Novel Coronavirus “Kebersihan Adalah Segala-Galanya, Elakkan Diri Ke Negara China” Dr Wan Noraini

Share

Penularan wabak penyakit yang kini sedang melanda dunia sememangnya merunsingkan setiap individu. Novel Coronavirus begitu hangat diperkatakan dan tengahari tadi, Mingguan Wanita Talkshow juga turut menjemput Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Survelan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Nor kes studio bagi menerangkan dengan lebih jelas mengenai virus ini.

“Virus Corona ada pelbagai di luar sana. Malah virus ini juga terdiri dari keluarga yang sangat besar iaitu 60 peratus adalah yang dijangkiti haiwan dan 40 peratus yang dijangkiti manusia. Bila jangkitan manusia kebanyakkan virus yang biasa-biasa dan ada juga yang menyebabkan jangkitan serius seperti SARS dan Novel Coronavirus (dipanggil novel kerana virus yang baru ditemui).

“Pada masa sekarang negara China yang teruk terjejas hampir 2000 dijangkiti. Manakala di negara lain seluruh dunia setakat ini masih terkawal dan Malaysia ada empat kes,” terang Dr Wan Noraini.

Teruskan Kehidupan Seperti Biasa

Sewaktu diaju persoalan bagaimana virus merebak dan langkah penjagaan, Dr Wan Noraini, berkata, “Kami sedang mengenali. Virus ini menjangkiti saluran pernafasan. Disyaki dari titisan saluran pernafasan iaitu bersin dan batuk. Jadi jagalah kebersihan dan sebenarnya kebersihan adalah segala-galanya.”

“Nasihat dari KKM anda semua tak ada masalah masih boleh keluar bekerja seperti biasa. Teruskanlah kehidupan cuma saranan sewaktu kami bermesyuarat dengan TPM baru-baru ini, elakkan lawatan ke Negara China.

“Jika terpaksa juga melawat, paling utama jagalah kesihatan dan kebersihan diri. Kita tiada ketahanan badan atau antibiotik dan kita berisiko dapat jangkitan. Mereka yang ada penyakit kronik, kanak-kanak merupakan golongan yang berisiko tinggi.”

Sentiasa Basuh Tangan & Bawa Senitizer
“Paling penting anda perlu sentiasa jaga kebersihan diri. Tangan sentiasa dibasuh dengan sabun dan bawalah hand senitizer ke mana-mana. Janganlah makan makanan eksotik. Elakkan pergi ke tempat tumpuan ramai. 14 hari selepas balik dari negara China jika ada gejala tak sihat silah dapatkan rawatan segera,” ungkap Dr Wan Noraini.

Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

KKM Mahu Pastikan Rakyat Malaysia Sihat & Sejahtera
“Kami di KKM yang sama juga telah berjaya tangani H1N1, SARS, Nipah, Ebola dan percayalah kami mencuba sehabis baik. Kami juga untuk kali ini kami akan pastikan rakyat Malaysia sihat dan sejahtera. Kami juga harapkan janganlah semudah-mudah memviralkan sesuatu. Sebab kami nak focus untuk menguruskan virus ini. Bila sesuatu viral berlaku focus kami akan terganggu,” sambung Dr. Wan Noraini. Bagi mendengar lebih lanjut saksikan siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow pada jam 8 malam ini di Astro Prima dan Astro Prima HD.

sumber petikan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Info
Petikan dari Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Sehingga kini, cara jangkitan 2019-nCoV masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.
Terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu yang lain (human-to-human transmission), khususnya dalam kalangan kontak rapat.
Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut, khususnya kepada para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia:
• Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer);
• Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;
• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;


• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan;
• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna;
• Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Published by
Norhayati Binti Suboh