Nur Raisha Amanda didera kekasih ibu kerana aktif & bising. Sejak semalam tular gambar seorang anak kecil, Nur Raisha Amanda, setahun 11 bulan yang mengalami bengkak di bahagian muka, bibir dan belakang tubuhnya kerana dipukul menggunakan pengangkut baju selain ditampar berkali-kali di bahagian muka.
Ia ditularkan oleh bapa saudaranya di fb atas nama Wakzam Sempoi yang mahu memburu lelaki yang mendera anak saudaranya iaitu Amir Shafiq Suhaimi, 31 tahun.
Berdasarkan laporan polis dibuat oleh ibunya selepas anaknya didera, dipercayai teman lelakinya yang tinggal serumah memukul anak kecilnya itu kerana aktif dan berbuat bising. Selepas dipukul, anaknya itu dikurung di dalam bilik semalaman. Ibunya turut mengakui penderaan itu bermula pada 4 Jun hingga semalam sebelum mereka dibawa ke rumahnya, di Jalan Rejang, Setapak Jaya, Setapak tanpa berani melawan.
Ia nyata mendatangkan kemarahan orang ramai kerana kanak-kanak tersebut masih kecil dan tubuhnya birat dengan kesan lebam.
Tidak sampai 24 jam selepas wajah pendera ini tular di media sosial, polis mengesahkan sudah menahan suspek.
Memetik laporan Harian Metro, Lelaki yang dipercayai mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini, ditahan polis, malam ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, lelaki berusia 31 tahun terbabit ditahan di sebuah pangsapuri di Jinjang, Sentul.
“Polis akan memohon perintah reman di mahkamah, esok di bawah kes siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– Kejamnya, Gara-Gara Beli Kucing Tanpa Izin, Suami Cederakan Isteri Hingga Parah
Budak Lelaki 4 tahun Meninggal Dunia Disyaki Didera 5 Rakan Kakak, Ibu Bapa Dipenjara Sebab Dadah
Bayi 4 Bulan KOMA Didera Pengasuh, Kepala Dipukul, Badan Dihempas & Digoncang!
Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Saralathan dipetik berkata, berdasarkan maklumat suspek dipercayai memukul mangsa kerana dikatakan bising.
Dia didakwa memukul hingga mangsa bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan.
Kejadian dilapor berlaku di rumah dihuni suspek dan teman wanitanya sebelum bayi itu kemudian dihantar ke rumah keluarga wanita terbabit di Taman Setapak Jaya.
Difahamkan ketika kejadian ibu mangsa ada bersama anaknya namun tidak melawan suspek.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.