mak ayah

Masalah dalaman sesebuah keluarga diuji dengan giliran siapa nak menjaga mak ayah uzur yang kadang meninggalkan parut dalam hubungan adik beradik disebabkan saling tunding jari sampai dendam itu pun diwarisi.

Kalau bukan kerana takut kepada Allah ramai yang patah semangat mengambil tanggungjawab berat ini. Tapi sebab sentiasa teringat dengan ancaman keras terhadap anak yang derhaka membuat kita sentiasa bermuhasabah:

“Jika salah seorang di antara keduanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya (sebarang perkataan kasar) Uh.. dan janganlah kamu menengking dan menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’ ayat: 23)

Cabaran-cabaran yang biasa dihadapi anak-anak yang menjaga ibu bapa dan mertua adalah:

GILIRAN JAGA

Ada kalanya ibu bapa hanya mahu tinggal di rumah anak yang dirasakan lebih ‘kaya masa’ daripada kaya harta bukan kerana ibu bapa kita pilih kasih tapi normal bagi orang yang dahagakan kasih sayang dan perhatian.

Tolonglah anak-anak… bukan bermakna yang kaya tak baik melayan ibu bapanya bahkan sesetengah keadaan orang tua suka memuji anak-anaknya yang berduit kerana mereka lebih bermurah hati menolong keluarga. Bukan pula menidakkan kasih anak yang tak berapa kaya harta, biasanya anak yang kaya hati paling disayangi. Hanya malang bagi anak yang sudahlah tak kaya harta hatinya pun miskin, tak beradab pula dengan orang tua!

IKLAN

Sudahlah tak mahu menjaga ibu bapa atau mentua dengan alasan kerja di pejabat membebankan semasa cuti pun tak rasa berdosa pergi melancong, lalu bila lagi mahu menjaga ibu? Padahal Allah lebih suka seorang hamba menangguhkan jihad semata-mata mahu menjaga ibu bapa, inikan mahu bercuti saja tanpa ingat tanggungjawabnya?

Rasulullah s.a.w bersabda: Abdullah bin Umar berkata: Saya telah bertanya kepada nabi s.a.w: “Apakah perbuatan yang dicintai Allah? Lalu baginda s.a.w bersabda: Solat pada waktunya. Kemudian apa? Tanya saya lagi. Baginda bersabda: berbakti kepada ibu bapa. Saya bertanya: Apalagi? Baginda s.a.w bersabda: Berjihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MAMPU ATAU TIDAK

Masalah pilihan dan pergiliran hendaklah mengikut kemampuan dan kata sepakat bersama, janganlah sampai lepas tangan tak pedulikan ibu bapa dan mentua yang uzur disebabkan berasa saudaranya lebih mampu daripada kita. Jika nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Allah Maha mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati.

IKLAN

LAYAN EMOSI

Kalau tak mampu dari segi harta, cuba mampukan diri meluangkan masa atau menyumbangkan tenaga menjaga mereka, cara itu tak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Cuba isi kekosongan hati ibu dan ayah dengan gurauan dan pandai-pandailah mengambil hati saudara kita yang sudah bersusah payah menjaga mereka.

Jangan disalah tafsir kadang-kadang ibu bapa mengadu tentang layanan buruk yang diterima, jangan sesekali kita terbawa emosi tanpa usul periksa, bukan disebabkan tak percaya dengan aduan ibu bapa kita tapi mungkin mereka menyalah tafsir layanan anak menantu yang tinggal sebumbung itu.

Ya, hati memang mudah terluka, sedih dan terasa jika usia dan hormon semakin berubah. Kita perlu belajar psikologi orang tua yang tak sama dengan orang muda, oleh itu kesabaran amat bernilai dalam hubungan kekeluargaan sebegini.

IKLAN

MAK AYAH ATAU MENTUA?

Perkara paling sulit dilalui seorang anak adalah apabila terpaksa menghadapi dilema, siapa yang sepatutnya ditaati dan diikut apakah ibu bapa atau mentua? Di sebalik isu ‘menyebelahi siapa’ eloklah disuburkan suasana rundingan yang saling menghormati antara ibu bapa dan mentua.

Tak mustahil jika semua sepakat duduk dalam meja rundingan yang tiada siapa dilebihkan dari yang lain lama kelamaan proses adaptasi antara ibu bapa dan mertua akan berjalan dengan mudah.

Tak bermakna segala yang orang tua cakap adalah betul dan tak boleh disanggah sama sekali, bahkan agama kita mengajar untuk memberi setiap orang haknya, agama kita bukan otoritet! Hanya saja cara penyampaian yang mesti dielokkan sehalus mungkin dalam meluahkan bangkangan terhadap suatu isu yang melibatkan orang tua dan mentua.

Selagi mana orang tua dan mentua menjadi prioriti utama selayaknya anda mendapat penjagaan yang sempurna dari Allah SWT. Menjaga mereka adalah ibadat yang kedudukannya nombor dua terbaik selepas tauhid dan memelihara mereka diutamakan daripada jihad di jalan Allah. Adakah kita masih memberi alasan tak munasabah di hadapan Allah nanti?

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI