Ibu muda mungkin baru dengar nasi lemuni ini. Pokok lemuni sejenis pokok herba banyak dijumpai di kampung-kampung. Di pekan agak sukar mahu temuinya. Ada juga pencinta herba yang menanam untuk dijadikan campuran nasi ulam.
Rupa-rupanya daun lemuni ini amat bermanfaat untuk ibu selepas bersalin yang dah nak habis pantang. Ini perkongsian resepi berpantang daripada Puan Zahwani Mohd Nor. Katanya ini resepi turun temurun.
“Pernah tak dengar nasi daun lemuni. Kalau orang utagha ni besa sangat dah ni. Kak Wani orang Melaka. Tapi disebabkan campuran dari Perak (sebelah mak), biasa jugalah dengar nasi daun lemuni ni. Terutama sekali masa dalam pantang.”
” Kisahnya, di bahagian Melaka, susah sikit nak jumpa pokok daun lemuni. Tiga kali bersalin, akhirnya berjodoh juga. Dapat makan nasi daun lemuni sebab pokoknya baru dapat hidup. Syukur. Nak tau macam mana rupa pokok lemuni, tengok kat gambar bawah ni.”
Kenapa Nasi Daun Lemuni
Ada banyak sangat khasiat. Bagus untuk peredaran darah. Adat orang tua-tua yang menjaga orang berpantang ni, nasi lemuni ini dibuat apabila sudah cukup 42 dan 44 hari berpantang.
AWAS!
Nasi lemuni tak sesuai untuk mereka yang mudah pitam. “Masak untuk orang boleh. Baca dan Share resepi Kak Wani untuk orang lain pun boleh sangat.
“Ini resepi tok nenek turun temurun ni. Doakan susur galur Kak Wani semoga dicucuri rahmat Allah selalu. Okey.”
“Nasi ini bagus untuk membuang angin dalam badan dan menjadikan badan ibu rasa lebih ringan dan segar. Sila expect untuk berlaku angin ribut puss puss dalam badan anda. Kalau makan berjemaah bersama keluarga, lepas makan duduk dalam jarak jauh naaa.” .
Bahan-bahan Nasi Lemuni Untuk Ibu Tamat Pantang
Segenggam daun lemuni
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam
Halba
1 inci halia
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cawan beras
Santan
Garam
Follow cara-caranya
1. Kisar halus bahan kecuali santan dan garam.
2. Basuh beras dan toskan
3. Masukkan bahan kisar ke dalam beras tadi
4. Campurkan santan dan sukat air secukupnya.
5. Masak seperti masak nasi lemak. Jangan lupa perasakan dengan garam ye.
Makan Nasi Lemuni Dengan Lauk Ikan Berempah
Nasi lemuni untuk ibu berpantang sesuai dimakan bersama lauk ikan berempah. Caranya seperti di bawah:-
Sediakan Bahan-bahan Lauk Ikan Berempah
Ikan seperti ikan merah
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam
Halia
Bawang merah
Bawang putih
Kunyit
Santan
Cara-caranya
1. Goreng ikan merah seperti biasa dan ketepikan
2. Semua bahan kecuali ikan dikisar halus.
3. Tumis bahan kisar hingga naik minyak
4. Tambahkan santan
5. Masukkan ikan goreng tadi.
6. Reneh sehingga kuah agak kering
Nasi daun lemuni dengan ikan rempah siap dihidang dan dimakan panas-panas untuk ibu menamatkan lauk pantangnya. Selamat mencuba!
Sumber / Foto : Facebook Zahwani Mohd Nor, Harian Metro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI