“Bila nak ada baby?” Soalan itu biasa kita dengar dari mulut seseorang yang dituju pada golongan yang dah kahwin tetapi masih belum ada rezeki anak. Agaknya kalau anda sendiri duduk di dalam ‘kasut’ pasangan suami isteri yang masih tak ada zuriat, apa jawapan anda?
Haaa… ini yang nak kena jaga dan sedarkan diri! Nak luaskan minda kita, jom baca perkongsian daripada Puan Zana Adieyza ini…
Memang la boleh berbelanja lebih, tak ada anak lagi kan.
Mungkin rumah kemas jer, tiada anak yg nak sepahkan.
Boleh cuti raya lama, tak ada anak sekolah kan. Mampu bercuti selalu, tak payah susah-susah nak bawa anak kan.
Ada peluang gambar berdua sweet-sweet, tidak ada anak yang kacau kan.
Dapat merasa pergi umrah awal, tak perlu fikir nak tinggalkan anak lama-lama kan mana kan.
Sekarang ni Zana nak tanya,
“Salah ke kami suami isteri dapat rasa semua nikmat rezeki tu di saat perkahwinan kami diuji dengan ketiadaan anak? Atau awak rasa ada anak tu membataskan kehidupan awak?”
Jangan ingat yg tak ada anak ni semuanya boleh belanja mewah, kita tak tau belanja dan simpanan dia macam mana.. Kita tak tau apa perancangan hidup mereka.. Kita tak tau apa2 sebab kita orang luar. Kita tak tau apa perasaan mereka setiap kali soalan “bila nak ada anak?” tu ditanya.
Kebanyakan pasangan yg masih menanti rezeki anak ni, sangatlah bahagia. Diberi rezeki utk lebih mengenal hati pasangan.. Sebab tu secara automatik kita akan nampak pasangan ni lebih mesra sebab memang rutin seharian mereka semuanya dilakukan berdua.
Sedih? Tipu kalau tak ada rasa sedih tu, tapi jarang sekali dan selalunya perasaan sedih tu sekejap sangat.. Selebihnya, mereka lebih suka memilih untuk teruskan kehidupan normal seperti biasa, berusaha, berdoa dan percaya dengan ketentuan rezeki drpd Allah.
Percaya tak hampir semua yg belum ada anak ni, bila diasak dengan soalan “bila nak ada anak” ni akan rasa lagi teruk sedihnya daripada rasa sedih menerima hakikat masih belum ada anak.. Sebab soalan2 tu la kebanyakan mereka jadi sayu hati, rajuk hati, menjauh diri dan rasa rendah diri..
Lagi sedih bila soalan tu ditanya di hadapan orang ramai.. Diusik seolah2 suami isteri ni berdosa berkahwin tanpa anak.. Diketawakan seolah2 pasangan ni serba kekurangan.
Maaf ya… Zana bukan minta simpati, cuma minta kita semua sama2 belajar menghormati.
Hormati perasaan orang sekeliling kita. Letakkan diri kita di tempat orang lain sebelum berkata sesuatu. Bila kita cuba jaga hati dan air muka orang lain, insyaAllah Allah akan jaga hati, diri dan maruah kita.
Mana yang dah kahwin, bersyukur ada pasangan hidup. Bayangkan kalau kita masih belum ada pasangan hidup. Bayangkan kalau kita tiba2 kehilangan pasangan hidup.
Jika belum kahwin, bersyukur dan bersabar. Mungkin Allah nak bagi kita peluang lebih berbakti lama kepada ibu dan ayah.
Andai dah ada anak, bersyukur ada anak.. Anak adalah saham akhirat kita. Betapa bertuahnya mempunyai anak yg mampu mendoakan kita setiap hari. Bayangkan hidup kita kalau masih belum dikurniakan anak.
Yang masih belum dikurniakan anak, bersyukur Allah bagi nikmat rezeki bersabar. Bayangkan jika kita ada anak, adakah hati kita boleh sesabar itu? Allah bagi peluang kita utk lebih meluangkan masa bersama insan yg sudi terima baik buruk diri kita. Allah bagi kita masa lebih utk lebih dekat kepada-Nya.
Yakinlah Allah bagi apa yg kita perlu dan bukan apa yg kita mahu. Kita merancang, tapi Allah sebaik-baik perancang. Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak.
Kita sebagai hamba-Nya memang selayaknya diuji.. Setiap di antara kita berbeza ujiannya. Tapi percayalah yg Allah menguji sesuai dengan kemampuan diri kita.
Belajar menerima Qada dan Qadar Allah.. InsyaAllah semuanya akan jadi lebih indah.
Zana & Adiey,
Trying To Conceive (TTC) for 6 years.
Kepada anda yang nak bertanya soal zuriat, baiki sikit soalan anda. Mulut kita ni kadang-kadang tak ada niat pun nak lukakan hati orang. Tapi eloklah kalau kita sensitif sikit dengan perasaan orang lain. Walaupun anda rasa benda tu ‘saja tanya’, kesian sikit dengan golongan yang masih sabar menanti zuriat. Sudahlah stress sebab susah dapat anak, risau kan suami lagi, lepas itu anda menambahkan macam-macam. Itu tak apa lagi, siap buat pendapat sendiri kenapa kawan tu tak ada anak lagi. Allah… sedih!
Sebenarnya kadang mereka dah berusaha, dah jumpa doktor, dah cuba macam-macam ubat kampung, tapi kalau Allah tak bagi lagi rezeki anak, nak buat macam mana. Kalau pasangan tu redha dan boleh tunggu, kenapa kita nak banyak persoalkan. Lain kali kalau dah tanya, matikan saja soalan di situ. Tak perlu jadi kepochi. Jangan sebab kita senang dapat baby, kita fikir orang lain pun senang. Mohon jaga hati!