Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental semakin menjadi topik perbincangan hangat di kalangan masyarakat apatah lagi apabila media menyajikan pelbagai kisah yang merentap norma kemanusiaan sejagat.
Bertitik tolak dari permasalahan tersebut, pementasan teater Di Sebalik Topeng, sebuah karya seni yang bakal mengangkat tema kesihatan mental dan penebusan diri bakal dipentaskan tidak lama lagi.
Teater terbitan syarikat milik Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dikenali sebagai Ogy, seorang ikon seni tanah air yang tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Menurut Ogy, teater ini merupakan satu refleksi tentang cabaran kehidupan yang sering dihadapi oleh ramai individu dalam masyarakat hari ini.
Diarahkan oleh pengarah berbakat Zainorhisyam Samudin, teater ini menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap kisah setiap watak yang penuh dengan rahsia.
Dalam terapi tersebut, topeng-topeng yang dipakai oleh setiap individu mulai tertanggal, mendedahkan perasaan dan pengalaman yang telah lama terpendam.
“Teater ini bukan sekadar hiburan, ia adalah satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup.
Setiap watak yang dipersembahkan dalam Di Sebalik Topeng melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami.
Teater ini bakal membawa penonton menyelami kisah seorang wanita yang bergelut dengan masalah kesihatan mental yang mendapati dirinya terperangkap dalam konflik emosi yang mendalam,”Fauziah Ahmad Daud.
Tema kesihatan mental diangkat dalam teater ini kerana sering dianggap tabu, tetapi melalui Di Sebalik Topeng penonton akan diingatkan kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.
Sementara itu, Zainorhisyam Samudin berkata, dia berasa teruja untuk mengarahkan projek ini kerana menawarkan dimensi baharu dalam penceritaan teater tempatan.
Pementasan teater ini juga menampilkan lakonan Ogy serta bantuan beberapa pelakon lain seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.
Tidak hanya memberikan persembahan mantap, malah gabungan elemen-elemen dramatik, konflik emosi, serta penyampaian lakonan yang penuh perasaan menjanjikan pengalaman teater yang tidak mudah dilupakan.
Penonton akan dibawa masuk ke dalam dunia watak-watak yang terjebak dalam masa lalu, cuba melepaskan diri dari belenggu yang menyakitkan dan mencari jalan menuju penebusan.
Pementasan teater ini akan diadakan pada 19 dan 20 Oktober ini, jam 8.30 malam, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP.
Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.