Anak-anak hari ini dilihat seakan sukar menerima nasihat dan lebih mementingkan diri sendiri. Mendidik anak tidak sama lagi seperti dahulu di mana anak akur dengan setiap nasihat mak, ayah.
Sebaliknya dalam dunia semakin mencabar, mak, ayah perlu mendidik diri sendiri terlebih dahulu sebelum anak-anak. Menurut perkongsian Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, nasihat anak perlu kena masanya. Barulah mesej sampai walaupun keras.
Kata William E. Blatz, keselamatan emosi itu ialah keadaan minda semasa seseorang itu bersedia menerima akibat daripada tingkah lakunya. Maknanya, kalau buat benda tidak cerdik, bersedia diberitahu yang kamu itu tidak cerdik.
Definisi itu sudah tua.
Ia definisi tahun 1950-an.
Bagus juga definisi lama-lama ini, sebab ia definisi yang lahir di zaman apabila emak ayah cakap, anak dengar. Bukan jawab balik dan macam-macam alasannya seperti zaman sekarang.
Apabila hubungan kita dengan anak-anak sedang ‘emotionally secured ’, ia adalah detik yang sesuai untuk menyampaikan nasihat yang keras lagi sensitif tetapi penting, tanpa menimbulkan konflik.
Emotionally secured itu ialah semasa anak-anak meyakini kita sayangkan mereka, semasa mereka merendah diri sedar mereka itu anak-anak, dan ada kesediaan yang mutlak untuk mendengar.
Faham yang semasa kena marah itu, ia datang daripada sayang, bukan benci. Sayang itu pula sayang yang menyuruh berubah, bukan sayang yang menatang.
Itu detik rezeki daripada Allah semalam.
Inginkan Anak Tahu Malu
Sebagai bapa, saya ingin anak-anak jadi orang yang tahu malu.
Dalam situasi keluarga kami, saya berseorangan menguruskan keluarga. Apabila nampak ayah kemas rumah, memasak, mengemas, jangan jadi manusia tidak tahu malu yang buat dunno sahaja. Sedar-sedar makanan sudah siap, dan terus nak makan.
Tidak malukah melepak melayan anime, tengok Youtube, main game, semasa orang tua bersusah payah di dapur, berjam-jam?
Bangun, datang kepadanya, tanya, apa yang boleh dibantu. Tanpa disuruh.
Tidak malukah tidur, bangun sesuka hati pukul berapa, tahu nak makan sahaja. Hodoh perangai itu, tak tak?
Tiada Pengajaran Spesifik
Saya dahulu opah dan atuk tidak ada ajar apa-apa yang spesifik bab ini. Tetapi semasa opah memasak di dapur, saya jenguk tanya boleh tolong atau tidak. Tolong terbalikkan ikan dalam gorengan, tolong susun pinggan, tolong basuh. Nakal, nakal juga. Tetapi sedar diri makan suap ke mulut itu bukan kemewahan atau hak layanan.
Jangan jadi remaja dungu yang ingat mereka entitle untuk dilayan macam raja. Antara benda ‘syaitan’ yang menjadi punca hal ini ialah telefon di tangan tu. Itu pun masih berani mengeluh data tidak cukup. Kamu nak kena pelangkung?
Ayah bercakap ini, supaya nanti kamu jangan jadi suami tunggul atau isteri tak guna. Ingat hidup ini nak melawa dan berhibur sahaja?
Sebagai bapa, saya tidak fikir anak-anak bodoh kalau keputusan peperiksaan tidak bagus. Tapi kamu memang bodoh kalau tidak faham benda-benda kehidupan ini. Mari dengan kasih sayang, ayah sembuhkan kebodohan itu dengan nasihat ini.
Pastikan Nasihat Dapat Diterima
Nasihat ini disampaikan bersama nasi, ayam goreng, sayur bayam tumis dan sambal belacan tumbuk. Alhamdulillah nasihat diterima dengan baik. Tetapi penentunya adalah adakah ia menatijahkan perubahan?
Anak-anak tanya, nanti bolehkah mereka ziarah saya dengan cucu-cucu saya? Saya kata, boleh jika ziarah untuk gembirakan mereka dan kami. Tapi kalau ziarah minta saya jaga cucu, nampak penumbuk ni? Tak sanggup jaga anak, tak payah ada anak.
Mereka ketawa.
Terkulat-kulat.
Malam itu rumah kemas sedikit.
Esok lusa belum tahu lagi.
Pendidkan Adalah Kehidupan Memproses
Saya pegang pendidikan bukan perjalanan menuju peperiksaan. Ia adalah kehidupan memproses bakal suami bakal isteri. Bakal emak ayah.
Kreativiti, kerjasama, komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, sebelum semua kualiti pendidikan alaf 21 itu hendak dipakai di alam pekerjaan, di bidang kejuruteraan, perubatan, robotik atau keusahawanan, ia adalah tunggak rumahtangga dan keluarga.
Jika emak ayah tidak berkualiti, ibu bapa derhaka sebelum anak derhaka. Anak derhaka fenomena tanda kiamat di akhir zaman. Sebelum anak derhaka, emak ayah kena ada baseline dalam mendidik.
Saya sudah beritahu anak-anak, baseline saya sebagai seorang bapa ialah saya akan pastikan, jika semasa dewasa kamu pilih jalan ke neraka, kamu tidak akan boleh mengheret saya, sebab saya sudah didik kamu jalan ke Syurga.
Syurga dunia.
Syurga Akhirat.
Kamu tidak sedar semasa kamu lelap, lelaki yang semakin tua ini menjenguk kamu di tengah malam, memandang wajah kamu, sama macam semasa kamu baru lahir dahulu, dan mendoakan kita semua masuk Syurga, bersama-sama.
— KAHLIL GIBRAN, THE PROPHET
Hasrizal
Oulu Finland.
MW: Semoga mak, ayah dikurniakan anak yang mendengar kata dan berakhlak mulia. Bukan mudah mendidik anak dalam dunia akhir zaman.
Sumber: Hasrizal Abdul Jamil