Niat Bantu Bekas Isteri, Akhirnya Rumah Tangga Baru Dibina Hancur Berderai

Niat nak bantu bekas isteri dan anak-anak, akhirnya rumah tangga bersama isteri baru musnah akibat digoda bekas isteri. Ikuti pengakuan lelaki ini.

Azri merupakan seorang duda beranak dua ketika berkahwin dengan Iza. Perkahwinan pertamanya bersama bekas isteri, Ayu, kandas di tengah jalan akibat masalah kewangan. Ketika itu perniagaan Azri belum kukuh, hutang sekeliling pinggang. Akhirnya mereka bercerai. Kedua anak tinggal bersama Ayu.

Empat tahun Azri bertungkus lumus membina perniagaan akhirnya syarikat pembinaan miliknya semakin stabil. Ketika itu juga Azri berjumpa dengan Iza, seorang wanita berusia awal 30-an. Dan masih bujang ketika itu. Seorang pensyarah di sebuah universiti.  Selepas enam bulan berkenalan, mereka sepakat untuk melangsungkan perkahwinan.

Niat Ingin Bantu

Rumah tangga Azri dan  Iza bahagia dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Azri pula masih berhubung baik dengan Ayu demi anak-anak. Nafkah anak-anak tidak pernah diabaikan. Ayu juga sudah berkahwin lain selepas setahun bercerai dengan Azri dahulu dan tinggal di Sabah bersama suami barunya. Anak-anak juga tinggal di sana.

Pada satu petang, Azri dihubungi oleh bekas isterinya. Rupa-rupanya Ayu sudah bercerai dengan suami barunya. Dia ingin kembali ke semenanjung bersama anak-anak. Azri yang bersusah payah carikan rumah sewa untuk Ayu dan anak-anak kerana tidak mahu anak-anaknya hidup susah. Azri juga carikan kerja baru untuk Ayu. Segalanya dilakukan di luar pengetahuan Iza kerana tidak mahu Iza cemburu. Azri pula rasa bertanggungjawab untuk membantu Ayu dan anak-anaknya itu. Tiada niat lain.

Baca sini juga

IKLAN

Tak Bahagia Perkahwinan Diatur Keluarga, Isteri Berpaling Cinta Pada Duda!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Sekadar Luah Rasa

Ayu sering menghubungi Azri untuk meluah rasa. Rupanya bekas suami keduanya seorang kaki pukul. Bertahun dia memendam rasa. Nasib baik dengan anak-anak dia tidak naik tangan. Sebab itu mereka berpisah. Azri jatuh simpati pada Ayu dan sering menasihati Ayu untuk tabah dalam mengharungi cabaran.

Lama kelamaan hubungan mereka semakin mesra. Azri sudah tidak segan silu berkunjung ke rumah Ayu. Alasannya menjengok anak-anak. Azri terasa mereka seperti sebuah keluarga macan dahulu. Apatah lagi Ayu bijak mengambil hatinya dengan memasak pelbagai makanan kegemaran Ayu. Air tangan Iza pula tidak sehebat air tangan Ayu. Namun Azri cukup bijak menyembunyikan segalanya di luar pengetahuan Iza. Sudah pasti dia sayang pada isterinya itu. Namun, dengan Ayu juga rasa sayang yang dahulunya sudah hilang kembali berputik.

IKLAN

Akhirnya Terlanjur

Ayu pula semakin hari semakin menunjukkan sikap ingin kembali ke sisi Azri. Sengaja dia cuba menggoda Azri sehingga akhirnya mereka terlanjur. Azri menyesal kerana kesilapannya namun nasi sudah menjadi bubur. Ayu pula mula mendesak Azri untuk mengahwininya semula. Dia tidak ingin melepaskan Azri apatah lagi kini Azri sudah ada duit. Anak-anak turut dijadikan ‘senjata’ untuk memujuk Azri kembali ke sisinya.

Azri serba salah kerana dia tidak sanggup berterus terang dengan Iza yang teramat baik baginya. Dalam keadaan itu, rupa-rupanya Ayu telah bertindak di luar dugaan dengan pergi berjumpa Iza dah menceritakan keterlanjuran Azri dan dirinya. Sungguh kecewa Iza dengan sikap Azri yang telah berlaku curang padanya. Dia tidak dapat menerima hakikat Azri telah meniduri bekas isterinya!

Iza menuntut cerai. Walau pun puas dipujuk rayu oleh Azri, Iza tekad untuk keluar dari hidup Azri. Anak lelaki mereka dibawa bersama berpindah ke Melbourne apabila permohonan Iza untuk melanjutkan pelajaran di sana diterima.

IKLAN

Terbongkar Rahsia

Selepas itu barulah terbongkar rahsia apabila Azri terjumpa mesej Ayu kepada bekas suaminya. Rupanya selama ini bekas suami Ayu ingin kembali ke sisi Ayu namun Ayu menolak. Bahkan Ayu mengaku yang dia ingin berbaik semula dengan Azri kerana ingin hidup senang bersama Azri. Dalam WhatsApp itu juga Ayu mengaku yang dahulu dia silap meninggalkan Azri kerana tidak mahu hidup susah dengan Azri dan telah menjalinkan hubungan dengan bekas suaminya ketika masih bergelar isteri Azri.

Pendek kata, Ayu curang ketika masih bergelar isteri Azri. Bahkan dia mengadakan cerita yang bekas suami keduanya kaki pukul sedangkan dia tak sanggup hidup susah kerana perniagaan suaminya bankrap.

Tiada Niat Nak Kembali Bersama

Azri terpukul. Apakah wanita ini yang ingin kembali diambil sebagai isteri? Yang tidak sanggup susah senang bersama? Bagaimana sekiranya kelak bisnes Azri ditakdirkan ditimpa masalah lagi? Apakah Ayu akan meninggalkannya lagi? Azri menyesal kerana tergoda dengan Ayu namun dia tekad untuk tidak menerima kembali Ayu dalam hidupnya.

Setahun berlalu, Ayu masih merayu Azri untuk mengahwininya namun Azri tetap tutup hatinya untuk Ayu. Iza? Hilang tanpa khabar berita…

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI