Pempengaruh dan juga aktivis kemanusiaan, Farah Lee kembali bergelar isteri apabila sah bernikah dengan pilihan hatinya, Fuad Hashim semalam. Farah Lee yang pernah bergelar ibu tunggal selama 7 tahun mengenakan persalinan serba hitam di majlis pernikahannya yang dikongsikan di laman Instagram miliknya.
Menerusi Instagramnya, ibu kepada seorang cahaya mata itu memuat naik sekeping gambar sambil memegang lengan suaminya dengan kapsyen memberitahu sudah berkahwin.
Okay done kahwin lagi sekali.
05.01.24
Menerusi hantaran pendek itu Farah memaklumkan sudah pun bernikah dengan pilihan hatinya, Fuad Hashim.
Difahamkan, Fuad atau nama sebenarnya, Muhammad Fuad Hashim, 35, merupakan atlet kuda lasak dan juga penunggang pasukan State Terengganu Endurance Team (STET).
Penunggang kelahiran Kampung Banggol Mempelam, Kuala Terengganu itu pernah muncul juara kategori 100 kilometer (KM) Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala PDRM di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, pada Januari tahun lalu.
Perkongsian tersebut telah dihujani dengan ucapan tahniah daripada kenalan dan juga para pengikutnya di media sosial apabila teruja melihat pempengaruh itu kembali bergelar isteri.
Terdahulu, Farah Lee pernah mendirikan rumahtangga bersama pengacara, Ally Iskandar. Pasangan ini bagaimanapun berpisah pada 7 Ogos 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Maream Esabel.
Antara pencapaian membanggakan bagi ibu tunggal ini apabila dia berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam bidang Pendidikan Kanak-Kanak dari University of Leeds, United Kingdom.