Oktovia Manrose Terima Lamaran, “Sedar Ada Bakat Menyanyi, Cuma Perlu Diasah”

Share

Selepas lebih lapan tahun berlakon, kakak kepada Aprena Manrose iaitu Oktovia Manrose membuktikan baru-baru ini dia juga boleh menyanyi.

Ibu tunggal anak satu yang juga pemilik nama penuh Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman ini menyatakan, salah seorang anggota Bima Sakti dipanggil Jim membuka peluang berkenaan untuk dia menjayakan projek lagu Biar Aku Simpan bersama kumpulan Bimasakti yang diterbitkan Life Records.

Oktovia Manrose Minat Menyanyi Sekian Lama

Bagaimanapun kakak kepada Aprena Manrose ini juga pernah beberapa kali merakamkan lagu ‘filler’ untuk drama membabitkan produksi yang dikenalinya.

“Ikutkan menyanyi memang minat saya sejak sekian lama. Saya sedar ada bakat ke arah itu, cuma perlu diasah. Dulu pun sebenarnya ada peluang menyanyi, cuma saya tak nak terburu buru.

“Saya sendiri rasa belum cukup bersedia. Saya tak mahu menyanyi macam melepaskan batuk di tangga. Biarlah ada ilmu atau serap pengalaman orang lain, baru saya berani keluar dari zon selesa.

“Menerusi projek kolaborasi dengan kumpulan ini pun saya banyak timba pengalaman dan belajar teknik tertentu fasal muzik,” katanya.

Sambut Lamaran Dengan Optimis

“Mulanya tak sangka dia tawarkan peluang ini. Jim sendiri bukan asing kerana sudah menerbitkan lagu untuk ramai artis seperti Khai Bahar, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham.

“Saya sendiri pun selalu merakamkan lagu demo untuknya. Cuma lamaran untuk membuat penampilan lagu itu, saya sahut dengan optimis. Saya sendiri menyukai bahagian korus lagu itu yang sangat melankolik,” katanya.

Baca Disini Juga: 

“Saya Tiada Masalah Dengan Status Ibu Tunggal” Buat Terbaik Untuk Anak – Oktovia

Aprena Manrose Positif Covid-19 “Kes Semakin Meningkat, Tolonglah Jadi Manusia Yang Bertanggungjawab”  

Di Sebalik Ijazah Wany Hasrita, Pernah Hentikan Pengajian Tahun Akhir Dan Terima Tawaran Menyanyi Sebab Nak Sara Ibu

Model Video Muzik

Tidak sekadar membuat penampilan khas untuk lagu berkenaan, ibu kepada Muhammad Rayyan Zafariel ini turut menjadi model video muzik karya sama.

“Kerana kebetulan saya sendiri sudah faham keseluruhan isi cerita lagu. Jadi saat ditawarkan untuk jadi model video muzik… saya cakap kenapa tidak,” katanya yang tidak pernah memasuki mana mana pertandingan nyanyian.

Artis di bawah pengurusan Absolut Talent & Management itu juga tidak menolak andai ada rezeki menyanyi solo selepas ini dan terbuka mencabar kemampuan vokalnya.

“Saya anggap kolaborasi dengan kumpulan itu sebagai pemanas enjin. Selepas ini baru yakin sedikit nak menyanyi solo.

“Saya secara peribadi suka genre lagu hip hop, R&B, pop balada. Saya paling minat Ariana Grande, selain Sarah Raisuddin, Jaclyn Victor, Melly Goeslow, Kris Dayanti dan terbaru Sarah Suhairi dan Aina Abdul,” katanya.

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Norhayati Binti Suboh