Norlia Ghani dapat sejuta tontonan waktu pertama kali buat ‘live’ TikTok. Pelakon veteran, Norlia Ghani yang kini berusia 77 tahun, semakin aktif di platform TikTok dan berjaya meraih lebih 129,000 pengikut. Beliau juga kerap membuat siaran langsung sebagai satu cara untuk berinteraksi dengan peminat.
Menariknya, siaran langsung pertama yang dilakukan oleh Norlia di TikTok mencatat tontonan yang luar biasa, iaitu sebanyak satu juta tontonan.
“Anak dan cucu saya yang ajar cara nak buat siaran langsung. Saya perhatikan bagaimana mereka lakukan dan dari situ saya belajar. Saya cuma berbual santai saja dengan peminat supaya hubungan lebih rapat. Generasi muda pun kenal saya sekarang,” katanya.
Tambah beliau, tujuan asal beliau bersiaran langsung bukanlah untuk meraih hadiah atau ‘gift’ daripada penonton kerana beliau sendiri tidak begitu arif tentang hal tersebut.
“Saya cuma buat sebab ramai yang kata lama tak nampak saya. Bila saya cuba buat siaran langsung kali pertama, tak sangka pula dapat sejuta tontonan,” katanya.
Norlia turut mengakui ada menerima ‘gift’ daripada penonton ketika bersiaran langsung, namun perkara itu bukan keutamaannya.
“Kalau orang nak bagi, saya terima dengan terbuka. Kalau tak ada pun tak mengapa. Saya pun tak ada jadual tetap, cuma kalau ada masa lapang, terutama ketika menunggu di lokasi penggambaran, saya akan buat siaran langsung sekejap. Bukan setiap hari pun,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menerima tawaran untuk membuat ulasan produk dan kini menjadi duta kepada jenama susu.
“Sekarang saya buat review produk untuk satu jenama susu sebab saya dilantik sebagai duta. Banyak juga produk lain yang ajak saya buat ulasan,” katanya lagi.
Ibu kepada pelakon Rusdi Ramli itu turut mengakui dia tidak dapat lari daripada komen-komen nista daripada netizen yang mengaitkan usia emasnya dengan aplikasi yang dimonopoli oleh Gen Z itu.
“Biarpun ada komen-komen sinis yang mengatakan dah tua-tua pun nak main Tik Tok. Pada mama tak ada masalah.
“Kalau mama nampak komen-komen toksik sebegitu lalu depan mata, mama buat-buat tak nampak sahaja. Tak perlu balas komen mereka.
“Lagipun mama main Tik Tok bukan untuk kejar glamor. Semua orang dah kenal siapa. Norlia Ghani sejak tahun 1969 lagi,” kata yang belajar menggunakan Tik Tok daripada cucunya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Norlia Ghani Aktif Jadi TikToker, Tak Terasa Hati Bila Warga Maya Kecam, Dah Tua-tua Pun Main TikTok
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI: