Ini catatan ibu anak 3, Puan Rahimah Ahmad Akhirudin, tokey Gula-Gula Kurus yang terpaksa melalui detik getir dalam ‘labour room’ ketika bersalinkan anak bongsunya secara caesar (pembedahan). Biarpun ngilu membacanya, namun di hujungnya anda akan faham betapa besarnya pengorbanan seorang wanita ketika melahirkan.
Dari Mata Hati Seorang Ibu, Ikut Tingkap Kali Ke-3
“Anak pertama dan kedua keluar ikut tingkap. Jadi anak ketiga pun sama, awak pilih sahaja tarikhnya,” jelas doktor dengan tenang.
Aku tak tau nak menangis atau nak berlagak kuat. Siapalah boleh lupa kenangan pisau menusuk perut 7 lapis, disiat hidup-hidup demi melahirkan cahayamata kali ke-3. Serius ngiluuuuuu.
“Dan lagi satu, kalau rupa rahim tak elok, kita ikat mati je. Takut risiko untuk mengandung anak ke-4, boleh berlaku pendarahan,” bertubi-tubi pesanan doktor.
Mata ku mula kecil besar kecil besar. Badan makin tak berdaya, sungguh rasa terjelepuk macam nak pitam di situ juga. En somi dah mula bertanya soalan sains dengan doktor, fikiran ku pula melayang entah ke mana.
Tarikh keramat pagi 28 Julai 2011. Masih ingat lagi tatkala tubuh ini ditolak masuk ke bilik bedah. Kelihatan di satu sudut, tersusun rapi pisau bedah pelbagai saiz di atas tray. Ditepi nya seorang pemuda yang asyik mengelap satu persatu hinga terpancar kilauan tajam menusuk kalbu.
Memang prosedur sebelum dibedah, doktor bius akan beraksi dahulu. Saat inilah sebenarnye yang paling sakit, bila di cucuk di belakang, peritnya terasa hingga ke sum sum tulang. Auuuchhh.
Kepala ku mula terasa berat dan memeningkan. Loya ya amat hingga keluar muntah hijau, mujur doktor bius cekap menadah. Separa badan ku mula tidak memberi apa-apa reaksi, seperti hilang ibu jari kaki.
Ku lihat doktor bedah mula merapati ku. Membaca nama dan menerangkan situasi atas apa yang akan berlaku. Sempat juga aku mencelah.
“Doktor, jangan ikat mati peranakan saya, tanpa saya izinkan.” Itu sahaja yang terus bermain di kepala. Ianya lebih menyeramkan dari melahirkan si kecil ini. Aku tekad akan berjuang mati-matian tanpa tenggelam dalam kesakitan mahupun lambaian tidur.
Doktor mengangguk kepala dan terus mencapai satu demi satu pisau yang di hulurkan padanya. Segala itu belaku dibalik tirai putih, namun aku boleh bayangkan apa yang berlaku mengikut gerak tubuhnya. Cukuplah aku simpulkan ianya agak mencemaskan.
Walau pun begitu, aku gagal menahan air mata dari terus berderai satu persatu. Doktor bius tetap duduk disisi dan bertanya pening ke? Aku hanya diam membisu. Sebenarnya aku risau kondisi rahimku. Takut kena simpul mati.
Hampir 20 minit, memang boleh terasa banjirnya katil bedah tak bertilam itu dek sebaldi air mata ku. Sejuknya makin terasa. Doktor bius berbisik dan suruh aku bersabar, sikit lagi katanya.
“Tolak,” kata doktor pada assistant di sebelah. Bergegar rasa badan. “Sekali lagi. Lagi. Lagi.”
Ooooh mak, susah betul nak keluarkan baby yang kali ni. Seram jugak seingat yang pertama dan kedua cepat je dah dengar bunyi tangisan bayi.
Badan aku makin lemah. Mata dah makin kabur, namun ku gagahkan diri, takut disimpul mati.
Rasanya adalah lebih 10 kali percubaan assistant doktor ‘berguling’ dengan perutku. Rasa macam nak ku lututkan, mujur aku tak mampu mengangkat kaki, jika tidak nahas kau dikkk.
“Uweeeek,” tiba-tiba terdengar tangisan bayi menangis. Doktor masih tak berkata apa-apa, lelaki ke pompuan ke. Sihat ke. Bilik bedah itu terlalu senyap. Dan kemudian bayi tadi hilang dari penglihatan.
Aku masih pening. Namun ku gagahkan badan melawan ubat yang makin menenggelam aku ke lautan dalam. Perasaan ingin tahu dan risau makin kuat. Terasa ini satu penantian yang paling panjang,
“Rahimah, bahagian rahim awak masih ok, boleh untuk kali ke-4,” sebut doktor sebutir sebutir. Mungkin dia tahu aku dah makin lalok. Dan tatkala itulah air mata ku berderai laju tanda syukur pada Illahi.
Pertempuran di katil bedah ini berakhir dengan satu perasaan sedih dan gembira. Sedih untuk mengharungi berpantang sendiri tanpa mak, namun sujud gembira atas kehadiran bayi Imran dan tiada simpulan mati dalam diri ku lagi.
Yang ada hanyalah simpulan kasih sayang tak berbelah hati buat suami dan anak-anak tersayang.
Syukur, aku seperti di beri nafas baru.
Sumber/Foto: Rahimah Ahmad Akhirudin via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI