Nekad Berhenti Kerja, Demi Kepuasan Bela 52 Kucing Jalanan Termasuk Yang Buta, Lumpuh & Sawan!

Share

Mulianya hati pasangan suami isteri ini dalam membela kucing-kucing jalanan termasuk yang kurang upaya seperti buta, lumpuh dan sawan. Demi kepuasan dalam membela kucing-kucing ini, hingga sanggup berhenti kerja walaupun mendapat gaji yang lumayan.Malah bertekad hanya kematian yang dapat memisahkan diri dengan kucing-kucing tersayang.

“Hanya maut saja dapat memisahkan, sama ada saya pergi dulu atau kucing,” kata pemilik dan pencinta kucing, Mohd Baharim Abu Bakar.

Nekad Berhenti Kerja

Mohd Baharim, 44, yang menetap di Kota Kemuning, di sini, pernah bekerja sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat swasta selama lebih 10 tahun dengan pendapatan lima angka.

Biarpun sudah hidup selesa, bapa tiga anak itu nekad berhenti kerja enam tahun lalu kerana mahu mencari kepuasan dalam menjaga dan menguruskan kucing.

Uruskan 52 Ekor Kucing

Bukan hanya kucing normal malah Mohd Baharim turut menyelamat dan memelihara kucing buta serta lumpuh yang diambil dari jalanan.

Dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu isteri, Nur Hanariawati Mohd Najib, 42, dan kini mereka memelihara 52 kucing dengan 17 daripadanya buta, lumpuh dan sawan.

“Ketika masih bekerja lagi saya sudah bela kucing tetapi tidak banyak seperti sekarang.

“Bagaimanapun, kepuasan memelihara kucing tiada ketika itu kerana terikat dengan komitmen kerja.

“Sampai satu tahap iaitu pada awal 2016, saya berasa sudah sampai masanya untuk berhenti kerja dan fokus menjaga kucing. Ketika itu saya memang nekad dan tidak langsung berasa berat hati,” katanya.

Khidmat ‘Grab Cat’

Demi kelangsungan hidup, Mohd Baharim memulakan fasa baru selepas berhenti kerja dengan menawarkan khidmat dikenali ‘Grab Cat’ iaitu mengambil kucing dari rumah pelanggan dan memandikannya.

Setahun kemudian iaitu pada 2017, Mohd Baharim menawarkan pula khidmat menjaga kucing peliharaan atau ‘cat boarding’ kerana melihat peluang menambah pendapatan.

“Saya dan isteri mulakan perkhidmatan itu pada Aidilfitri 2017 dengan caj RM10 seekor.

“Sambutannya memang menggalakkan dan hasilnya juga lumayan cuma risiko serta tanggungjawabnya juga besar.

“Ia kerana ada beberapa kucing berubah emosi iaitu enggan makan apabila pulang ke rumah tuan mereka jadi selepas berbincang dengan isteri, kami sepakat hentikan perkhidmatan itu pada awal 2020 iaitu sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Khidmat ‘Grooming’ Kucing

Sejak itu Mohd Baharim fokus dengan perkhidmatan membersih, mendandan dan mencantikkan kucing saja dengan pergi ke rumah pelanggan.

Bercerita lanjut, Mohd Baharim berkata, kesemua kucing peliharaannya dibiarkan bebas di dalam rumah namun yang normal di bawah manakala kurang upaya dalam bilik di bahagian atas

Meskipun begitu, kesemuanya dilayan dan diberi kasih sayang sama rata tanpa melihat baka kucing.

“Sebahagian kucing peliharaan saya dibeli namun ada juga diambil serta diselamatkan dari jalanan.

“Saya dan isteri mula menyelamat kucing kurang upaya sejak awal tahun ini kerana mahu merasai pengalaman menjaga serta menguruskannya.

“Memang tidak mudah malah jika dikira kos perbelanjaan boleh beli sebuah rumah malah rutin penjagaannya juga tidak mudah terutama ketika menguruskan kucing kurang upaya buang najis tetapi saya cuba belajar hingga tahu pelbagai ilmu, boleh dikatakan dari kepala sampai ekornya.

“Sejak ada dalam dunia kucing, saya dan isteri juga perlu banyak berkorban kerana tiada masa berjalan atau pulang ke kampung. Sebaliknya, kami bawa emak di kampung datang ke sini kerana ada kucing di rumah perlu diuruskan ,” katanya.

Kucing Sebagai Terapi

Sementara itu, isterinya, Nur Hanariawati menganggap kucing peliharaannya sebagai terapi ketika di rumah.

Oleh kerana terlalu sayang, Nur Hanariawati mengaku pernah menjual telefon bimbit selain menebalkan muka meminjam wang daripada keluarga terdekat untuk menampung kos rawatan kucing.

“Saya dan suami pernah pergi ambil dan selamatkan kucing sampai ke Melaka dengan kebiasaannya haiwan itu ditemukan dalam keadaan sangat teruk, ada bernanah, hancur badan atau kaki serta berlumuran darah.

“Kos rawatan ke klinik veterinar paling tinggi pernah mencecah RM6,000 manakala untuk manakala RM3,000 bagi membeli makan serta keperluan seperti lampin pakai buang untuk kucing kurang upaya.

“Ada ketika, terpaksa juga pinjam dengan keluarga terdekat untuk tampung kos rawatan, selebihnya guna wang simpanan dan hasil upah mendandan dan mencantikkan kucing.

“Alhamdulillah, setakat ini, kami cukup makan dan pakai malah banyak urusan dipermudahkan mungkin asbab daripada menjaga kucing,” katanya.

Keluarga Terlalu Sayangkan Kucing

Nur Hanariawati berkata, tiga anaknya yang amat memahaminya dan suami yang terlalu sayangkan kucing.

“Mereka (anak) okay dan selesa saja setakat ini. Jadi, selagi ada kudrat, saya dan suami akan terus menjaga kucing dan serahkan tanggungjawab kepada satu sama lain jika salah seorang ‘pergi’ dulu.

“Jika ditakdirkan pergi serentak, saya dan suami sudah berpesan kepada anak kedua untuknya memikul amanah menjaga kesemua kucing kami,” katanya yang aktif berkongsi video rutinnya dan suami bersama suami di platform TikTok @ceritakucingkatsumi.

Mesti Baca:Wanita Sanggup Berhenti Kerja, Kejar Impian Bersihkan Rumah Orang Secara PERCUMA Seluruh Dunia!
Baca Lagi Di Sini:Gantung Bahan Ni Letak Tepi Sangkar, Berkesan Serap Bau Najis Kucing!
Artikel Menarik:52 Hari Ditinggalkan Dalam Rumah Kosong, KUCING Terdesak Lapar Makan Cebisan Kertas!

Mingguan Wanita: Mulianya hati pasangan suami isteri ini sehingga sanggup berhenti kerja untuk menjaga kucing-kucing jalanan mahupun dalam keadaan buta, lumpuh dan sawan. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dilimpahkan lagi rezeki yang melimpah ruah.

Sumber: Hmetro

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab