Nisa Terbuka Mata Hati & Jiwa Lihat Ketabahan, Kecekalan Pemandu Lori Sampah Wanita!

Share

Bukan mudah bagi seorang wanita untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang Pemandu Lori Sampah. Sementelah tanggungjawab ini selalunya dimonopoli oleh kaum lelaki. Kekuatan fizikal dan mental sangatlah diperlukan apabila memilih pekerjaan ini. Ia bukan saja perlu mengemudi jentera yang besar, malah perlu menangkis pelbagai tanggapan dan persepsi orang ramai mengenai kerjaya ini.

Menyelami sisi kehidupan wanita yang bekerja sebagai Pemandu Lori Sampah Puan Siti Noraini Ramli, 32, di Sungai Petani, Kedah tugasan ini diberikan kepada salah seorang Finalis Top 9 Pencarian Hos Mingguan Wanita, Khairunnisa’ Mohd Aminullah, 27 tahun

yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Terbuka Mata Hati & Jiwa

Menurut Nisa sebahagian besar dirinya sanggup menyahut cabaran bekerja sebagai pemandu lori sampah ini. Dirinya cukup kagum melihat ketabahan dan kecekalan wanita yang memilih pekerjaan ini disamping menghadapi kata-kata nista orang sekeliling.

“Jika tanya Nisa sendiri, sebahagian kecil diri Nisa, mungkin Nisa akan cakap “Emm, Tak nak lah,penatlah,panaslah. Tapi sebahagian besar dari diri Nisa mesti Nisa nak sahut cabaran tersebut sebab Nisa sangat terbuka mata hati dan jiwa lihat Puan Aini ketabahan, kecekalan beliau mengemudi jentera berat seperti itu dan juga menghadapi kata-kata orang yang ada pelbagai kiri dan kanan, tapi beliau tetap kuat dan tabah mengharunginya,”

jelas Nisa.

Kekuatan Mental & Fizikal

Tambah Nisa lagi,menurut pengalaman Puan Aini kekuatan fizikal sahaja tidak cukup malah persediaan mental juga kena kuat apabila memilih kerjaya ini.Paling penting semangat dan tahu kemampuan diri untuk melakukannya.

“Antara pengalaman Puan Aini yang dikongsikan dengan Nisa adalah beliau seringkali melalui kawasan kemalangan. Dan disebabkan beliau memandu lori yang agak tinggi berbanding kenderaan yang lain, beliau sentiasa melihat ataupun terlihat mangsa-mangsa kemalangan yang keadaannya teruk dan parah. Jadi jika tidak kuat mental, tidak boleh juga nak buat pekerjaan ini, walaupun kita punya fizikal kuat dan aktif.”

“Antara sebab mengapa beliau memilih pekerjaan memandu lori sampah adalah beliau yakin beliau boleh lakukannya. Bukan sebab orang ada kata-kata apa dekat dia. Tapi sebab dia tau dia mampu.So, kita pun, bila kita tau kita mampu, kita lakukannya dan apa sahaja yang anda nak, kita boleh capai.OK”

ujar Nisa.

Adakah NISA KAY memenuhi ciri-ciri hos Mingguan Wanita yang anda suka? Saksikan secara langsung pengumuman pemenang di Mingguan Wanita Talkshow, 28 Mac 2019, 12 tengahari.

Published by
Suhaidah Abd Wahab