‘Orang tua bersusah payah masak, anak menantu tidur membungkang.’ Hari raya jangan hambakan mak, ayah di kampung. Dalam meraikan syawal penuh gembira, jangan hambakan mak dan ayah.
Dalam tak sedar mak ayah yang sepatutnya kita jaga dan sayangi menjadi hamba kepada anak-anak. Oleh itu, sebelum terlambat jaga sikap kita kepada orang tua.
Ikuti perkongsian Tuan Muharrik Daei dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan ini :
Antara bentuk derhaka anak-anak di hari raya adalah, kita biarkan mak kita yang dah tua nak mati itu bersusah payah masak di dapur, kita laki bini membungkang tidur tak ingat dunia. Bangun bangun, terus cari makan isi tembolok kita macam tuan besar.
Itu menunjukan kita tidak berperibadi islam. Tidak beradab. Dan tidak berakhlak islam. Kalau tak malu pada ibu ayah, malulah pada Allah.
Orang dulu-dulu, anak anak perempuan dan lelaki amat menjaga adab dan rasa malu bila berkunjung dan berziarah ke rumah orang tua.
Awal pagi sudah bangun, kemas tempat tidur, mandikan anak-anak dan memasak serta membantu ibu ayah di dapur. Terkadang melarang ibu mereka memasak dan malah merekalah yang masak untuk ibu mereka kerana itulah masanya mereka berbakti untuk ibu ayah.
Kebanyakan anak-anak sekarang sudah tak macam dulu. Mereka hilang malu. Dan malu sudah tiada dalam akhlak mereka. Mereka hanya malu buka aurat saja tapi tidak malu membuka pekung akhlak buruk mereka di hadapan orang tua.
Malah ada yang bangun lambat dan tak sembahyang subuh pun. Tempat tidur berselerak. Anak-anak mereka yang bangun pagi dibiar macam anak-anak ayam kelaparan. Ibu ayah merekalah yang kelam kabut nak uruskan makan minum kencing berak anak-anak mereka. Zalimkan?
Jangan dihairankan! Di mana-mana pun kita pergi, kita akan jumpa situasi ini dan spesis anak-anak yang begini. Malah terkadang berlaku dalam keluarga kita sendiri. Itulah akhir zaman.
Mak ayah bukan tak nak tegur, tapi takut nak menegur kepada anak-anak. Takut ditengking anak-anak. Maklumlah anak-anak sudah bagi duit raya pada mak ayah.
Kalau ditegur nanti, mencukalah muka anak-anak menantu dan tak nak balik lagi. Mak ayah pun takut kena gosip oleh anak-anak menantu mereka bila anak-anak menantu berkumpul sesama mereka.
Ads
Sebab itu mak ayah ni kalau nak pilih menantu, pilihlah yang berakhlak dan dari keturunan yang baik-baik. Jangan nampak pakai tudung dan pakai lebai serta cium tangan saja, dah rasa bakal menantu ni ahli syurga. Jangan sekali-kali.
Zaman sekarang ni ramai ‘scammer’. Bakal menantu pun boleh jadi scammer. Berpura-pura bagus sebelum kahwin.
Mana yang dah dapat menantu scammer tu, nasihat-nasihatlah mereka. Jangan biar mereka berakhlak begitu nanti keturunan kita pun akan ikut apa yang mak ayahnya buat.
Kalau mak ayahnya tak sembahyang subuh, keturunan pun akan jadi begitu. Kalau mak ayahnya menghambakan mak atau mertua mereka, anak-anak mereka pun akan perlakukan kepada mereka juga. Ingat perpatah orang putih, “What you give, you get back.”
Jangan sedap hati dapat menghambakan mak ayah dan mertua walau dalam sedar atau tak sedar. Ia tetap dosa. Bukan dosa kecil tapi dosa besar.
Ads
Bagi yang lelaki, wajib mereka menasihati anak bini supaya menghormati mak ayah dan mertua serta bertimbang rasa dengan mereka. Jangan fikir keluarga kamu nak mudah dan senang lenang saja.
Rumah mak ayah atau mertua bukan hotel atau homestay atau untuk ‘me time’ anak bini kamu tapi adalah tempat kamu berbakti kepada ibu ayah.
Ingat! Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Moga manfaat untuk renungan
Maaf andai terkasar bahasa. #muharrikdaie
Mingguan Wanita : Ingatlah mak ayah sudah banyak berkorban selama ini. Jangan ditambah lagi beban mereka.
Sengaja pakai pelik undang perhatian orang, Dr Kamilin nasihat artis ancaman “berpakaian syuhrah”. Fitrah wanita suka kepada kecantikan. Tidak salah untuk tampil cantik tapi mestilah mengikut syariat ditetapkan agama.
Berpakaian sopan menutup aurat, tidak tampil berbeza dari orang lain kerana Islam mengajar kita bersederhana dan tidak terjerumus kepada kesombongan.
Sengaja Pakai Pelik Undang Perhatian Orang
Menurut Dr Kamilin Jamilin yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia menjelaskan ancaman berpakaian syuhrah dan kesan diterima di akhirat yang mana azabnya sangat pedih di mana di hari akhirat, Allah akan mengenakan pakaian kehinaan padanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.
Menurutnya, penampilan pelik di umum adalah dilarang sama sekali oleh islam.
“Kadang ada artis atau selebriti yang seakan sengaja berpakaian pelik. Walau tak mendedahkan aurat tapi pakaian semacam ini tetap salah. Sebab ia termasuk “libas al syuhrah”, pakaian pelik yang tersangat mengundang perhatian.
“Sebab apa” Boleh jadi sebab pembaziran, boleh jadi juga sebab Islam nak sangat menjaga umatnya dari sifat riak. Riak ini sifat yang suka menunjuk-nunjuk, nak bagi orang tengok kitakan.
“Riak ini muncul bila masa kita rasa lebih hebat, lebih unik daripada orang lain. Bila kita biasa mengundang perhatian atau tumpuan orang ramai lebih susah untuk kita jaga hati,” katanya dalam satu video dikongsikannya.
Dr Kamilin Nasihat Artis Ancaman “Berpakaian Syuhrah”
Dalam pada itu, Dr Kamilin yang juga Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis termuda memaklumkan, walau kita mengatakan kita tidak riak tapi Islam cuba tegah daripada benda tersebut terjadi.
“Sebab sifat-sifat begitu boleh menghalang kita daripada masuk syurga dan balasannya di akhirat pun sangat berat.
Dalam hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud, Nabi SAW bersabda:-
“Barangsiapa mengenakan pakaian syuhrah (tampil berbeza) di dunia, nescaya Allah akan mengenakan pakaian kehinaan padanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (HR. Ibnu Majah, no. 2922. Syaikh Al-Albani mengatakan hadis ini hasan).
Dalam pada itu, Dr Kamilin menyeru kepada sahabat-sahabat dalam dunia hiburan, artis dan fesyen, jauhilah daripada rekaan-rekaan yang mengundang kepada pakaian syuhrah ini.
“Tak semestinya pakaian itu kena gah atau mewah baru jadi syuhrah. Yang penting jangan bagi nampak pelik sangatlah. Lain daripada orang lain sampai mengundang sensasi atau perhatian disebabkan keanehannya. Kalau kat majlis tu, biasanya orang pakai biasa-biasa, jangan pula datang pakai berlian atas bawah, menyonglap sampai satu dewan tengok lain macam.
“Islam suka bersederhana dan saya pula sekadar menyampaikan pesanan Nabi kita. Mungkin ramai di luar sana yang tak tahu. Bila dah tahu, boleh berhati-hati,”katanya mengakhiri videonya.
Siang di rumah suami pertama dan malam melayan suami kedua dan kejadian ini berlaku di utara tanahair. Ikuti temubual MW bersama peguam, Shazril Khairy Haji Mustafa yang memviralkan kes wanita bersuami dua ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada benarnya Al Quran merupakan panduan hidup, mampu menjadi penyembuh jiwa dan kekuatan hati. Setiap surah-surah yang terkandung dalam Alquran, jika difahami dengan penuh penghayatan mampu memberi refleksi serta makna yang tersendiri.
Jika menghadapi Anxiety, Depression atau masalah kesihatan mental sebaiknya fahami 3 surah di dalam Al Quran ini, iaitu (Al-Lail, Ad-Dhuha dan Al- Insyirah) dan jadikan ia sebagai aktiviti spiritual untuk terus kekal positif.
Inilah yang dikongsikan oleh Puan Norzi Malek yang merupakan seorang ‘Therapist’ dan pernah bekerja di Unit Pemulihan Carakerja Hospital sebagai panduan.
Bagaimana tiga surah ini (Al-Lail, Ad-Dhuha dan Al- Insyirah) di dalam Al-Quran membantu sesiapa yang menghadapi Anxiety, Depression atau masalah kesihatan mental yang lain untuk kekal positif?
2. Dalam Al-Quran, susunan ketiga-tiga surah ini adalah berturutan. Surah Al-Lail (malam), diikuti dengan surah Ad-Dhuha (siang) dan kemudiannya surah Al-Insyirah (kemudahan dan kelapangan jiwa).
3. Susunannya sangat cantik dan berhikmah. Di awali dengan kisah malam yang gelap gelita, diikuti dengan kemunculan cahaya dan sinar kebahagiaan dan ditutupi oleh kemudahan dan kelapangan jiwa.
Ini secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa setiap ujian itu, setiap kesulitan yang kita hadapi serta setiap kegelapan pasti akhirnya akan didatangkan dengan kemudahan dan cahaya petunjuk.
5. Masa-masa yang sukar, jiwa yang kosong, keresahan dengan dugaan dan cabaran akan segera berlalu sebagaimana berlalunya waktu malam dan munculnya cahaya Dhuha.
6. Begitulah ibaratnya kisah hidup kita. Sentiasa yakinkan diri kita bahawa apa sahaja masalah yang kita hadapi akan segera hilang, dan apa yang Allah janjikan di dalam Al-Quran itu pasti akan muncul dalam hidup kita.
7. Inilah dinamakan aktiviti tadabbur Al-Quran, salah satu aktiviti therapy untuk aktiviti spiritual bagi yang beragama Islam. Aktiviti spiritual sangat penting untuk kuatkan dalaman kita.
8. Maksud tadabbur adalah membaca dengan kefahaman berserta penghayatan.
9. Sebagai seorang therapist, saya cuba selitkan beberapa aktiviti spiritual yang boleh dilakukan bersama-sama pesakit saya, secara tidak langsung jiwa dan raga saya turut dirawat.
10. Perkongsian saya bukanlah nak menunjukkan saya seorang yang baik dan tenang, cuma saya berharap sesiapa yang membacanya akan lebih bahagia dan tenang berbanding saya.
Dunia ini untuk dikongsi kebaikan dan ilmu. InsyaAllah yang baik-baik akan mengiringi kita.
Norzi Malek
Dari Therapist Untuk Therapy
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bagi yang menghadapi masalah kesihatan mental, sebaiknya tadabbur 3 surah ini sebagai aktiviti spiritual.
Bekas suami culas membayar nafkah anak. Ramai ibu tunggal yang buntu dan persoalan ini sentiasa menjadi tajuk perbincangan hangat. Seperti mana persoalan yang ditujukan oleh wanita malang ini kepada Peguam Syarie.
“Tuan, bekas suami saya ni tak bayar nafkah anak-anak saya tuan, berhempas pulas saya nak bayar sewa rumah, duit makan anak, duit sekolah anak duit pakaian mereka. Penat saya tuan ingat diceraikan saya makin senang walaupun dah ada perintah mahkamah anak-anak saya tetap tidak mendapat hak mereka,” soal Kinah.
Foto: Canva
Seperti mana yang dicoret oleh Peguam Syarie: Amirul Akmal di bawah ini beliau menerangkan panjang lebar mengenai penyelesaian yang boleh dilakukan oleh ibu tunggal yang senasib dengan Kinah.
Peguam Syarie Amirul Akmal
Islam menetapkan bahawa tanggungjawab untuk menyara nafkah anak adalah kewajipan seorang bapa sepertimana firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 233:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan.”
Bekas Suami Culas Bayar Nafkah Anak, Jika Tidak Dilaksanakan Dikira Hutang
Namun begitu sekiranya berlaku penceraian tanggungjawab menanggung nafkah anak oleh seorang bapa itu tidak terputus oleh kerana penceraian yang berlaku. Akan tetapi timbul pula isu di mana bekas suami culas mahu membayar nafkah anak. Nafkah anak sekiranya mahkamah telah mengeluarkan perintah jika tidak dilaksanakan ia dikira sebagai satu hutang. Hutang tersebut perlulah di selesaikan oleh bekas suami tersebut samaada beliau masih hidup atau beliau telah meninggal dunia.
Akan tetapi sekiranya ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan suami atau diceraikan memerlukan bantuan nafkah anak. JKSM melalui Bahagian Sokongan Keluarga telah membuat suatu inisiatif bantuan nafkah untuk membantu para ibu tunggal untuk mendapatkan pembiayaan nafkah sementara bagi diri dan anak-anak apabila pembiaya nafkah (suami) mengabaikan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
Bantuan ini diberikan dalam bentuk hutang dan pembiaya nafkah (suami) perlu menjelaskan semula hutang tersebut kepada BSK. Walaubagaimanapun, kadar nafkah yang boleh dipohon melalui BSK adalah berdasarkan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan.
Seperkara lagi,sekiranya berlaku ketidakpatuhan kepada perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah. Maka pihak isteri boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan kepatuhan dapat dikembalikan.
Foto: Pexels
Beberapa Tindakan Buat Seseorang Yang Tidak Patuh Perintah Nafkah
Bertitik tolak dari perkara ini, berdasar daripada peruntukkan undang-undang, terdapat beberapa cara yang membolehkan seseorang mengambil tindakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah
Cara Pertama: Mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa atau membayar jumlah tunggakan nafkah berdasarkan perintah dan mengikut cara yang ditentukan oleh mahkamah sama ada membayar secara sekali gus atau ansuran bulanan; atau
Cara Kedua: Mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak atau isteri; atau
Cara Ketiga; Mengenakan hukuman penjara ke atas pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut; atau
Cara Keempat: Perintah penyitaan dan penjualan harta alih atau harta tak alih; atau
Cara Kelima: Prosiding hiwalah.
Walau apapun peruntukan tersebut, pihak yang diabaikan pemberiaan nafkah tersebut perlu hadir dan mengadu mengenai pengabaian tersebut supaya tindakan penguatkuasaan dapat dimulakan. Tambahan pula, peruntukan mengenai tanggungjawab untuk membayar nafkah secara jelas telah diperuntukkan oleh undang-undang yang sedia ada. Begitu juga dalam hal sekiranya berlaku pengabaian atau ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah.
Buat Aduan Di Mahkamah Syariah
Foto: Pexels
Walaupun undang-undang telah memperuntukkan tindakan yang boleh diambil sedemikian rupa, bagi membolehkan tindakan tersebut diambil terhadap pengabaian perintah nafkah, ia tidak akan terlaksana sekiranya pihak yang diabaikan tidak memberikan maklumat atau membuat aduan di Mahkamah Syariah.
Justeru, bagi membolehkan isu pengabaian perintah diselesaikan, pihak yang diabaikan perlu tampil ke hadapan untuk memulakan tindakan. Tanpa adanya laporan atau aduan, pihak yang bertanggungjawab tidak dapat memulakan tindakan terhadap bapa atau suami atau ‘orang yang bertanggungan’ yang mengabaikan perintah nafkah.
Semoga penerangan ini dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca sekalian.
#celiksyarie
#ketahuihakanda