Normal sekiranya terbit rasa cinta di hati antara pasangan dara dan teruna. Anak-anak remaja zaman sekarang, susah nak halang mereka daripada bercinta sebelum nikah. Mereka ingin memilih sendiri pasangan hidup mereka dan tidak mahu mak ayah yang carikan.
Jika begini keadaannya, mak ayah wajib pantau siapakah jejaka/gadis pilihan hati anak agar hubungan yang terjalin itu patuh syariah.
Namun, ada juga mak ayah yang sangat tegas dalam soal ini. Anak-anak terutamanya anak gadis tak dibenarkan bercinta sebelum nikah dan mereka berhasrat untuk mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka kelak. Normal bagi mak ayah yang takut anak-anak terjerumus dalam perkara yang tak elok jika diizinkan bercinta.
Berpasangan sebagai kekasih sebelum kahwin itu haram! Bercinta selepas nikah itu sunnah! Betulkah pandangan sebegini?
Bagaimana jika proses berkenalan itu belum sempurna, terburu-buru, tidak selidik betul-betul bakal suami atau isteri? Biasanya disebabkan sangka baik yang terlalu baik akhirnya kecundang jua. Tudung labuh serban besar bukan jaminan yang memakainya memiliki iman sempurna dan akhlak mulia. Tiada siapa tahu rahsia yang disembunyi, aib yang sengaja ditutupi dan kemunafikan yang dihias indah!
Malang sungguh, disebabkan mahu menjaga diri dari berpacaran yang tidak patuh syariah maka seorang anak dara patuh suruhan ayahnya untuk menerima pinangan lelaki yang tidak dikenal. Tak sampai setahun bercerai walaupun lelaki itu berkelulusan agama dan warak kononnya tapi rupa-rupanya menyimpan syaitan dalam jubahnya. Kaki pukul, tak bagi nafkah batin, seorang gay yang sengaja mahu menyembunyikan seksualitinya yang sebenar.
Demi mengaburi mata masyarakat ramai lelaki gay yang sengaja kahwin untuk menutupi identiti asli mereka. Akhirnya yang merana adalah wanita-wanita yang masih dara lagi harus menjadi janda.
Lagi teruk kisah isteri yang terpaksa bersaing dengan lelaki yang ‘diminati’ suami, suami biseksual yang tak nampak kepondanannya tapi mempunyai kelaian seks yang teruk, kenapakah mereka tidak mencium kelainan suami sebelum bernikah lagi? Apakah ini bahana cinta sebelum nikah?
Kita tidak nafikan dalil-dalil dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w tentang haramnya bergaul bebas tetapi ia bukan bermakna langsung tiada pergaulan dalam urusan proses sebelum kahwin. Sehinggakan menutup mata terhadap segala kelemahan dan aib manusia yang mungkin disembunyikan bakal pengantin.
Sangka baik itu dituntut dalam agama tapi selepas ikhtiar meneliti asal usul dan keperibadian sebenar sebagaimana yang diketahui orang-orang rapat kepada bakal pengantin. Bukankah Ummul Mukminin khadijah RA mengutuskan sahabatnya, Nafisah binti Muniyyah untuk menjadi ‘mata dan hatinya’ mencari maklumat yang cukup sempurna tentang Muhammad s.a.w.
Bercinta selepas nikah kadang dicampuri unsur riak, mahu menunjuk suci walaupun ia perbuatan hati yang tiada seorang boleh menilainya selain Allah tetapi perlu diteliti apa niat sebenar orang yang mengabaikan asal usul bakal suami atau isterinya itu. Padahal agama menyuruh seorang lelaki melihat wanita yang akan dinikahinya .
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Jika salah seorang di antara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang bisa membuat tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan”. Jabir berkata, “Maka sayapun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya maka sayapun menikahinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)
Tidak bermakna bercinta selepas nikah itu tidak mengikut syariat bahkan jika kedua bakal pengantin telah meneliti latar belakang dan akhlak kemudian menjalani proses pergaulan patuh syariah sebenarnya ia lebih menepati keadaan masyarakat sekarang.
Kita hidup dalam sistem maklumat dan komunikasi paling canggih yang memudahkan pergaulan yang halal ini dilakukan secara tanggungjawab. Selagia tidak berdua-duaan, tidak menyentuh, tidak merayu dengan suara yang memikat, tidak memandang dengan syahwat maka pergaulan cara Islam ini dihalalkan.
Pada pokok pangkalnya jangan abaikan latar belakang bakal pasangan, minat dan sikap, sumber pendapatan dan harta bendanya, latar belakang keluarga dan pendidikanya, kawan-kawan karib dan hobinya, sifat dan tabiat negatifnya, semua ini kerja besar yang perlukan pertolongan spy profesional.
Malang jika rasa cinta yang membuak-buak boleh menutupi segala kejahatan yang sudah pun nampak di mata. Hati kata sayang maka mata jadi buta, cinta buat mabuk kepayang! Namun beitu jangan pula terlalu cerewet memilih dan menyusah-nyusahkan proses perkahwinan kerana terlalu fobia, bukankah dalam setiap ikhtiar itu ada satu kewajipan untuk tawakkal kepada Allah SWT?
Mengapa gerakan cinta selepas nikah ini menjadi trending? Apakah disebabkan masyarakat sudah marah melihat kemaksiatan yang mengotori pergaulan lelaki dan wanita sehingga mereka yang menyokongnya bersungguh-sungguh mengamalkan proses pernikahan sebegini.
Pergaulan sebelum menikah itu halal, jangan haramkan apa yang tidak diharamkan Allah, ia sama seperti merosakkan kuasa veto Tuhan. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melambat-lambatkan proses pernikahan padahal sebenarnya tidak berniat mahu menikah. Pergaulan yang disyariatkan adalah pergaulan yang berakhir dengan matlamat pernikahan bukan untuk main-main cinta.
Cinta selepas nikah memang indah dilafaz tapi terlalu berat dipikul. Bukan mudah untuk memahami orang yang tidak pernah bercakap dan melihat satu sama lain. Apatah lagi jika mereka ada masalah komunikasi, masalah moral yang sebelumnya tidak diketahui, masalah kewangan seperti isteri terpaksa membayar hutang suami sewaktu bujang, masalah penyakit, masalah keluarga mentua dan pelbagai cabaran lainnya.
Wahai wanita, perkahwinan adalah ujian maka eloklah bersedia melihat kejutan yang tak dijangka!
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/juanda.jaya.9
https://www.mingguanwanita.my/genggam-erat-tangan-anak-tak-kira-saat-mereka-berjaya-atau-gagal/