Netizen Marah Dan Ibu Zara Tak Akan Rasa Tenang Selagi Pelaku Tak Dihukum!

Share

Semalam kita dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi perempuan, Zara akibat didera fizikal dan seksual, satu perbuatan kejam yang tidak dapat diterima dek akal manusia waras.

Kejadian sedemikian jelas mengundang rasa marah dan empati masyarakat yang mengutuk perilaku di luar kemanusiaan itu namun bagi ibu yang mengandung dan melahirkan bayi tidak berdosa ini. Kejadian berkenaan menjadi satu igauan ngeri yang menghantui kehidupannya.

“Selagi kes Zara tidak selesai .. selagi pelaku tidak dihukum , saya tak akan berasa tenang.”

Itulah luahan ibu kepada Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, bayi berusia 11 bulan yang meninggal dunia pada Jumaat selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang.

Sungguh menyedihkan, bayi yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri. Allah… langsung tak boleh nak bayangkan apa yang dirasai oleh si kecil itu.

Ibu Zara Tak Sangka

Dari sudut si ibu, Noraihan Ab Aziz , 22 , yang bertugas sebagai operator kilang di bandar Baru Bangi, dia tak pernah menjangka tragedi hitam seumpama itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan yang amat pedih dalam kehidupan mereka.

“Hati saya sakit sangat apabila melihat keadaan Zara yang menyayat hati. Saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan penyiasatan dan mengenakan hukuman setimpal pada pesalah.”

Noraihan dan suaminya Muhammad Zainal, 27 , serta anak sulung mereka , Muhamad Alif Zamani, 4 , kini berada di kampung halaman mereka di Rantau Panjang, Kelantan untuk urusan pengebumian puteri kecil mereka.

Ya, ibu manalah yang tak koyak emosi bila dapat tahu khabar si anak yang dikandung menjadi mangsa nafsu serakah manusia yang tak bertanggung jawab! Walau payah untuk menerima kenyataan, tapi wanita ini reda dengan kehilangan anak keduanya.

Mohon Dijadikan Ikhtibar

Kesedihan Noraihan sukar dibendung dan seakan mahu masyarakat mengambil iktibar kejadian itu dan berkongsi episod duka di laman Facebook miliknya, tulisnya…

“Damailah kau di sana sayang .. Tunggu ibu di syurga .. Ibu halalkan susu yg mengalir di dalam badan anak ibu .. anak syurga ibu #nurmuazaraulfa “

Dia juga turut berkongsi gambar bersama arwah, detik arwah sedang menerima rawatan dan ketika urusan pengebumian bayi malang itu diturunkan ke liang lahad.

Ketika bercerita kisah dukanya, anak sulungnya seakan memahami kejadian yang menimpa adiknya apabila mengungkapkan kata-kata, “kalau adik sudah berada dalam kubur, adik dah tak sakit .. Adik dah tak payah duduk di hospital, kan ibu?”

Mengimbas detik kejadian, Noraihan dihubungi pihak Hospital Serdang pada petang Rabu memaklumkan bayinya dalam keadaan kritikal selepas dibawa sendiri pengasuh dan suami pengasuh.

“Pengasuh bertindak menghubungi saya sebanyak lima kali tetapi ketika itu telefon tiada liputan. Dah sampai di hospital, saya mendapati pengasuh dalam keadaan serba salah tetapi suaminya tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.”

Kongsi Puan Noraihan, dia mengenali pengasuh bayinya sejak dua bulan lalu ketika memuat naik status di Facebook untuk mencari pengasuh dan pengasuh berkenaan bertindak menghubunginya.

“Saya pergi berjumpa dengannya dan daripada tutur katanya saya lihat tiada perkara yang meragukan. Namun ketika berjumpa dengan pengasuh, suami dan anak lelaki mereka berusia satu tahun lapan bulan tiada di rumah.”

Nasi sudah menjadi bubur, nak patah balik pun tak boleh. Pasrah dengan sebuah kehilangan, cuma ibu ini berharap sangat mak ayah lebih berhati-hati memilih tempat asuhan anak. Kalau boleh, cuba curi masa untuk check anak di tempat pengasuh.

Published by
Nadia