Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bukan mudah memikul tanggungjawab menjaga anak yang mempunyai masalah kesihatan dari kecil. Apatah lagi mempunyai kekurangan deria penglihatan yang membuatkan dirinya ‘kelihatan’ berbeza berbanding kanak-kanak lain.
“Nanti Ayra kat syurga, nak minta dengan Allah… mata warna pink (merah jambu),” itu permintaan Nur Adriana Ayra Kamarudin atau mesra disapa Ayra yang dilahirkan dengan masalah penglihatan pada mata kirinya.
Ibunya, Norazah Launah, 45, berkata Ayra, 4, adalah anak bongsu daripada enam beradik dan satu-satu cahaya matanya yang mempunyai masalah penglihatan.
Menurutnya, dia diberitahu keadaan dialami Ayra itu mungkin berpunca daripada masalah diabetes dihadapinya ketika hamil.
Katanya, meskipun begitu, dia dan suami, Kamarudin Ahmad, 45, amat menyayangi Ayra yang dianggap amat istimewa kerana petah berkata-kata sehingga adakalanya dia terkedu dengan pertanyaan terutama berkaitan mata.
“Pernah sekali, Ayra pulang dari sekolah (tadika), dia terus pergi ke cermin melihat wajahnya lalu bertanya kepada saya mengapa dia tiada mata.
“Memang sedih dengar pertanyaannya itu, tetapi untuk tenangkannya, saya beritahu Ayra yang matanya istimewa dan Allah kurniakan begitu kerana sayangkannya.
“Saya beritahu lagi di dunia tiada (mata), tetapi di syurga boleh minta apa saja dengan Allah,” katanya
“Seorang guru menghubungi saya dan memberitahu ada doktor datang untuk memeriksa mata di tadika. Saya pun jumpa doktor berkenaan dan dimaklumkan mata Ayra boleh dirawat.
“Doktor bagaimanapun tidak beri ubat, tetapi saran untuk menyapukan balm dengan bawang putih kemudian berselawat dan urut di belakang telinga Ayra kerana di situ ada urat matanya.
“Ada satu masa, saya tak buat namun Ayra datang ke bilik dengan bawa balm dan minta urut hingga membuatkan saya rasa serba-salah jika beri harapan kepadanya kerana nampak dia benar-benar mahukan mata seperti orang lain,” katanya.
Katanya, keluarganya mahupun suami menerima Ayra seadanya.
“Keluarga faham, malah tidak pernah lagi orang keliling ejek Ayra ketika saya bawanya keluar berjalan. Bagaimanapun, Ayra pernah mengadu ada yang kata matanya buta di tadika.
“Seperti biasa, saya pujuknya dengan mengatakan dia tidak buta, tetapi Allah ‘ambil’ matanya sekejap dan akan bagi balik.
“Jujurnya, saya sudah reda. Alhamdulillah, dia tiada penyakit,”
katanya.Mesti Baca:Luka Di Paru-Paru Semakin Pulih, Sekali Sekala Ada Buka Mata & Tidur Semula
Baca Lagi Di Sini:Wanita Mahu 20 Cahaya Mata, Gembira Teruja Mengandung Anak Ke-17
Mingguan Wanita: Adik Ayra tetap istimewa walaupun Allah ambil mata sekejap. Semoga Allah gantikan di syurga dengan lebih baik.
Sumber: Hmetro
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.