Ajal dan jodoh sememangnya ketentuan tuhan. Namun sebelum membuat keputusan melibatkan kehidupan dan perkahwinan, sebaiknya fikir dahulu dan dapatkan nasihat daripada rakan-rakan mahupun keluarga terdekat. Supaya tidak menyesal dengan keputusan yang dilakukan.
Penat Jaga Suami Muda Pemalas
Seorang nenek berusia 83 tahun yang tular kerana mengahwini jejaka umur 37 tahun akhirnya mengumumkan perpisahan mereka selepas mengaku berasa penat menjaga suaminya, lapor portal berita LadBible semalam.
Iris Jones menjadi perhatian di seluruh dunia apabila dia mendedahkan kisah cintanya bersama lelaki muda dari Mesir, Mohamed Ibriham.
Ads
Bawa Haluan Masing-Masing
Pasangan itu berkahwin pada 2020 dan sejak itu, Ibriham berpindah ke banglo milik Jones di Weston-super-Mare, England dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar raya Tesco.
Meskipun Jones sering memberitahu orang ramai bahawa cinta mereka sejati, ia malangnya tidak berkekalan dengan pasangan tersebut akhirnya membawa haluan masing-masing bulan lepas.
“Saya berasa penat kerana perlu menjaganya. Saya perlu melakukan semua pekerjaan di rumah, daripada memasak, mengemas dan membersihkan rumah.
“Lebih baik saya berpisah dengannya. Saya sepatutnya mendengar nasihat keluarga dan rakan-rakan mengenai Ibriham sebelum ini.
Ads
“Saya menyesal mengenali dia dan sedar bahawa suami terbaik ialah suami (bekas suami) pertama saya, Gwyn,” katanya.
Jatuh Cinta Sebab Rupa
Tambah Jones, dia mengaku telah jatuh cinta pada Ibriham disebabkan paras rupa lelaki itu.
“Mungkin imej yang ditampilkan membuatkan saya menyukainya. Jika dia mempunyai perut buncit atau botak, pasti saya tidak akan tertarik dengannya,” katanya.
Mingguan Wanita: Bab perkahwinan memang kena fikir panjang dan dapatkan nasihat daripada keluarga serta rakan terdekat dahulu. Bukan hanya ikut kata hati. Apatah lagi, jarak umur yang jauh, supaya tidak menyesal kelak.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun telah menjadi yatim piatu setelah kedua ibu bapanya meninggal kerana coronavirus dalam masa 100 hari.
Melalui laporan yang dipetik daripada NBC NEWS, akaun GoFundMe telah dibentuk untuk membantu Raiden Gonzalez dari San Antonio, Texas, setelah dia kehilangan ayahnya Adan Gonzalez pada bulan Jun sebelum ibunya Mariah Gonzalez meninggal pada bulan Oktober.
Raiden bersama ibu bapanya Adan dan Mariah
Tinggal Bersama Nenek
Raiden bakal menyambut ulang tahun kelimanya pada 22 November ini. Dia kini tinggal bersama neneknya dari sebelah ibunya, Rozie Salinas.
Puan Salinas mengatakan tragedi mula menimpa keluarganya setelah salah seorang rakan kerja Adan diuji positif untuk Covid-19 awal tahun ini.
Adan dimasukkan ke hospital pada 3 Jun dan meninggal tiga minggu kemudian pada 26 Jun.
Pemandu lori itu digambarkan sebagai “salah seorang daripada dua orang yang paling sakit di hospital” oleh doktor yang merawatnya.
Mariah yang juga seorang guru sekolah sangat bersedih dengan kematian suaminya. Dia telah merancang acara peringatan untuk suaminya. Namun Mariah telah meninggal dunia hanya beberapa jam setelah jatuh sakit.
Bercakap mengenai cucunya, Puan Salinas memberitahu NBC News: “Disebabkan dia anak emak, Raiden amat merindui ibunya. Malah pagi ini dia memberitahu saya bahawa dia berharap dapat bertemu ibunya semula. Dia hanya menginginkan ibunya kembali semula.”
“Maksud saya, apa yang harus saya katakan kepadanya? Anda tahu, saya baru mengatakan kepadanya bahawa mereka sekarang malaikat mengawasi kita dan melindungi kita.”
Tambah Salinas: “Raiden yang membuatkan saya mampu meneruskan hidup. Berkali-kali dia mengingatkan saya bahawa dia menyayangi saya. Dia selalu berterima kasih kepada saya kerana menjaganya, tetapi harus fikir mengenai dirinya. Ini keadaan yang sukar untuk diproses.”
Puan Salinas merancang untuk mengadakan majlis ulang tahun khas untuk Raiden pada akhir bulan ini dengan acara pandu lalu yang menampilkan kelab trak, penunggang basikal, kelab Mustang, kereta klasik, kelab Jeep, serta pasukan bomba.
“Sambutannya pasti meriah.”
Dia juga merancang untuk mengadakan acara peringatan untuk anak perempuan dan menantunya selepas Krismas.
Sebut saja nama penyanyi, pelakon, model dan ratu cantik Miss World Malaysia 2008, Dr. Soo Wincci sudah pasti ramai yang kagumi. Wanita berketurunan Cina yang popular menerusi industri seni Melayu kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol.
Kesempatan bertemu dengan figura ini di Program Budi@Seni Town Hall anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) baru-baru ini, Soo Wincci akui dia tidak pernah berasa penat menimba ilmu.
“Bila saya mohon sambung pelajaran untuk PhD kedua, pihak universiti anggap saya gila. Mereka ambil masa selama lima bulan untuk periksa kesahihan sijil-sijil akademik yang saya miliki. Mereka seolah-olah tidak percaya. Akhirnya mereka terima dan saya sangat bersyukur.
“Sekarang ini saya ulang alik dari Sepanyol ke Malaysia. Walaupun ambil masa lebih kurang 16 jam untuk sampai ke tanahair namun saya sanggup terutamanya demi memberikan mesej terbaik dan perkongsian ilmu kepada pelajar-pelajar di sini,” tutur Soo Winnci sambil tersenyum manis.
Selepas diterima belajar dan mendapat biasiswa untuk menyambung pengajian kali ini, Soo Wincci akur bila dia tidak dibenarkan pulang ke tanah air dan biasiswa akan ditarik semula jika keputusannya tidak cemerlang.
“Ramai yang bertanya kenapa saya harus berterusan belajar sedangkan saya begitu cemerlang dalam akademik. Apa yang mendorong sebenarnya impian saya bukanlah sesuatu yang biasa.
“Secara jujur saya tak nak sambung PhD kedua tapi bila nampak industri seni pun sudah berubah saya perlu ikut rentak dengan pelbagai teknologi moden. Apa yang saya boleh bawa balik dari apa yang saya belajar adalah ilmu pengetahuan yang saya akan kongsikan dengan anak-anak muda,” sambung Soo Wincci yang sebelum ini pernah mengimpikan mahu menubuhkan sebuah akademi atau universiti sendiri.
.
Penat Lelah Pengorbanan Berbaloi
Walaupun dirinya begitu popular di tanahair namun wanita ini menyifatkan segala penat lelah dan pengorbanannya meninggalkan seketika apa yang dimilikinya di Malaysia berbaloi dengan apa yang dicapai hari ini.
“Saya melepaskan semua di Malaysia untuk mengejar impian. Ini merupakan satu risiko yang amat besar. Daripada seorang artis yang hanya fokus dalam persembahan kepada penerbit yang perlu dilengkapi dengan ilmu teknologi, ia merupakan satu langkah besar yang perlu diambil.
“Selain itu, dengan tahap yang tinggi dan latihan yang bertubi-tubi, saya hampir putus asa. Tapi dengan keazaman dan kerja keras, pada tahun lalu iaitu 2018, saya berjaya mendapatkan ijazah sarjana yang kedua di sini. Pada saya, populariti tidak akan kekal lama, paling penting timbalah ilmu terutamanya pada golongan wanita,” sambung Soo Wincci yang turut pernah mencipta sejarah peribadi untuk Malaysia apabila sekali lagi tersenarai untuk mendapat dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).
“Pengiktirafan tersebut terdiri daripada Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist. Sehingga kini, Wincci telah memiliki lima ijazah yang diperolehi dalam masa 15 tahun. Selain dua Ijazah Sarjana yang diperolehi di Sepanyol, Wincci juga memiliki Ijazah Undang Undang dari University of Reading, UK, Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (University of Sunshine Coast, AUS) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia.
Famili Mahu Saya Kahwin
Soo Wincci mengakui di sebalik kejayaan yang diraihnya selama ini, terlalu banyak cabaran yang dugaan yang dilaluinya. Biarpun ada kalanya dia sendiri berasa tidak mampu untuk melalui kesukaran tersebut, namun dalam masa yang sama ia menjadi penyuntik semangat untuk berusaha lebih keras bagi mengatasi apa sahaja masalah yang ada di depan.
“Orang mungkin nampak seperti segalanya mudah bagi saya. Namun di sebaliknya itu ramai yang tidak tahu betapa saya melalui fasa jatuh bangun dan struggle sepanjang perjalanan saya untuk meraih apa yang di peroleh ini.
“Bukan sahaja tentang wang ringgit, tetapi banyak pengorbanan yang telah saya lakukan termasuk berjauhan dengan keluarga demi menggapai cita-cita saya yang ingin menimba ilmu setinggi yang mungkin, selain impian untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang muzik di luar negara.
“Mengenangkan susah payah itu, saya sentiasa ingatkan diri agar sentiasa fokus dan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja yang dilakukan dari sekecil perkara sehinggalah yang besar,” ujarnya. Tambah Soo Wincci pernah satu ketika dia berdepan konflik dengan kedua ibu dan bapanya yang berat hati untuk membenarkannya melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Berklee, Valencia, Sepanyol.
.
Malah katanya, dia mengambil masa yang agak lama untuk memujuk dan meyakinkan mereka tentang hasrat untuk menambah ilmu mencari pengalaman di luar negara.
“Memang pada mulanya keluarga terutamanya bapa saya, tidak menyokong hasrat saya untuk sambung belajar dalam bidang muzik di Sepanyol.
“Bapa tidak mahu saya susah dan berjauhan dengan keluarga lagi. Dia kalau boleh mahu saya kahwin sahaja. Namun saya seorang yang keras kepala dan tekad dengan apa yang saya mahukan dalam hidup saya.
“Berdebat jugalah dengan bapa sampai dia merajuk. Tapi lama-kelamaan dia boleh terima, apatah lagi bila nampak saya bersungguh-sungguh,” kata Soo Wincci yang sememangnya menjaga batasan pergaulan sebagai seorang wanita dan sentiasa menjaga nama Malaysia ketika berada di luar negara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai mak ayah malah masyarakat tidak mengetahui yang kita boleh menuntut wang akibat serangan binatang buas. Tuntutan ini dipanggil Dana Serangan Binatang Buas.
Menerusi perkongsian seorang guru Mohd Fadhli, memaklumkan 3 langkah untuk membuat tuntutan wang Dana Serangan Binatang Buas.
Cerita guru ini bermula apabila seorang anak murid prasekolahnya telah dipatuk oleh ular yang berbisa. Kejadian ini berlaku di rumahnya.
Ketika asyik bermain, seliparnya telah terjatuh ke dalam longkang. Murid ini memberanikan diri. Tangan di hulur bagi mencapai selipar. Tiba-tiba tangannya dipatuk oleh seekor ular berbisa.
Tangannya berdenyut-denyut sakit.
Menurut ibu murid ini, setelah dipatuk ular, didapati anaknya mengalami muntah –muntah. Terus tanpa melengahkan masa mangsa dibawa ke hospital.
Tangan anak ini semakin membengkak. Tambahan lagi, murid ini mengalami demam. Pakar perubatan telah bertindak segera bagi menyelamatkan nyawa anak periang ini.
Rentetan daripada kes itulah, guru ini mendapat pengetahuan tentang Dana Serangan Binatang Buas ini.
“Ramai ibu bapa dan masyarakat tidak mengetahui bahawa kita boleh menuntut wang akibat serangan binatang buas. Serangan binatang buas ini tidak kira di mana berlaku dan terjadi.
“Dana ini boleh dituntut sekali seumur hidup.” Inilah yang dimaklumkan kepadanya oleh Puan Noratiqah Othman sebagai staff di Jabatan Perhilitan.
Dalam kenyataan yang dikongsikan oleh Syahril A. Kadir pula menyatakan antara binatang yang melayakkan mangsa menerima bantuan ialah gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa dan primat (beruk, kera, siamang, ungka, lotong dan kongkang).
3 Langkah Tuntut Dana Serangan Binatang Buas
LANGKAH 1
Panjangkan email aduan kepada johor@wildlife.gov.my. Antara kenyataan yang diperlukan ialah ; Laporan murid yang dipatuk ular, maklumat pengadu (nama penuh, dan kad pengenalan), nama mangsa, tempat tinggal dan nombor yang mudh dihubungi. Emailkan juga kepada kluang@wildlife.gov.my
LANGKAH 2
Mohon ibu bapa mangsa atau penjaga mendapatkan laporan doctor mengenai serangan haiwan berbisa. Pastikan mendapat maklumat yang tepat dari doctor.
Jika tidak faham teruskan bertanya kepada pegawai yang ditugaskan. Laporan-laporan ini hantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tuntutan serangan binatang buas.
LANGKAH 3
Ibu bapa atau penjaga mestilah sering ‘Follow up’ dengan pihak berwajib seperti email yang diberi, JKM dan perhilitan. Pihak JKM wajib mengusulkan kepada PERHILITAN untuk melayakkan murid tersebut untuk mendapat DANA.
Inilah merupakan langkah-langkah yang boleh di ambil oleh ibu bapa dan penjaga, bagi mendapatkan hak kanak-kanak yang telah uji dengan binatang buas dan berbisa.
“Pengalaman merupakan sesuatu yang sangat berharga. Benarlah, setiap apa yang Allah berikan kepada kita baik ujian atau nikmat, merupakan pengajaran dan pembelajaran yang perlu kita pelajari dan hadapi. Dalam masa yang sama, pengalaman akan mematangkan cara tindak dan fikir kita.”