Sempena Hari Ibu yang bakal diraikan pada hari esok, Mingguan Wanita berkesempatan menemu ramah Salimah Talib,61 bonda tersayang pelakon kecil molek Nora Danish,36 pada majlis pelancaran Salun, Karva Salon For Ladies by Nora Danish, baru-baru ini bagi mengungkap sisi personaliti figura kesayangan ramai ini.
Bersusuk tubuh sederhana, serta ramah berbicara, wanita berasal dari Myanmar ini memiliki 4 orang anak perempuan Rozie,43, Katie,42, Nadia,38 dan Nora 36 serta berbahagia dengan 4 orang cucu.
Sebagai seorang ibu, pastinya ada pengorbanan terbesar yang dilakukan buat anak-anak tersayang.
“Saya berkahwin awal pada usia 16 tahun. Sebelum kehilangan suami, saya merupakan seorang suri rumahtangga. Hanya setelah kematian suami barulah saya membuka restoran bagi sebagai sumber pendapatan,”
“Bagi saya sendiri,mungkin antara pengorbanan buat anak-anak adalah memilih untuk tidak berkahwin lagi. Tak pernah terfikir untuk berkahwin lain semenjak kematian suami, meskipun ketika itu Nora baru berusia 12 tahun. Meskipun ada yang cuba mencarikan jodoh ketika itu, namun tumpuan saya ketika itu hanya untuk membesarkan anak-anak.”katanya.
Setiap kali sambutan Hari Ibu, anak-anak menghargai pengorbanan saya. Selalu bawa pergi makan, beri hadiah bunga dan sebagainya.Malah Nora juga masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas keluarga mentua Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah. Setiap kali sambutan Hari Ibu atau ada sebarang majlis, ia diraikan bersama.Malah menurut Salimah lagi, bekas menantunya Rizal Ashram juga rapat dan sering datang ke rumah meluangkan masa bersama dengannya.
Antara sifat terbaik Nora yang adalah ambil berat. Nora bukan sahaja suka ambil pada saya, malah sentiasa ambil berat dengan saya, kakak-kakak dia mahupun kawan-kawan dia.Malah mudah bersifat kasihan.Pernah suatu ketika masa Nora kecil dahulu, ketika itu ada saudara datang rumah dan ingin berikan duit raya RM50, Nora lari dan tak mahu ambil duit tersebut, kerana baginya terlalu banyak dan kasihan pada orang yang memberi duit itu,” kata Salimah, sambil tersenyum mengimbas kenangan lama.
Sebagai seorang ibu, diantara keempat-empat orang anak saya, Nora merupakan anak yang jenis mendengar cakap dan senang dijaga sejak dari kecil.Kemana dia mahu pergi, nak buat apa mesti beritahu saya untuk meminta keizinan dahulu.
Bergelar anak seni, pelbagai kata-kata baik yang positif dan negatif harus diterima, namun selalunya Nora akan berkata “Takpelah biarlah orang buat kita, jangan kita buat orang, biarlah Allah yang balas”.
Sementelah bagi Nora sendiri pengorbanan yang terbesar yang dilakukan oleh ibunya adalah membesarkan mereka adik beradik semenjak kehilangan ayah ketika berumur 12 tahun.
“Bagi Nora pengorbanan terbesar yang mama pernah buat adalah menjaga Nora kerana Nora kematian bapa pada umur 12 tahun, jadi mama yang menjaga kami empat adik beradik, semuanya perempuan yang memang susah nak jaga dan Nora yang bongsu,” jelas Nora.
Pada usianya kini, harapan Salimah adalah agar anak-anak dan cucu-cucu berjaya dalam kehidupan masing-masing didunia dan diakhirat.
Nora Mohd Danish Hanif atau lebih dikenali dengan panggilan Nora Danish,36 telah berkahwin dengan Nedim Nazri Aziz dan dikurniakan anak Mohamed Neqayl Mohamed Nedim, 3 bulan, selain Putra Rayqal Rizal Ashram,9 hasil perkahwinan dahulu.
Sempena Hari Ibu ini juga,Karva Salon For Ladies by Nora Danish, ada menawarkan promosi menarik bagi meraikan ibu tersayang.