Niat Bersemadi Di Tanah Suci Termakbul, Ajal Menjemput Wanita Ini Ketika Menuju Ke Raudhah!

Share

Sesungguhnya ajal dan maut tidak diketahui bila waktunya. Perbanyakkanlah berdoa semoga ‘pengakhiran’ kita dengan cara yang baik dan di tempat yang baik. Kematian jemaah umrah, Siti Faridah Ahmad, 64, dari Kota Kuala Muda, Kedah dicemburui umat Islam seluruh dunia yang dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.

Seorang jemaah Malaysia yang sedang menunaikan umrah dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Raudhah, Masjid Nabawi jam 9 malam waktu tempatan awal pagi ahad lepas.

Siti Faridah dari Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda yang bertolak pada 24 November lalu masih berbaki empat hari lagi untuk pulang ke tanah air dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 12 tengah hari, 5 Disember ini.

Terjatuh Ketika Menuju Raudhah

Namun, perjalanan umrahnya kali ini sangat istimewa kerana dijemput Ilahi untuk bersemadi di Kota Suci Madinah. Mutawif Fadlim Travel, Nurulaswar Nasron berkata, allahyarhamah Siti Faridah dalam keadaan baik dan sihat sebelum kejadian selain sempat berkumpul dan merakamkan gambar kenangan bersama beliau dan jemaah lain 15 minit sebelum kejadian.

“Allahyarhamah terjatuh ketika dalam langkahnya menuju ke Raudhah iaitu Satu ruangan dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jemaah untuk berdoa selain berdekatan dengan makam Rasulullah SAW,”

“Mangsa dibawa ke Hospital Al-Ansar di Madinah untuk dirawat namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Pengebumian Berjalan Lancar

Menurut Nurulaswar, maklumat kematian dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia bagi memperoleh surat kebenaran untuk urusan pengebumian selain memaklumkan ahli keluarga yang berada di Kota Kuala Muda, Kedah.Beliau dan agensi bersyukur apabila urusan pengebumian berjalan lancar dan diuruskan pihak pengurusan Masjid Nabawi.

“Arwah disemadikan di Baqi yang terletak bersebelah Masjid Nabawi selepas solat Zohor,” katanya.

Siapkan Semua Kelengkapan

Menurut Noor Hashimah,33 anak kepada Siti Faridah, arwah maknya sudah 12 kali menunaikan umrah pernah memasang niat untuk meninggal dunia di Mekah atau Madinah, membolehkan dia berusaha berkunjung ke tanah suci saban tahun jika diberi kesempatan.

“Kalau mak meninggal, mak dah siapkan semua kelengkapan mak, ambil ja dalam beg ni, telekung semua mak dah siap. Itu yang mak pesan kat anak-anak, dia siap dah kelengkapan semua.”

“Mak juga pernah kata kat kawan dia, kalau boleh dia nak meninggal dunia di Mekah atau Madinah, bila dapat tau berita kematian ini, maka termakbullah hajat mak,”

katanya.

Menurut Noor Hashimah, berita kematian disampaikan mutawif yang mengendalikan perjalanan umrah yang disertai Siti Faridah pada jam 3.35 pagi tadi waktu Malaysia, lima minit selepas arwah disahkan meninggal dunia.

“Seluruh ahli keluarga bersedih tapi jauh di sudut hati rasa amat bersyukur sebab mak dijemput Ilahi di tempat paling suci iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.

“Mak pesan pada abang (anak sulung) sebelum bertolak supaya jaga adik-adik, kami semua lima beradik dan adik bongsu dah meninggal dunia pada 2014. Arwah ayah pun dah meninggal tiga tahun lepas, sejak itu, saya duduk dengan mak.

“Bila arwah mak tiada, rasa sangat kehilangan, kami tahu dia pergi umrah macam biasa, macam tahun-tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali, dia pergi buat selama-lamanya. Moga Allah terima mak, terima segala amalan mak, Insha-ALLAH,” katanya.

Sempat Hantar Kiriman Gambar

Menurut Noor Hashimah, antara kenangan paling manis, arwah ibunya sempat menghantar kiriman gambar dirinya buat kali terakhir pada pagi sebelum arwah meninggal dunia.

“Raudhah tu taman-taman syurga, depa kata mak jatuh masa melangkah ke Raudhah, anak-anak mak doakan, mak kini sedang melangkah ke syurga, Insha-ALLAh,” katanya.

Arwah Siti Faridah dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 9 malam waktu tempatan semasa sedang melangkah menuju ke Raudah di Masjid Nabawi. Mangsa bersama kumpulan jemaah wanita baharu sahaja turun dari tempat penginapan dan sedang melangkah menuju ke Raudhah sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia.

Raudhah adalah ruang dalam Masjid Nabawi yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia berdoa dan dikatakan antara tempat paling mustajab untuk berdoa.Bersebelahan Raudhah terdapat makam Nabi Muhammad SAW dan dua sahabat nabi iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khatab.

MW:Sesunguhnya kematian wanita ini yang amat ‘dicemburui’ ramai orang. Bersemadi di tanah suci, dikalangan para nabi dan syuhada. Semoga roh wanita bertuah ni, dicucuri rahmat diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab