Ibarat air dicincang tak akan putus, begitulah betapa kuatnya ikatan adik-beradik. Setelah ibu, bapa tiada…adik-beradiklah menjadi tempat menumpang kasih. Oleh sebab itu hubungan adik-beradik harus dijaga biar pun masing-masing memiliki kehidupan masing-masing.
Ketika kecil membesar bersama, sudah tentu banyak kenangan dicipta. Oleh itu, jangan sia-siakan kasih sayang yang terjalin. Ketahuilah orang yang tak ambil berat soal adik-beradik, hidupnya tidak ada keberkatan.
Ikuti perkongsian Dai’ Hamidah dan hadam baik-baik:
Orang yang tolak adik-beradik, orang yang tak ambil berat soal adik beradik . Orang itu hidupnya tidak ada keberkatan. Manusia yang bijak dia akan memanfaatkan adik beradiknya untuk dia peroleh kelebihan yang dijamin Baginda Nabi SAW.
Apa yang Nabi Muhammad s.a.w jamin seperti mana yang kita biasa dengar mafhumnya orang yang berusaha nak jaga silaturahim ini dia akan dipanjangkan umur dalam keberkatan dan dimurahkan rezeki.
(Rezeki jangan hanya faham harta kaya semata-mata, ia lebih dari itu). dua perkara ini impaknya sangat besar dalam kehidupan jika kita cuba fahami sedalam-dalamnya.
Hormat dan Berkasih Sayang Dengan Adik-Beradik
Kedua sebagai manusia kita tidak perlu sombong dengan manusia lain terutama adik beradik sebab kita tak pasti penghujung hidup kita kisahnya bagaimana. Dan matinya kita nanti bukan kita yang akan mandikan sendiri.
Jadi hormat dan berkasih-sayanglah. Buang rasa megah dalam diri sebelum Allah campakkan penyakit “Ron“ seperti mana yang diceritakan baginda nabi kita dalam sebuah hadis yang sohih iaitu hati jadi batu.
Batu yang mana tidak hairan dengan keadaan sekeliling dan tak peduli hal yang baik-baik . Kalau sudah jadi sampai ke peringkat ini, maka ia akan termasuk golongan celaka dan kelak dia akan menyesal yang teramat sangat.
Semoga kita semua dijauhkan dari penyakit berbahaya ini dan kehidupan kita dilimpahi barokah wa rahmah oleh Allah Azza Wajalla.
MW: Semoga hubungan kita adik-beradik sentiasa dekat dan diberkati Allah selalu.
Sumber: Dai’ Hamidah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berkorban Demi Negara, Faridah Bertugas Siang & Malam
Bertugas dalam unit badan beruniform bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi kerjaya yang dipilih adalah untuk menjaga keamanan negara yang tercinta. Begitu jugalah yang dialami oleh personaliti yang juga bergelar srikandi, Faridah Hj Md Sulamin, 34 tahun yang sudah 15 tahun berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Akui Faridah bidang ketenteraan sememangnya merupakan sesuatu yang mencabar terutamanya bagi melahirkan anggota tentera berdisiplin. Sebenarnya tidak kira apa jua bidang yang diceburi sekalipun, disiplin merupakan aspek penting yang perlu diberi keutamaan.
Sebagai seorang anggota tentera dirinya perlu mementingkan disiplin selain bersikap tegas dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
“Pada saya aspek disiplin menjadi teras utama yang perlu dipatuhi walaupun kita masih belum bekerja dan dalam proses pembelajaran sama ada di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi. Sebagai seorang yang bekerja di dalam unit beruniform perlu ada sikap yang tegas, keyakinan diri serta minat dalam bidang yang diceburi,” terang Faridah yang kini memegang jawatan sebagai Kerani Dokumen di Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan.
Anak kelahiran Muar, Johor ini sudahpun mendirikan rumahtangga dan memiliki dua orang cahaya mata yang berusia 11 dan 6 tahun. Suami Faridah juga merupakan seorang anggota tentera.
“Selepas tamat SPM secara tak sengaja saya berjaya menjadi seorang askar. Saya masuk askar sebab ingin tahu dan rasai bidang lasak ini lagipun abang yang sulung merupakan seorang askar juga.
“Dari awal pembabitan, saya menjalani latihan selama enam bulan di PUSASDA Port Dickson pada tahun 2002 dan seterusnya saya di hantar ke Perak untuk menjalani kursus dalam bidang pengkeranian.
“Setelah tamat kursus saya ditempatkan dan ditugaskan di Wisma Pertahanan Cawangan Perancangan dan Pembangunan, Sel Pemantau Projek Infrastruktur Tentera Darat, Kuala Lumpur. Kemudia pada 8 September 2015 pula saya menyertai misi PBB selama enam bulan di Kem Marakah, Lebanon sehingga tamat tugas saya di sana pada 14 Mac 2016. Setelah selesai tugas disana saya ditukarkan ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan hingga kini bagi mengikuti suami saya yan posting atas kenaikan pangkatnya,” ulas Faridah yang bertanggungjawab dalam menguruskan segala dokumen anggota dan pegawai sama ada cuti, kursus dan sebagainya.
Bekerja Siang & Malam
Bercerita tentang pengalamannya sepanjang menyertai Misi PBB di Kem Marakah Lebanon bersama rakan sekerja yang merangkumi tiga perkhidmatan iaitu laut, udara dan darat, paling sukar adalah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga.
“Pengalaman sukar saya terpaksa berjauhan dengan famili selama enam bulan dan sebelum itu lima bulan menjalani latihan di Port Dickson. Selain itu, saya juga terpaksa bekerja siang dan malam serta pada hari minggu jika diperlukan saya terpaksa datang ke pejabat untuk uruskan perkara yang dimahukan. Saya juga terpaksa membahagikan masa saya dengan kerja, rumahtanga, anak-anak dan diri sendiri. Suami saya juga seorg anggota tentera yang kerap bertugas di luar kawasan,” luah Faridah.
Selain berkhidmat untuk negara, Faridah juga tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai seorang ibu dan isteri.
“Saya perlu bahagikan masa antara kerja dan keluarga dengan bijak seperti seorang ibu yang bekerja di luar sana. Masa kerja saya kerja, apabila saya di rumah saya sediakan makanan dan persiapan persekolahan anak-anak.
“Ada kala saya terpaksa tinggalkan anak-anak di rumah kerana pada masa itu saya bekerja di luar kawasan dan suami pun bekerja di luar kawasan dan terpaksa minta bantuan jiran untuk menjaga anak-anak. Anak-anak pula sudah biasa dengan keadaan ini dari kecil dan mereka memahami kerjaya ibu dan ayahnya dan membuatkan mereka pandai berdikari sendiri walaupun ibu ayah tak sentiasa di sisi. Anak pertama akan membantu dan menjaga si adiknya bila adik nak makan dialah yang akan masak yang ringkas bagi pada adiknya makan dan sebagainya,” kongsi Faridah yang sentiasa membahagikan masa bersama keluarga tercinta walaupun perkara tersebut cukup mencabar buat dirinya.
Setiap Pagi Bersenam
Dalam mengekalkan stamina, Faridah menegaskan dia sangat menjaga pemakanan dan bersenam setiap hari.
“Stamina untuk kekal cergas adalah jaga pemakanan, setiap pagi perlu lakukan senaman contohnya berlari tiap pagi, petang pula bersukan. Saya menjaga imej penampilan seperti wanita di luar sana, saya amalkan makan vitamin C suplement dan sebagainya. Selain itu saya juga pernah hadiri kelas menjaga penampilan diri seorag wanita,” akhiri Faridah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Cakap Tak Lapik Lebih Mendera Emosi Isteri, Bisanya Boleh Robohkan Tiang Rumahtangga
Sakit hati isteri bila hari-hari terpaksa hadap tohmahan, kata makian dari suami jenis cakap tak berlapik ini. Boleh kemurungan tahap tertinggi dibuatnya.
Tak ada satu pun pujian, apatah lagi doa yang keluar dari mulut suami. Cuma hinaan yang sedikit demi sedikit menjadi luka nanak dalam hati isteri.
Pengalaman mengendalikan klien yang berdepan suami seumpama itu, buatkan Peguam Syarie, Mohd Azlin Bin Mohd Razali, Perunding Keluarga Islam tergerak untuk berkongsi nasihat.
Awas! ya suami dengan kata-kata kasar yang boleh melukakan hati isteri.
Seksanya Bila Suami Cakap Tak Lapik
Kau ni b*d*h!
Maaf kalau mulakan posting kali ini dengan ayat macam ni.
Kasar tak ayat macam ni bagi anda?
Mungkin tak kasar kalau diucapkan member-member sambil bergurau kan?.
Tapi bagaimana rasanya jika ayat diatas diucapkan oleh suami atau pasangan anda sendiri.
Itulah kisah yang dikongsikan salah seorang wanita pada sesi sesi consultation beberapa hari lepas. Ayat pertama yang keluar dari beliau masa sesi ini adalah saya ada masalah dengan suami, saya tertekan dengan suami.
Saya hadapi tekanan perasaan bila suami suka gelar saya bodoh dan dengan perkataan lain yang buruk dan keji.
Beliau beritahu tak tahan bila digelar bodoh dan beberapa perkataan lain yang tak sedap pulak saya nak ditulis di sini.
Honestly, perkataan macam ni saya dah biasa dengar malah ada yang lebih teruk dan lebih bisa daripada ini yang pernah dikongsikan client saya. Apa pun jenis perkataannya, yang buruk dan yang keji pastinya menusuk terus ke hati. Manakan tidak, pasangan sendiri yang ucapkannya.
Telinga Sakit, Hati Lagi Lah Sakit
Berbalik kepada wanita ini, perkataan yang diungkap suami ini telah memberi tekanan padanya. Telinganya sakit, hati pun lagi la. Dah bertahun lama saya dengar. Lama kelamaan secara tidak sedar perasaan hormat dan sayang pada suami hilang.
Sebab dari masalah mulut ini, hubungan mereka semakin teruk. Komunikasi makin parah, pergaduhan makin kerap. Hubungan mereka mula suram tidak seperti dulu semuanya bermula dari perkataan bodoh.
Ceritanya wanita ini memang panjang, kalau saya nak tulis memang panjang. Perbincangan kami saja makan masa hampir 2 jam. Lama tak? Sesi consultation memang ambil masa lebih kurang macam tu. Lagi kronik masalah client lagi lama lah masanya.
Ambil Langkah Ini, Adukan Suami Pendera Emosi Isteri
Saya kongsikan pada beliau langkah yang boleh diambil, step by step ikut kepada kesesuaian. Antaranya saya cadangkan:
1. Beliau mulakan dengan aduan keluarga di pejabat agama dahulu dan lihat apa feedback selepas sesi kaunseling dijalankan.
2. Kemudian barulah ambil langkah seterusnya sesuai dengan keputusan kaunseling tersebut.
Apa yang dihadapi wanita ini ianya dinamakan sebagai penderaan secara mental. Beliau hadapi tekanan pada emosi, batin dan mental. Ianya sebenarnya lebih parah berbanding penderaaan atau keganasan secara fizikal. Ia seperti anai-anai yang memakan kayu secara perlahan-lahan. Secara tidak sedar tiang rumah reput dan merobohkan sebuah rumah. Itulah analogi yang boleh digambarkan.
Luka atau lebam pada fizikal boleh dilihat dan diubati, lambat laun ianya hilang dari pandangan. Luka pada batin dan mental, tidak dapat dilihat dan susah diubati. Ia seperti barah.
Elakkan wujud perkataan buruk, cacian atau sebagainya dalam rumahtangga. Ia sesuatu yang sangat tidak sihat. Nampak macam tiada kesan apa-apa sebab hanya cakap sahaja. Tapi sebenarnya kesan sangat besar pada rumahtangga dan ianya tidak nampak ketika itu. Jika tidak dibendung, rumahtangga pula boleh berantakkan.
Moga ada manfaat.
Wallahua’lam
Sumber/Foto : Perunding keluarga islam- Mohamad
Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Isteri Di Malaysia Ini, Pengorbanannya Tak Boleh Dihitung…”
Kalau nak ikutkan kaum isteri sudah banyak berkorban sejak mula bercinta sampailah mendirikan rumah tangga dan ada anak yang ramai, tetapi ada sesetengah suami masih tak tahu menghargai.
Lebih malang, asyik menyalahkan isteri dengan menuduh isteri tak pandai mengurus rumah tangga. Inilah kesilapan yang kadang langsung tak disedari kaum lelaki. Tetapi percayalah, apabila setiap pengorbanan yang dilakukan isteri dihargai oleh suami, pastinya hubungan itu akan menjadi lebih membahagiakan.
Untuk renungan bersama dan betulkan mana yang silap, jemput renungkan perkongsian saudara Ahmad Affzan Abdullah…
Pengorbanan Isteri
Ada orang bagi gambar para suami berdiri menunggu isteri di luar kedai. Lihatlah pengorbanan suami katanya.
Ya, aku tahu itu melawak saja, tapi nak sebut tunggu isteri membeli-belah sebagai satu pengorbanan, malu rasanya.
Isteri di Malaysia ini, pengorbanannya tak boleh dihitung.
Berkorban diri, emosi, impian, cita-cita, duit, hubungan kekeluargaan. Macam-macam, semata-mata untuk suami dan anak-anak.
Awal-awal perkahwinan, sudah berkorban ikut suami ke mana saja yang suami mahu. Tinggal di rumah mertua, tinggal di negeri orang. Satu pengalaman baru yang sukar namun digagahi juga.
Tentang mengandung dan bersalin, tak perlu ceritalah. Muntah, pening, sakit, itu semua kena hadap seorang diri. Kalau dapat suami yang baik, alhamdulillah, ada juga tolong ringankan kerja-kerja di rumah. Kalau tidak, dalam sarat mengandung itu jugalah kena masak, membasuh, sediakan kelengkapan suami serta jaga anak yang lain. Nak minta suami bawakan ke klinik untuk regular checkup pun belum tentu dapat. Terpaksalah bawa kereta sendiri dalam serba kepayahan.
Suami tak cukup duit nak tampung sara hidup, isteri gadai barang kemas. Tak cukup, isteri pergi cari kerja walaupun cita-cita asalnya mahu jadi surirumah. Anak pun terpaksa dihantar ke nurseri sebab tak ada orang nak jaga.
Suami bila nak berhibur atau nak release tension, boleh keluar main futsal, mengeteh dengan kawan-kawan sampai subuh. Isteri nak buat macam itu? Jangan harap. Kalau stress pun pendam sendiri. Nak berbual dengan suami pun, belum sempat cerita satu bab, suami dah berdengkur.
Kadang-kadang isteri berkorban hobi dan minat sebab nak dahulukan suami. Tengok keadaan ekonomi keluarga, tak apalah bagi suami layan hobi dia dulu. Nak sambung belajar, bagi suami habiskan sambung belajar dulu. Nak minta belikan baju baru pun segan, takut nanti suami tak cukup duit.
Awal pagi, isteri dah siap memasak untuk sarapan dan siapkan anak-anak untuk ke sekolah. Rutin mengemas rumah tak berhenti sampai ke malam. Dah malam nak layan suami pula. Anak terjaga pukul 3 pagi, isteri juga yang kena bangun untuk susukan.
Nak balik raya, isteri yang paling sibuk, tak kiralah balik ke kampung dia atau tidak. Pakaian suami, pakaian anak-anak, semuanya sedia tersusun. Baju raya pertama, baju raya kedua, dah diasingkan siap-siap dalam beg dan bergosok. Dapur dan seluruh rumah habis dikemaskan. Kadang-kadang tak tidur malam 2-3 hari sebelum bergerak balik sebab nak sudahkan kerja.
Pengorbanan isteri itu banyak. Setakat suami nak menunggu lama meneman isteri membeli-belah, aku rasa tak padan. Sakit dia beranak pun kau tak mampu nak balas.
“Alah, emo pula. Melawak sikit pun tak boleh.”
Yalah, melawaklah. Orang perempuan memang selalu jadi bahan lawak dan dilawakkan.
Buat lawak tentang orang perempuan tak pandai bawa kereta, tak pandai side parking, tak pandai isi minyak, bersolek berjam-jam, balik raya bawa satu almari baju, nak cari baju sampai pergi 50 kedai.
Yang paling selalu kena, melawak pasal nak kahwin lagi satu.
Sedarlah, selain isteri kau, ibu kau juga seorang wanita.
Terimalah Kekurangan Kaum Isteri
Apa perasaan kau kalau orang buat lawak pasal ibu kau tak pandai bawa kereta, tak pandai side parking, atau buat lawak pasal ayah kau nak kawin dua? Ada nampak mummy happy?
Dalam Quran kata, “Ar rijalu qawwamuuna ‘alannisaa'”
Orang lelaki itu pemimpin untuk orang wanita, bukannya bermaksud kau boleh perlakukan dia sesuka hati. Tapi pemimpin dalam erti kata penjaga, caretaker, protecter, pelindung.
Maka apa-apa kekurangan isteri, terima seadanya. Keaiban dan kelemahan dia, suami simpanlah, bukan dijadikan bahan lawak. Tampung mana yang kurang, bantu mana yang dia tak mampu.
Nak buat baik pada isteri bukan dengan belikan cincin, rantai, beg tangan, baju, bunga, coklat dan segala material semata-mata. Bahkan yang perlu suami buat setiap hari ialah jaga hati dan perasaan isteri.
Gembirakan isteri, jadi pendengar yang baik. Isteri ada masalah, suami sama-sama selesaikan. Isteri tengah stress, biar dia luahkan pada suami. Nanti dia meroyan dalam media sosial, kau juga yang bengang.
Jangan Dihalang Minat Isteri
Apa yang isteri minat, asalkan patuh syariah, suami layankan. Paling tidak pun, jangan dihalang. Tunjuklah yang kau ambil berat. Ini bila dia cerita pasal minat dia, kau leka melayan telefon. Kecewa sungguh rasanya.
Dalam perkahwinan ini, suami isteri ada pengorbanan masing-masing. Apabila masing-masing sudah tunaikan tanggungjawab, hormatilah pasangan kita dan hargai jasa dia dalam memastikan rumahtangga kita harmoni dan kukuh.
Sempena hari raya ini, waktu kau saling bermaafan dengan pasangan nanti, sematkan azam baru. Buat yang terbaik untuk pasangan kau. Segala apa usaha yang kau buat, yakinlah Tuhan nampak dan Tuhan akan balas. Insya-Allah takkan sia-sia. Tak perlulah kau mengadu letih di media sosial sebab lama berdiri teman isteri membeli-belah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI