Kata orang tua-tua, orang tamak selalu rugi.  Cerita tentang ruginya menjadi tamak memang banyak kita dengar. Tetapi masih ramai juga yang bersikap tamak.

SIFAT SEMULA JADI

Pada saya tamak adalah satu sikap semula jadi manusia.  Biar siapa pun kita, sifat tamak sudah terbentuk sejak kita kecil. Cuba kita lihat anak kecil yang sedang bermain.

Mereka kerap bergaduh berebutkan mainan. Mereka bergaduh bukan kerana mereka tidak boleh bertolak ansur. Tetapi mereka bergaduh kerana wujud ketamakan tentang mainan. Mereka mahu sentiasa memiliki dan mahu sentiasa lebih dari yang lain.

Sifat tamak yang juga merupakan sifat bawaan manusia sedari kecil jika tidak dipagar, akan membesar bahkan boleh menguasai diri.

Orang Yang Ada Sifat Tamak Hilang KETENANGAN Jiwanya…

TAMAK KASIH SAYANG

Sifat tamak meliputi kesemua aspek kehidupan. Apabila kita membicarakan hal ketamakan ia sebenarnya tidak terhad kepada pemilikan harta benda. Sifat ini yang ada dalam diri merangkumi setiap elemen kehidupan, dari kasih sayang hinggalah kepada keilmuan.

Ada yang tamak kasih sayang hingga mereka tidak mahu orang lain merasai kasih sayang yang ada pada orang yang mereka sayangi. Ini juga terbentuk sejak dari kecil.  Anak kecil cukup mudah cemburu jika ibu atau bapa mereka membelai anak orang lain biarpun belaian itu hanya seketika.

TAMAK KASIH SAYANG MAK AYAH

Mereka rasa kasih sayang ibu bapa mereka hanyalah milik mereka sahaja hingga wujud pergeseran antara adik beradik hanya kerana ketamakan kasih sayang.

Akhirnya sehingga mereka dewasa, sifat tamak kasih sayang ini semakin menebal. Mereka tidak mahu orang yang dekat dengan mereka didekati oleh orang lain.

IKLAN

Orang tamak selalu rugi.  Ini bukanlah hanya cerita tetapi ini adalah kebenaran.  Ramai yang berkata kepada saya, tidak salah untuk tamak kerana ramai yang tamak berjaya dalam kehidupan.

Boleh baca sini lagi:

Wujudkan Rasa Setia Anak-Anak Pada Mak Ayah Dan Keluarga

Anak-Anak Berbeza Kebolehan, Mak Ayah Kena Bijak Gali Minat Mereka

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

IKLAN

ADA BENARNYA

Tidak dinafikan ada kebenaran tetapi bab yang rugi itu tetap juga benar. Justeru, ada yang bertanya kepada saya apa yang sebenarnya kerugian yang mereka alami sedangkan mereka kelihatan sangat berjaya.

Pada saya, kerugian paling asas adalah kerugian jiwa. Mereka yang tamak selalu tidak perasan yang mereka bakal mengalami kerugian jiwa. Soalan seterusnya, di manakah letaknya kerugian jiwa sedangkan mereka memiliki wang yang banyak dan mampu memiliki apa sahaja yang dikehendaki.

Orang Yang Ada Sifat Tamak Hilang KETENANGAN Jiwanya…

RUGI HARTA VS RUGI JIWA

Pada saya, rugi harta mudah untuk dinilai tetapi rugi jiwa tidak ternilai. Jiwa kita rugi kerana jiwa kita rosak atas satu perkara iaitu hilang satu anugerah Allah SWT yang sangat berharga.

Tenang adalah satu anugerah Allah SWT yang pada saya sangat berharga.  Orang tamak akan rugi kerana hilang tenang. Orang tamak akan sentiasa mengalami keresahan.  Mereka resah kerana mereka takut hilang apa yang dimiliki dan takut tidak memiliki.  Lebih tidak tenang lagi kerana mereka sentiasa duduk dalam keadaan memerhati kehidupan orang lain.

IKLAN

Mereka risau jika ada orang lain yang melebihi mereka biarpun orang tersebut bukanlah orang yang ada hubungkait kehidupan dengan mereka.  Hidup mereka sentiasa berlumba-lumba. Mereka sentiasa mengejar, takut dikejar dan terkejar-kejar.

RASA LELAH DAN TIMBUL STRES

Orang yang mengejar akan pasti kelelahan. Orang yang takut dikejar akan sentiasa tidak tidur lena kerana banyak berfikir.  Orang yang terkejar-kejar pasti mudah tersungkur dek kerana keputusan yang sering silap.  Bukan ini semua merupakan kerugian.

Kerugian jiwa yang akhirnya membawa kepada fiizikal. Manakan tidak, apabila semuanya ini berlaku, mereka akan hidup dan tekanan.  Mereka tertekan dan sangat tertekan jika berada di belakang orang lain, baik dari segi kasih sayang, ilmu mahupun harta. Tekanan yang wujud dalam diri mereka sebenarnya adalah hasil kerja mereka.

JEJAS KESIHATAN

Jawapan akhir bagi tekanan yang mereka wujudkan adalah kerosakan fizikal.  Tubuh badan yang sihat akan mula beransur-ansur sakit hingga menyebabkan umur kehiduan dan umur jasad kelihatan sangat berbeza.  Mereka mungkin berumur 40 tahun tetapi elemen jasad mereka mungkin sama kuatnya seperti orang yang berumur 60 tahun.

Justeru, marilah kita menjaga emosi serta tubuh badan kita dengan mengurangkan sifat tamak yang sememangnya wujud dalam diri manusia.  Kita akan menjadi orang menghargai nikmat yang Allah SWT kurniakan jika menjaga tubuh zahir dan batin kita.

HARGAI KETENANGAN, JANGAN SAMPAI KEHILANGAN

Kedua-duanya akan terjaga baik jika kita menjaga kurniaan tenang yang dianugerahkan Allah SWT kepada setiap makhluk-Nya. Biar kita hilang wang ringgit tetapi jangan kita hilang ketenangan.

Ketenangan sangat mudah untuk hilang dan sangat susah untuk menyimpannya. Orang yang tenang selalu panjang umur dan cerdas akalnya. Semoga kita menghargai ketenangan yang ada dalam diri kita.  Jangan biarkan ianya tergadai dek ketamakan yang tidak dipagar.

Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI