Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke atas nasi. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan pada penghias muka hadapan kali ini, Noor Neelofa Mohd Nor dan ibunya Datin Noor Kartini Noor Mohamed.
Kejelitaan pasangan ibu dan anak ini memang tidak dapat disangkal sama sekali. Mirip sekali wajah mereka berdua. Kita boleh bayangkan mungkin 20 tahun lagi inilah wajah Neelofa pada ketika itu. Mirip seperti wajah ibunya kini.
Ibu cantik, anak pula jelita. Walau pun usianya sudah memasuki awal 50-an, Datin Noor Kartini kelihatan masih awet muda. Tidak hairanlah sekali pandang kedua-duanya ibarat kakak dan adiknya.
Menjalani sesi fotografi bersama-sama kali ini, MW boleh lihat ia peluang baik untuk Neelofa dan ibunya menghabiskan masa bersama-sama secara peribadi.
Bukannya apa, menurut cerita Neelofa, sejak mereka memiliki perniagaan Naelofar Hijab, kebanyakan masa biasanya diperuntukkan untuk berbual perkara membabitkan perniagaan.
“Bagaimana nak majukan lagi perniagaan, apa perkara yang boleh kami terokai dan sebagainya. Lagi menyeronokkan, kami juga bekerja bersama-sama. Tapi jika ditanya tentang zaman dahulu, waktu saya masih tinggal bersama keluarga, kami akan habiskan banyak masa dengan memasak dan menonton televisyen bersama. Seperti kebanyakan keluarga di luar sana,” ujar Neelofa memulakan bicara.
Datin Noor Kartini juga tidak menafikan sejak anaknya semakin sibuk dengan kerjaya dan bisnes yang semakin maju, kadangkala sukar juga mereka untuk bertemu muka apatah lagi untuk meluangkan masa bersama.
“Jika kami berdua tidak ada sebarang urusan, setiap hari biasanya kami bertemu di pejabat. Jadi biasanya kalau Neelofa sibuk, saya akan cari masa untuk pergi ke rumahnya untuk menghabiskan masa bersamanya di sana,” tambah Datin Noor Kartini pula.
Neelofa amat menghormati dan menyayangi ibunya. Apabila diminta memberi pandangan tentang bonda tersayang, jawapan yang diberi oleh Neelofa sudah pasti membuatkan mereka yang bergelar ibu akan rasa terharu.
“Mama ialah seorang yang sangat kuat, sabar dan tabah. Berkat kesabaran dan ketabahan beliau, Allah hadirkan dengan kebahagiaan dan hasil yang beliau kecapi sekarang ini. Saya sangat menjadikan kekuatan mama sebagai penanda aras untuk diri saya. Kalau boleh saya nak jadi sekuat Mama.
“Saya juga sentiasa ingat pesan mama. Mama sentiasa ingatkan saya supaya tidak lupa diri, sentiasa ingat asal usul dan sentiasa menjadikan diri mudah didekati dan didampingi. Jangan sombong sesama manusia.
“Dari segi kerjaya, Mama boleh dikatakan sebagai peminat ataupun penyokong nombor 1 saya. Dialah insan yang sentiasa ada dengan saya pada setiap ketika. Mamalah pendorong, dia jugalah pengkritik terbaik yang saya pernah ada.
“Dari segi perniagaan pula, Mama ialah orang yang memulakan dan memungkinkan segalanya. Contohnya, perniagaan Naelofar Hijab tercetus hasil garapan idea daripada Mama sendiri,” kongsi Neelofa tentang mamanya.
Menyentuh mengenai pesanan dan nasihat, Datin Noor Kartini menjelaskan beliau tidak perlu memberi banyak nasihat kepada anaknya itu.
“Dia sudah cukup matang dan tahu apa yang dia buat. Saya juga sering berpesan pada dirinya agar banyak mengingati asal-usul diri dan perlu ingat orang-orang di bawah yang memerlukan kita. Kalau berkaitan soal-soal gosip, pandangan saya Neelofa ini seorang yang kuat untuk menghadapi semua itu,” ujar Datin Noor Kartini.
Walau tidak perlu lagi memberi nasihat, namun satu perkara yang sering tidak pernah lupa untuk buat setiap anaknya adalah berdoa. Malah beliau juga turut berpesan agar anaknya tidak lupa berdoa setiap kali melakukan sebarang kerja.
“Saya banyak suruh dia baca doa terlebih dahulu terutaman kalau dia mahu berjumpa pelanggan dan sebagainya. Ada banyak bacaan doa yang saya beri kepada dia untuk dibaca dan diamalkan. Selain doa-doa tersebut, saya juga akan buat solat hajat sewaktu dia dalam sidang pertemuan dengan pelanggan itu,” tambah beliau. Bertuahnya Neelofa yang mempunyai ibu sebegini.
Mari kita Imbas kembali penglibatan Neelofa dalam industri seni yang memperkenalkan nama dan wajahnya kepada masyarakat Malaysia.
Noor Neelofa Mohd Nor mula berjinak dalam industri pada tahun 2009 apabila beliau memasuki Pertandingan Dewi Remaja. Bermakna tahun 2019 ini genaplah 10 tahun wajahnya menghiasi media cetak, media elektronik dan media sosial.
Apabila media sosial mula menjadi medan tempat mencari cerita mahupun berita, ramai yang beralih arah ke platform ini. Sekali lagi Neelofa menjadi tumpuan apabila akaun Instagram @neelofa sehingga artikel ini ditulis telah memiliki 6 juta pengikut.
Bagaimana pengasas dan wajah utama jenama tudung Naelofar Hijab ini mampu berada pada tahap yang begitu hebat dan dikagumi ramai ini? Ternyata bekas Dewi Remaja ini sentiasa ingat platform yang memperkenalkan dirinya di mata dunia.
“Saya bermula dengan Dewi Remaja. Bagaimana saya berusaha dan bekerja sehingga sampai ke tahap ini, macam-macam saya lalui. Mungkin orang nampak senang sebab ada yang anggap industri seni ini serba glamor dan manis-manis belaka.
“Tetapi di sebalik glamor itu banyak juga kenangan pahit yang dilalui oleh saya dan orang-orang tertentu sahaja yang tahu. Jadi bagaimana saya boleh bertahan dan berada pada tahap ini semuanya disebabkan ‘mind set’ yang saya bawa dengan saya sejak hari pertama lagi.
“Maksudnya jika mahu masuk industri seni ini seseorang itu perlulah kuat, tahan dikutuk, tahan dikritik, dan tahan dikata. Sebab itu jugalah walau apa sahaja orang kata dan fikir mengenai diri kita, hanya kita sahaja yang tahu mengenai diri kita.
“Jika kita asyik affected (terkesan) dengan apa yang orang cakap, berita itu akan menganggu perjalanan masa hadapan kita. Saya anggap Allah memberi rahmat pada saya.
“Saya seorang yang kuat semangat dengan adanya kawan-kawan yang sentiasa be there for me, sentiasa menyokong saya. Mereka sentiasa menasihati saya agar jangan mendengar cakap-cakap orang dan sentiasa move forward,” jelas wanita jelita itu panjang lebar.
Popular di media sosial menyebabkan Neelofa sentiasa dipuji mahupun dikeji. Bagaimana dia menghadapi komen-komen netizen di alam maya?
“Itulah nilai yang harus dibayar, jika memilih menjadi artis terutamanya di dalam era kecanggihan teknologi seperti sekarang ini. Semuanya berbalik kepada diri sendiri. Kita perlu jadi kuat bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan untuk semua orang di sekeliling kita juga.
“Tip yang saya selalu amalkan ialah, jangan cepat melatah dan jangan terlalu teruja untuk berkongsi apa sahaja di laman sosial. Yang buruk, jadikan peluang untuk kita refleksi diri sendiri, yang baik jadikan penyuntik semangat untuk buat lebih baik. Kata kunci, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri,” ujarnya.
Masa amat berharga terutamanya bagi pengacara, pelakon, model dan selebriti popular ini. Setiap hari ada sahaja tugasan dan kerja yang perlu diselesaikan tidak kiralah di dalam mahu pun ke luar Negara.
Bagi mereka yang mengikuti perjalanan kerjayanya sudah pasti akan mengetahui kesibukan Neelofa melalui setiap update yang ditunjukkan di dalam akaun Instagramnya.
Pada tahun 2019 ini Neelofa menjelaskan dirinya akan lebih memfokuskan kepada bidang perniagaan dan juga komitmennya dengan agensi luar Negara yang baru sahaja ditandatangi penghujung tahun 2018 lalu.
Bagi karier seni, buat masa sekarang, Meletop masih menjadi keutamaan Neelofa. Bidang lakonan pula, Neelofa mengambil keputusan akan berehat seketika. Hanya jika ada skrip yang bersesuaian, kena pula dengan jadualnya, Insyaallah barulah beliau pertimbangkan.
Melihatkan kesibukannya itu, bagaimana beliau membahagikan masa antara kerjaya dan peribadinya?
Akui Neelofa pengurusan masa bukan mudah untuk dilakukan dan beliau tidak mampu melakukannya seorang diri.
“Sebab itu saya telah wujudkan satu pasukan untuk sama-sama menguruskan saya. Ada lebih kurang enam orang yang sentiasa tahu jadual saya. Mereka tahu pergerakan, kerja dan perniagaan saya.
“Mereka akan berhubung sesama mereka supaya pekerjaan harian saya berjalan dengan lancar. Setiap individu tersebut mempunyai tugasan masing-masing untuk menjadikan sesuatu kerja itu berjaya dilaksanakan,” Terangnya.
Melibatkan diri dalam industri seni juga telah membuatkan Neelofa sentiasa menjaga penampilan dan gaya dalam berfesyen. Tidak hairanlah setiap kali beliau muncul dalam apa sahaja majlis mahu pun penggambaran program televisyen, sudah pasti ramai akan tertanya-tanya apa gaya terbaru Neelofa.
Kadangkala busana dan gaya pakaiannya menjadi viral kerana unik dan luar biasa. Bagaimana beliau mendapat keyakinan untuk menggayakan setiap busana yang menjadi pilihannya itu?
“Kebanyakan masa semua orang mahu nampak cantik. Itu adalah perkara biasa bagi setiap orang. Semua orang mahu pakai baju dan bersiap supaya nampak cantik. Tetapi jarang orang nak nampak unik atau pun nak mencabar diri mereka sendiri untuk menjadi berbeza.
“Setiap individu suka berada dalam zon selesa mereka. Setiap individu tidak mahu dikata atau dikecam. Tetapi saya rasa saya suka bereksperimen dengan pakaian dan fesyen. Saya turut mempunyai pasukan yang sentiasa memberi input dan nasihat berkaitan dengan fesyen.
“Jika saya pilih untuk sentiasa rasa selesa dengan di mana saya berada, saya akan tersekat di situ selama-lamanya. Tetapi jika saya sentiasa mencabar diri sendiri untuk menjadi berbeza daripada apa yang selalu saya buat, itulah cara bagaimana saya ‘grow’ diri sendiri,” komennya lagi.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Neelofa ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi Mac, Volume 2 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Penyelaras dan Teks: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Chuan Looi
Solekan: Khir Khalid
Stylist: @abushaefhamza
Stylist Tudung: @nazlivingastyle
Busana Neelofa: Bernard Chandran, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Busana Datin Noor Kartini: Mimpi Kita 63E, Jalan Ara, Bangsar Baru, Bangsar / Blancheur 145, Jalan Maarof, Bangsar Park, Bangsar.(Baju Warna Emas)
Tudung: Naelofar Hijab
Aksesori : Swarovski
Baca Disini:Patutlah Neelofa Berjaya & Rezeki Mencurah, Berkat Doa Ibunya Tak Pernah Putus!