Selebriti Indonesia, Nikita Willy selamat melahirkan cahaya mata kedua di Amerika Syarikat pada Ahad lalu. Isteri kepada Indra Priawan Djokosoetono, pewaris dari keluarga pemilik Blue Bird Group, sebuah syarikat pengangkutan terbesar di Indonesia ini teruja menyambut kelahirkan bayi lelaki diberi nama Nael Idrissa Djokosoetono.
“15 Disember 2024, Nael Idrissa Djokosoetono selamat dilahirkan, dibuat dalam kehangatan dikelilingi oleh individu tersayang,” katanya.
Nikita dipercayai melahirkan Nael di kediaman mereka di Los Angeles menggunakan teknik bersalin dalam air. Dia turut berkongsi foto saat dia melahirkan bayinya di dalam sebuah tab mandi sambil ditemani suami dan anak sulungnya, Issa Xander Djokosoetono.
Nikita pernah mengalami keguguran ketika usia kandungan memasuki tujuh minggu sekitar Januari lalu. namun pada Jun lalu, Nikita memaklumkan dia sedang hamil anak kedua dan memberitahu usia kandungan sudah memasuki tiga bulan.
Untuk rekod, Nikita berkahwin dengan Indra Priawan pada 16 Oktober 2020.
Anak sulung mereka, Issa Xander Djokosoetono, 2, dilahirkan di Hospital Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles. Nikita memilih untuk menjalani proses kelahiran melalui kaedah normal selepas menjalani persiapan rapi sepanjang kehamilannya.
Menurut Nikita, bersalin secara normal itu ditempuh dengan penuh kesabaran dan kekuatan mental. Nikita juga mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Indra Priawan, yang setia menemani sepanjang proses bersalin. Detik kelahiran Issa Xander menjadi pengalaman yang sangat berharga buat mereka berdua.
Beliau juga melakukan persiapan fizikal dan mental sepanjang kehamilan, termasuk senaman pranatal, yoga, dan menjaga pemakanan sihat.
Kali ini, Nikita memilih untuk bersalin dalam air, salah satu kaedah yang semakin popular kerana dipercayai memberikan pengalaman yang lebih selesa dan meminimalkan rasa sakit bagi ibu bersalin. Air suam dalam kolam bersalin membantu meredakan tekanan, mengurangkan kesakitan kontraksi, serta memberi kesan relaksasi kepada ibu.
Proses ini juga dikatakan lebih lembut untuk bayi kerana peralihan dari dalam rahim ke dunia luar menjadi lebih alami. Di Malaysia, Dr. Halina Mohd Yunos, isteri kepada angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, pernah mencuri perhatian apabila memilih kaedah bersalin dalam air atau water birth
bagi kelahiran anak kembar mereka.Keputusan ini membuktikan bahawa Dr. Halina mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kelahiran secara semula jadi, sambil mementingkan keselesaan dan keselamatan ibu serta bayi.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE