Anak-anak hari ini dilihat seakan sukar menerima nasihat dan lebih mementingkan diri sendiri. Mendidik anak tidak sama lagi seperti dahulu di mana anak akur dengan setiap nasihat mak, ayah.
Sebaliknya dalam dunia semakin mencabar, mak, ayah perlu mendidik diri sendiri terlebih dahulu sebelum anak-anak. Menurut perkongsian Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, nasihat anak perlu kena masanya. Barulah mesej sampai walaupun keras.
Kata William E. Blatz, keselamatan emosi itu ialah keadaan minda semasa seseorang itu bersedia menerima akibat daripada tingkah lakunya. Maknanya, kalau buat benda tidak cerdik, bersedia diberitahu yang kamu itu tidak cerdik.
Definisi itu sudah tua. Ia definisi tahun 1950-an.
Bagus juga definisi lama-lama ini, sebab ia definisi yang lahir di zaman apabila emak ayah cakap, anak dengar. Bukan jawab balik dan macam-macam alasannya seperti zaman sekarang.
Apabila hubungan kita dengan anak-anak sedang ‘emotionally secured’, ia adalah detik yang sesuai untuk menyampaikan nasihat yang keras lagi sensitif tetapi penting, tanpa menimbulkan konflik.
Emotionally secured itu ialah semasa anak-anak meyakini kita sayangkan mereka, semasa mereka merendah diri sedar mereka itu anak-anak, dan ada kesediaan yang mutlak untuk mendengar. Faham yang semasa kena marah itu, ia datang daripada sayang, bukan benci. Sayang itu pula sayang yang menyuruh berubah, bukan sayang yang menatang.
Itu detik rezeki daripada Allah semalam.
Inginkan Anak Tahu Malu
Sebagai bapa, saya ingin anak-anak jadi orang yang tahu malu.
Dalam situasi keluarga kami, saya berseorangan menguruskan keluarga. Apabila nampak ayah kemas rumah, memasak, mengemas, jangan jadi manusia tidak tahu malu yang buat dunno sahaja. Sedar-sedar makanan sudah siap, dan terus nak makan.
Tidak malukah melepak melayan anime, tengok Youtube, main game, semasa orang tua bersusah payah di dapur, berjam-jam? Bangun, datang kepadanya, tanya, apa yang boleh dibantu. Tanpa disuruh.
Ads
Tidak malukah tidur, bangun sesuka hati pukul berapa, tahu nak makan sahaja. Hodoh perangai itu, tak tak?
Tiada Pengajaran Spesifik
Saya dahulu opah dan atuk tidak ada ajar apa-apa yang spesifik bab ini. Tetapi semasa opah memasak di dapur, saya jenguk tanya boleh tolong atau tidak. Tolong terbalikkan ikan dalam gorengan, tolong susun pinggan, tolong basuh. Nakal, nakal juga. Tetapi sedar diri makan suap ke mulut itu bukan kemewahan atau hak layanan.
Jangan jadi remaja dungu yang ingat mereka entitle untuk dilayan macam raja. Antara benda ‘syaitan’ yang menjadi punca hal ini ialah telefon di tangan tu. Itu pun masih berani mengeluh data tidak cukup. Kamu nak kena pelangkung?
Ayah bercakap ini, supaya nanti kamu jangan jadi suami tunggul atau isteri tak guna. Ingat hidup ini nak melawa dan berhibur sahaja?
Sebagai bapa, saya tidak fikir anak-anak bodoh kalau keputusan peperiksaan tidak bagus. Tapi kamu memang bodoh kalau tidak faham benda-benda kehidupan ini. Mari dengan kasih sayang, ayah sembuhkan kebodohan itu dengan nasihat ini.
Pastikan Nasihat Dapat Diterima
Ads
Nasihat ini disampaikan bersama nasi, ayam goreng, sayur bayam tumis dan sambal belacan tumbuk. Alhamdulillah nasihat diterima dengan baik. Tetapi penentunya adalah adakah ia menatijahkan perubahan?
Anak-anak tanya, nanti bolehkah mereka ziarah saya dengan cucu-cucu saya? Saya kata, boleh jika ziarah untuk gembirakan mereka dan kami. Tapi kalau ziarah minta saya jaga cucu, nampak penumbuk ni? Tak sanggup jaga anak, tak payah ada anak.
Mereka ketawa.
Terkulat-kulat.
Malam itu rumah kemas sedikit. Esok lusa belum tahu lagi.
Pendidkan Adalah Kehidupan Memproses
Saya pegang pendidikan bukan perjalanan menuju peperiksaan. Ia adalah kehidupan memproses bakal suami bakal isteri. Bakal emak ayah.
Ads
Kreativiti, kerjasama, komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, sebelum semua kualiti pendidikan alaf 21 itu hendak dipakai di alam pekerjaan, di bidang kejuruteraan, perubatan, robotik atau keusahawanan, ia adalah tunggak rumahtangga dan keluarga.
Jika emak ayah tidak berkualiti, ibu bapa derhaka sebelum anak derhaka. Anak derhaka fenomena tanda kiamat di akhir zaman. Sebelum anak derhaka, emak ayah kena ada baseline dalam mendidik.
Saya sudah beritahu anak-anak, baseline saya sebagai seorang bapa ialah saya akan pastikan, jika semasa dewasa kamu pilih jalan ke neraka, kamu tidak akan boleh mengheret saya, sebab saya sudah didik kamu jalan ke Syurga.
Syurga dunia.
Syurga Akhirat.
Kamu tidak sedar semasa kamu lelap, lelaki yang semakin tua ini menjenguk kamu di tengah malam, memandang wajah kamu, sama macam semasa kamu baru lahir dahulu, dan mendoakan kita semua masuk Syurga, bersama-sama.
Your children are not your children.
They are the sons and daughters of Life’s longing for itself.
They come through you but not from you,
And though they are with you, yet they belong not to you.
You may give them your love but not your thoughts,
For they have their own thoughts…
You may strive to be like them, but seek not to make them like you.
For life goes not backward nor tarries with yesterday.
— KAHLIL GIBRAN, THE PROPHET
Hasrizal
Oulu Finland.
MW: Semoga mak, ayah dikurniakan anak yang mendengar kata dan berakhlak mulia. Bukan mudah mendidik anak dalam dunia akhir zaman.
“Dari awal dia perhatikan baby, hati mulai cuak.” rupanya uncle hanya hendak sedekah duit pada baby.
Begitulah manusia, bila orang tidak dikenali dengan imej yang kurang menyenangkan, kita mula berprasangka yang bukan-bukan. Kadang-kadang perasaan takut dan curiga membuatkan kita berfikiran negatif dengan orang lain.
Kongsi Sarah Saifuddin, kisahnya semalam kelaparan asbab dari tengahari perut belum terisi.
Dari Awal Dia Perhatikan Baby
Nampak hujan sedikit reda, mintak izin dengan nurse hendak turun bawah beli makanan dekat kedai sebelah hospital.
Sampai saja kedai, order nasi.
Pilih meja hujung sebab orang ramai.
Uncle meja sebelah terus menyapa,
“Kakak , kenapa baby tu?”
“Oh, dia tak sihat.”
Hati Mulai Cuak
Terus dia perhati saja baby sambil tunduk-tunduk mencari sesuatu.
Sesekali menegur baby Haziq.
Saya mula sedikit cuak.
Berdebar pulak bila ada yang memerhati.
Tiba-tiba dia tegur lagi,
“Kakak, saya mahu bagi baby ini (sambil tunjukkan sekeping duit) .
Kakak boleh ambil tak?
Saya nak bagi dia.”
Saya tengok di tangan dia.
Ada sekeping duit kertas RM10 yang dilipat kecil sangat.
Terselit dijari dia.
Rupanya Uncle Hanya Hendak Sedekah
” Allahu terima kasih cik.”
Speechless.
Awalnya saya sedikit gugup.
Takut untuk menegur dia.
Melihatkan fizikal dia, saya tahu dia bukan sesiapa.
Seluar di lutut nya koyak.
Bajunya agak lusuh tetapi seperti dijaga baik.
Dia pula senyum pada sesiapa saja yang melintas di depan dia.
Mulia Sungguh Hatinya
Perwatakannya biasa sekali.
Tetiba owner kedai tegur dia,
“Awak ni yg menyapu depan kedai saya ni kan pagi-pagi?
Awak kerja cleaner ye?”
“Ye, saya yang menyapu sampah tu.”
Sumpah, mata aku dah start berair!
” Anak berapa orang?.” Tanya owner kedai.
” Saya ada anak 6 orang. 3 orang di Kedah dan 3 orang di sini.”
Ye, perwatakan fizikalnya sangat biasa.
Tapi siapa sangka, hatinya mulia.
Patutlah dari tadi dia tak berhenti tegur baby Haziq walau dari jauh.
Betapa besarnya naluri kebapaan dalam dirinya.
Tiba-tiba hujan lebat, dia tunjuk pada saya.
Panggil owner kedai, nampak tanya payung sambil tunjuk pada saya dan baby.
Ya, hati kecil saya sangat tersentuh.
Dia bukan sesiapa, saya tak kenal dia.
Tapi asbab kebaikan dia, saya belajar mulianya bersedekah.
Walau dia hanya cleaner jalanan tapi itu bukan halangan dia memberi rezeki.
Ya, sekeping duit kertas RM10 bukan jumlah kecil bagi saya.
Sangat besar untuk orang sepertinya.
Pang! Pipi macam kena tampar.
Orang macam dia tak berkira pun.
Kita kadang-kadang duit RM 10 nak sedekah pun fikir 14 kali..
Uncle,
Harapnya ada rezeki saya untuk bertemu lagi dengan uncle hari ini…
Mingguan Wanita : Kadang-kadang tanpa kita jangka, orang yang tidak dikenali mudah menghulurkan bantuan tanpa kita minta. Sesungguhnya kisah ini membuatkan kita tersedar tidak semestinya memberi bila kita mempunyai wang yang lebih, yang penting hati yang ikhlas dan mulia.
Wan Emir kongsi pengalaman terperangkap dalam ‘Taman Syurga’ Raudhah Madinah dari malam hingga ke Subuh.
Suami kepada pelakon cantik, Mira Filzah ini dirinya berasa bertuah kerana perancangan awal hanya untuk solat malam di Raudhah namun bertukar menjadi berjam-jam lamanya akibat ‘terperangkap’ di dalamnya.
Wan Emir Kongsi Pengalaman Terperangkap Dalam ‘Taman Syurga’
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H, Wan Emir menyatakan dirinya berkongsi peristiwa ini agar dapat mendekatkan orang ramai dengan sunnah dan tauladan Rasulullah, pemilik sebaik-baik akhlak untuk dijadikan ikutan dan panduan sehingga akhir zaman.
Malah Wan Emir juga berdoa agar setiap daripada kita bakal menjadi tetamu Allah SWT di tanah-tanah suciNya.
“Terperangkap di Taman Syurga Raudhah (bersebelahan makam Rasulullah SAW)”
“Suka saya berkongsi semula kisah ini, di mana perancangan awal saya untuk solat malam di Raudhah biarpun sekejap, tukar menjadi berjam-jam lamanya akibat ‘terperangkap’ di dalamnya.
“Pada asalnya, saya sedang melaksanakan ibadah saya dan kelihatan ramai yang menunggu peluang mereka untuk mengambil tempat saya. Sedar dengan situasi itu, saya berniat untuk memberi peluang kepada orang lain untuk mengambil tempat saya dalam saf dan beredar keluar daripada kawasan Raudhah.
Kebaikan Dibalas ‘Cash’
“Dengan kuasa Allah SWT, perjalanan saya untuk keluar dari situ dihalang dengan kuatnya oleh barisan-barisan saf di hadapan saya, membuatkan saya terperangkap dalam ‘Taman Syurga’ (“Apa yang ada di antara rumah dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.” [HR Bukhari & Muslim]) sehingga Solat Subuh.
“Erti lain, menjadi kebaikan buat saya dengan serta merta, dibalas ‘cash’. Bersandarkan tiang Raudhah itu, saya cuba manfaatkan setiap saat dengan beramal sehingga masuk waktu Solat Subuh, dan teristimewanya adalah tiang itu antara yang berdekatan dengan Rasulullah kekasih Allah SWT.. Syukur Alhamdulillah.
“Ya, sebolehnya kita semua hendak berada di tempat seistimewa Raudhah dengan lebih lama, ataupun memiliki sesuatu yang cukup berharga kepada kita, tetapi jika kita berkongsi/memberi sesuatu kepada saudara kita seperti mana yang kita mahukan buat diri kita, maka itulah yang sebaik-baiknya. Sabda Rasululllah: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [HR Bukhari].
Syukur Atas PetunjukMu & Menjadikan Nabi Muhammad Sebagai Idola
“Syukur ya Allah atas petunjukmu dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola yang sebenar-benarnya buat kita semua.
“Moga perkongsian peristiwa ini dapat mendekatkan kita dengan sunnah dan tauladan Rasulullah, pemilik sebaik-baik akhlak untuk kita jadikan ikutan dan panduan hingga akhir zaman. Dan semoga setiap daripada kita bakal menjadi tetamu Allah SWT di tanah-tanah suci Nya, aamin YRA.
“Salam Maulidur Rasul 1443H. Allahumma salli `ala Muhammad, wa`ala ali Muhammad. #RasululllahCintaTeragung#ArahManaSyurga,” kongsi Wan Emir Astar.
Sering kali isteri dituduh nusyuz dan berdosa andai ingkar kehendak suami. Tapi dalam situasi tertentu, suami juga boleh dianggap berdosa terhadap isteri. Ikuti perkongsian daripada puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.
Saya terima mesej daripada klien yang disertakan dengan satu artikel mengenai dosa-dosa isteri kepada suami. Antaranya, isteri yang melawan cakap suami, isteri yang mencaci maki suami, isteri yang mengherdik suami. Persoalan yang dilontarkan kepada saya: “Apa hukumnya jika suami berkelakuan serupa kepada isteri pula?”Apakah suami juga berdosa kepada isteri?
Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri
Selalunya disebut mengenai isteri berdosa atau nusyuz sahaja. Betullah tu.. sebabnya masyarakat kita dididik dengan fahaman isteri mempunyai tanggungjawab yang berat kepada seorang suami seolah-olah si suami tidak mempunyai tanggungjawab yang berat malah pengabaian tanggungjawab oleh si suami dipandang remeh dengan satu usul; isteri wajib dan perlu membantu dan berkorban untuk suami. Jika isteri enggan atau gagal maka isteri tersebut dilabelkan sebagai isteri yang nusyuz.
Realitinya, suami juga boleh dikira berdosa atau nusyuz jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami yang diamanahkan oleh Allah sebagai hak kepada isteri. Dalam surah an-Nisa’ ayat 128 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)”.
Ayat ini jelas membuktikan nusyuz bukan hanya kepada isteri tetapi juga kepada suami. Bezanya cuma alasan untuk mensabitkan nusyuz tersebut. Suami dikira nusyuz atau berdosa jika mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri (tidak menggaulinya atau berkomunikasi dengannya), tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya termasuklah kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (Said Hawa, Asas fi at-Tafsir)
Dalam mentafsirkan ayat ini al-Qurtubi menjelaskan bahawa sekiranya isteri berpendapat suaminya akan bersikap nusyuz (ingkar dan menjauhkan diri) atau i`eradh (tidak bertegur sapa dan tidak bermesra) dia bolehlah menawarkan sulh kepada suaminya. Sulh boleh berlaku melalui tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan. Sulh juga berlaku melalui tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain.
Tiga Peruntukan
Biarpun tiada seksyen khusus untuk sabitkan suami sebagai nusyuz atau berdosa kerana gagal laksana tanggungjawab kepada si isteri, perlu diketahui terdapat tiga peruntukan yang boleh digunakan untuk mensabitkan suami sebagai nusyuz dan dikenakan hukuman iaitu peruntukan seksyen 120, 127 dan 128 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan yang serupa dengannya di setiap negeri di seluruh Malaysia.
Peruntukan seksyen 120 menyebut: “Jika seseorang telah tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, isteri itu boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya.”
Sementara seksyen 127 dan 128 pula menyebut: “Seseorang yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.” dan “Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”
Jangan Terlalu Bangga
Bermaksud; bagi para isteri yang berhadapan dengan suami yang sengaja ingkar atau enggan melaksanakan tanggungjawab yang patut sebagai seorang suami, boleh gunakan mana-mana daripada peruntukan ini untuk mengisytiharkan suami sebagai gagal laksana peranan atau nusyuz.
Paling penting; gunakan peruntukan yang ada ini untuk memberi amaran kepada pasangan sama ada suami atau isteri bahawa dirinya sedang diperhatikan dan kegagalannya melaksanakan tanggungjawab yang wajar dan patut menurut syarak sedang dipertimbangkan sama ada untuk teruskan perkahwinan atau pun tidak. Berkemungkinan dengan adanya perbicaraan mengenai kes nusyuz ini, pasangan akan tersedar daripada kelalaiannya.
Buat para suami, jangan mendabik dada berbangga kerana anda lelaki dan berstatus suami yang diiktiraf sebagai ketua keluarga dan diberikan hak untuk merestui dan meredai isteri, maka anda terlupa atau sengaja lupa untuk akur bahawa anda juga manusia yang mempunyai tanggungjawab kepada Allah untuk menjaga amanah anda iaitu isteri anda sebaiknya. Jangan seronok mengatakan syurga isteri anda berdasarkan reda anda kepadanya sedang syurga anda sendiri belum pasti pintunya…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...