 5 ini.
Malah, bagi wanita yang masih subur dan alami kitaran haid, sudah tentu merisaukan mereka. Bombang tak dapat melakukan hari-hari penting untuk rukun dan wajib haji bagi melengkapkan ibadah haji dengan sempurna.
Cara yang paling selamat adalah dengan mengambil ubat tangguh haid untuk memastikan ibadah haji dapat dilakukan dengan sempurna. Namun, sebelum mengambilnya jemaah wanita kena tahu dan faham kesesuaiannya.
Inilah yang diterangkan oleh Nurul Amira Hj. Zunaidi Pegawai Farmasi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan tentang perkara ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bagi Yang Tidak Berpeluang Tunaikan Haji, Rebutlah Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah Ini
7 Amalan Ini Bila Dilakukan, Dapat Pahala SAMA Macam Buat Haji & Umrah!
Info Lebih Menarik DI SINI
Ibadah Haji Jemaah Wanita Sempurna & Lengkap
Ketahui Kitaran Haid Wanita
Kitaran haid merujuk kepada perubahan berkala yang berlaku pada struktur rahim dan ovari disebabkan perubahan penghasilan hormon bagi tujuan reproduktif.
Jangka masa kitaran haid dikira dari hari pertama haid hingga ke hari pertama haid yang akan datang. Jangka masa kitaran ini berlaku di antara 25 hari sehingga 35 hari, dengan kebiasaannya selama 28 hari bagi setiap kitaran.
Dalam kitaran haid yang normal, terdapat dua hormon yang memainkan peranan penting iaitu hormon estrogen dan progesteron. Telur akan dikeluarkan dari folikel semasa fasa ovulasi untuk proses persenyawaan pada hari ke-14.
Paras progesteron dalam badan akan melonjak naik bagi memastikan dinding dalam rahim kekal menebal sebagai persediaan untuk persenyawaan dan penempelan embrio.
Seandainya persenyawaan tidak berlaku, paras progesteron akan menurun dan dinding dalam rahim akan mula meluruh dan dikeluarkan dari badan sebagai darah haid.
Elakkan Kedatangan Haid Semasa Ibadah Haji
Bagi wanita yang akan menunaikan ibadah haji atau umrah, kedatangan haid semasa menunaikan ibadah di tanah suci adalah satu perkara yang ingin dielakkan.
Kitaran haid dapat dilambatkan dengan penggunaan pil hormon yang juga dikenali sebagai pil perancang, pil pencegah kehamilan atau pil kontraseptif.
Bagi individu wanita yang ingin mengelakkan kehamilan, pil pencegah kehamilan ini tersedia dalam pasaran dan boleh diambil melalui preskripsi doktor. Pil tersebut perlu diambil selama tempoh 21 hari atau 24 hari bergantung kepada bahan aktif dan jenama pil tersebut.
Bagi mereka yang mengambil pil kombinasi kontraseptif (combined oral contraceptive: COC) untuk mengelakkan kehamilan, pil ini perlu dimakan satu tablet setiap hari pada waktu yang sama sehingga 21 tablet atau 24 tablet habis dimakan semuanya.
Sepanjang 4 hari atau 7 hari seterusnya, pil tersebut tidak perlu diambil dan haid lazimnya akan bermula 2 hari hingga 3 hari selepas pil terakhir dimakan. Walau bagaimanapun, bagi individu wanita yang ingin melambatkan kedatangan haid, mereka boleh mengambil pil COC setiap hari secara berterusan tanpa perlu menghentikan pengambilan pil ini.
Jika Haid Tidak Teratur
Perkara yang perlu diberi perhatian sebelum memulakan pengambilan pil ini adalah tempoh kitaran haid dan tarikh penerbangan pulang ke tanah air.
Jika haid tidak teratur atau kiraan datang haid jatuh pada harihari penting ibadah haji atau umrah, jemaah dinasihatkan untuk mengambil pil COC sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum berlepas ke tanah suci bagi memantau keserasian pil tersebut dan aturan kitaran haid yang baharu.
Terdapat juga pilihan pil progesteron yang boleh diambil 3 hari sebelum jangkaan haid tiba oleh jemaah yang mempunyai kitaran haid yang teratur. Pil ini diambil 1 tablet 3 kali sehari pada waktu yang sama setiap hari dan berhenti setelah selesai ibadah haji atau umrah.
Pada asasnya, wanita yang sedang berada dalam keadaan haid boleh melaksanakan perbuatan-perbuatan haji atau umrah selain dari melakukan tawaf di Baitullah. Walau bagaimanapun, badan-badan autoriti agama Islam seperti General Authority of Islamic Affairs & Endowments (GAIAE) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan pendapat bahawa pengambilan ubat-ubatan untuk menahan atau mengatur kitaran haid adalah harus bagi mengelakkan timbul masalah terutamanya jika jemaah tidak dapat menyempurnakan rukun ibadah haji dan umrah.
Kesan Sampingan
Pengambilan pil pencegah kehamilan ini boleh mendatangkan beberapa kesan sampingan seperti mual, sakit kepala, kembung perut dan pendarahan yang sedikit dan tidak menentu di awal pengambilan pil ini.
Apabila jemaah berhenti mengambil pil tangguh haid, darah haid yang akan keluar berkemungkinan menjadi lebih banyak dan kitaran haid menjadi lebih lama daripada kebiasaan disebabkan dinding rahim yang ditahan daripada luruh adalah lebih tebal.
Namun, bukan semua orang akan mengalami kesan sampingan ini. Pastikan jemaah berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu untuk mendapatkan nasihat berkenaan pemilihan produk yang bersesuaian dan cara pengambilan yang tepat untuk memastikan ibadah haji dan umrah berjalan dengan lancar.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre; NPCC)
Mingguan Wanita : Apa pun jemaah wanita yang masih ada kitaran haid perlu merujuk kepada pihak tertentu untuk pastikan ibadah haji yang bakal dilakukan itu sempurna.
Sumber: Puan Nurul Amira binti Hj. Zunaidi Pegawai Farmasi UF48 Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI