Setelah 9 bulan mengandung, saat yang mendebarkan pastinya melalui proses bersalin. Tak kiralah dah berapa kali pun melahirkan anak. Ibarat berjuang di ‘medan perang’, nyawa di hujung tanduk.
Namun apabila mendengar tangisan bayi yang dilahirkan, hilang segala lelah dan kesakitan menahan kontraksi tadi. Hanya doa yang dipohon semoga segala proses kelahiran berjalan lancar. Proses pemulihan pula bergantung sama ada selesa dengan berpantang secara tradisional ataupun moden.
Pelakon dan usahawan, Noor Neelofa Mohd. Nor, 34, serta suami, Haris Ismail, 28, tentunya antara insan yang paling teruja menanti kehadiran cahaya mata kedua mereka yang dijangka lahir tidak lama lagi.
Keterujaan itu dikongsikan pasangan berkenaan sewaktu ditemui pemberita sempena pembukaan restoran Rightside di Mont Kiara, dekat sini, semalam.
Kata Neelofa, dia dan suami menanti hari kerana cahaya mata kedua mereka bakal dilahirkan pada bila-bila masa sahaja.
“Alhamdulillah, banyak perkara yang Allah S.W.T mudahkan untuk saya. Kehamilan kedua ini lebih tenang dan senang. Tak ada alahan yang berlaku.
“Namun, cabaran mengandung memang ada. Kesukaran dan kesakitan, lebih-lebih pada fasa trisemester memang ada.
“Tetapi saya bersyukur, semua dipermudahkan. Bila-bila masa sahaja saya akan melahirkan. Saya mohon doa semua agar proses kelahiran ini nanti berjalan lancar, Insya-Allah,” katanya.
Dalam masa sama, Neelofa turut memaklumkan dia dan suami sudah memilih nama yang akan diberikan kepada anak kedua mereka itu. Katanya, perkara itu akan dikongsikan kepada umum pada masa yang sesuai nanti.
“Nama memang sudah diputuskan. Kami akan kongsikan pada hari ketujuh selepas anak kami dilahirkan nanti,” kongsinya lagi.
Neelofa dan Haris sah menjadi suami isteri pada Mac 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari 2022.
“Saya lahir dan sempat membesar di kampung, tak sabar nak berpantang secara tradisional”
Itu yang dikongsikan Neelofa apabila ditanya tentang perancangan berpantang selepas melahirkan. Katanya, dia lebih selesa dan yakin cara berpantang ala kampung.
“Insya-Allah, kami akan guna khidmat pakar yang datang dari kampung Haris untuk membantu saya sepanjang 40 hari saya berpantang nanti.
“Saya sangat berharap agar proses pemulihan selepas bersalin nanti dipermudah Allah S.W.T,” katanya.
Seperti cahaya mata, Muhammad Bilal, Neelofa dan Haris juga merancang untuk merahsiakan wajah anak kedua mereka usai bayi itu dilahirkan nanti.
Kata Haris, tindakan itu wajar dan merupakan pilihan dia dan isteri.
“Ada tempoh yang kami rasakan perlu rahsiakan wajah anak kami lebih-lebih pada fasa-fasa awal selepas dia dilahirkan nanti.
“Tapi kalau ada yang ternampak dan mengambil video atau gambar, kami tak boleh nak halang mereka. Kami juga mahu anak kami membesar dalam persekitaran yang normal,” kongsi Haris.
Mesti Baca:Neelofa Sentiasa Pelajari Ilmu Baru Lepas Berkahwin, “Rumah Tangga Mana Tak Mencabar”
Baca Lagi Di Sini:NEELOFA Mengaku Hamil “Anak Pertama Akan Meragam Bila Nak Dapat Adik Hanya Mitos”
Artikel Menarik:Neelofa Ingin Bilal Fasih 3 Bahasa, Mahu Berkomunikasi Dalam Bahasa Arab Dengan Anak
Mingguan Wanita: Semoga dipermudahkan urusan bersalin anak kedua nanti selamat berpantang.
Sumber: Utusan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.