Profil peribadi wanita ini cukup cemerlang. Bertugas sebagai seorang guru untuk subjek Bahasa Melayu buat pelajar tingkatan enam di SMK Merbau, Miri ini mempunyai obsesi sihat yang wajar dicontohi. Nancy Thomas merupakan isteri kepada Werry Lipi dan ibu kepada dua cahaya mata; Vaughn Xavier Werry (11) dan Vyril Xaccary Werry (7) adalah anak kelahiran Belaga, tetapi kini menetap di Miri, Sarawak.

Terdahulu sekitar tahun 1997, wajahnya pernah menjadi penghias majalah Remaja memandangkan dia adalah salah seorang peserta pencarian dewi remaja mewakili Bumi Kenyalang. Juliana Banos, Rita Rudaini, Julia Hana, Wardina Safiyya dan model Mimie Aziz antara saingan Nancy ketika itu. Memenangi gelaran Miss Friendship, menurut Nancy lagi pendedahan itu amat bermakna buatnya yang ketika itu baru berusia 19 tahun.

Selain tugas hakikinya sebagai isteri, ibu dan pendidik…Nancy seperti mendapat kesedaran baru untuk lebih peka dengan kesihatannya berpunca daripada isu berat badan yang dialami pasca melahirkan anak bongsunya.

“Hobi bersenam secara konsisten bermula tahun 2016 setelah saya menghadapi masalah berat badan selepas melahirkan anak kedua. Berat saya naik 10kg menjadi 64 kg dalam masa sembilan bulan akibat gaya hidup yang tidak aktif dan hobi saya suka memasak resipi baru dan saya sendiri yang makan selepas itu.

“Saya kemudian mengambil keputusan untuk mengubah lifestyle saya selepas saya mengalami masalah berat badan dan tekanan darah saya sangat rendah. Akibatnya saya kerap penat dan berasa nak pitam. Saya kemudian mendaftarkan diri dalam program cabaran Jom Kurus atau JK1M musim ketujuh di bawah kendalian Coach Helmi Ajai.

“Di situ saya berjaya menurunkan 7.5 kg dalam tempoh enam minggu. Saya berada di kedudukan tangga ke tujuh di peringkat kebangsaan ketika itu. Selepas berjaya menurunkan berat badan, saya meneruskannya dengan melibatkan diri dalam dunia gimnasium.

“Pada tahun 2018 juga menjadi permulaan saya menyertai hobi larian dan hobi ini satu medium latihan kardio buat saya supaya ia seimbang dengan latihan strength (angkat berat) yang sedang saya jalani. Selepas aktif bersenam dan menjaga pemakanan, tekanan darah saya kembali normal. Terkini berat badan saya 53 kg dan saya dalam fasa mengekalkan angka itu,”kongsinya mengenai perjalanannya menjalani kehidupan lebih sihat.

Nancy Thomas Dari Dewi Remaja Sarawak 1997 Ke Dunia Fitness

Medal simbol usaha gigih

IKLAN

Mingguan Wanita kagum melihat deretan medal dihiasi di satu sudut kediaman keluarga Nancy. Menurut Nancy itu adalah hasil penyertaan melibatkan dirinya, suami dan anak-anak sejak dua tahun lalu. Tambah Nancy lagi, tiap satu medal yang tergantung di situ mempunyai pelbagai kisah suka duka untuk dikenang.

“Setiap medal mempunyai ceritanya yang tersendiri. Ada suka dan ada duka. Ada juga beberapa kali saya naik ke podium mendapat tempat ke lima, ke tujuh dan ke sepuluh. Sejujurnya bukan nilai hadiah yang dikejar, kepuasan yang sebenar adalah apabila saya dapat membaiki masa larian. Medal yang paling bermakna saya peroleh adalah medal Half Marathon saya yang pertama pada Mac 2018. Paling tidak dapat dilupakan… dua hari selepas larian itu, kaki saya bengkak teruk dan saya berjalan seperti ketam kerana terlalu sakit.

“Medal yang paling banyak kenangan manis adalah semasa Borneo Marathon di Kota Kinabalu Mei 2019. Saya berjaya membuat rekod peribadi dalam Half Marahon 21 km masa itu iaitu 2 jam 16 minit dan rekod ini belum dapat saya pecahkan sehingga kini.

“Medal yang paling banyak drama dan tragedi pula adalah semasa Kuching Marathon Ogos 2019. Saya mengalami kejang otot sebanyak 3 kali di KM ke-16, Km ke-19 dan KM ke-20. Pengalaman berlari Half Marathon dalam keadaan hujan lebat dengan guruh dan kilat pada peringkat permulaan sehinggalah penghabisan larian. Masa menerima medal, saya menangis sebab kecewa kerana tidak dapat membaiki masa peribadi semasa di Kota Kinabalu.

“Medal paling meriah pula adalah semasa Silent Run. Kumpulan Laksa Runner diberi penghormatan untuk memeriahkan majlis, kami memakai pakaian beragam untuk menghiburkan kanak-kanak. Saya dan suami memakai kostum superhero iaitu Superman dan Superwoman. Medal yang saya peroleh semasa Sarawak Day Run juga amat bermakna, sekali lagi kami Group Laksa Runner berlari dengan memakai pakaian tradisional kami. Gambar kami terpampang di muka depan surat khabar Sarawak ketika itu. Walaupun agak rumit berlari sambil mengenakan busana tradisional itu berat, tetapi memori disebaliknya membuatkan kami tersenyum apabila kembali bercerita tentang momen itu,”ceritanya.

Nancy Thomas Dari Dewi Remaja Sarawak 1997 Ke Dunia Fitness

IKLAN

Cabaran untuk kekalkan berat ideal

Menyedari usianya sudahpun memasuki fasa 40-an, kepekaan terhadap kesihatan dalaman dan risiko penyakit kronik menyebabkan wanita ini memilih untuk mengekalkan usaha yang dilakukan sejak tiga tahun lalu. Beliau juga beruntung, kerana minatnya ini turut sama dikongsi bersama-sama suami dan anak-anak.

“Selama tiga tahun saya sudah berjaya mengekalkan momentum senaman saya baik di gim mahupun larian. Lima hari seminggu saya dan suami akan peruntukkan dua jam (6.00 petang ke 8 malam) ke gimnasium untuk latihan beban sementara menunggu anak-anak habis kelas tuisyen.

“Manakala, Rabu dan Sabtu kami lakukan latihan larian. Lazimnya hari Sabtu kami akan bangun seawal jam 4 pagi untuk latihan LSD. LSD adalah sejenis latihan jarak jauh perlahan dan jarak jauh sederhana, atau dalam bahasa Inggerisnya “Long Slow Distance”. Kalau mampu kami akan lari sehingga 21KM.

“Sejujurnya tiada sasaran yang ingin saya impikan, sebaliknya saya hanya ingin mengekalkan tahap kecergasan saya memandangkan usia sudah mencecah ‘four series’. Saya hanya berusaha untuk kekalkan berat saya 53kg dengan bodyfat sekarang 18%.

“Selain itu saya ingin berkempen kepada golongan ibu supaya menjaga kesihatan diri, tidak mengabaikan diri kerana kita perlu sihat bagi menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Anak-anak memerlukan kita. Saya juga ingin buktikan wanita bekerjaya, melahirkan anak secara pembedahan juga mampu membahagikan masa antara tugas hakiki, menjaga keluarga dan aktif dengan hobi sihat sebegini,”luahnya jujur.

IKLAN

Dunia landskap Nancy

Selain aktif dalam bidang hobi menyihatkan, Nancy juga berbakat dalam dunia tanaman dan landskap. Apa yang membanggakan sentuhannya dalam mengubah langskap kediamannya bergelar johan untuk dua kali berturut-turut   anjuran Majlis Bandaraya Miri, Sarawak.

“Minat berkebun bermula dari kecil apabila terbiasa melihat ibu saya yang juga seorang petani bercucuk tanam. Saya pula lebih cenderung kepada tanaman landskap. Semua aktiviti menata rias laman akan dilakukan pada hujung minggu selepas saya latihan larian.

“Penat lelah saya dirasakan berbaloi apabila laman rumah saya pernah bergelar johan sebanyak dua kali dalam Pertandingan Laman Cantik Kategori rumah Banglo anjuran Majlis Bandaraya Miri tahun 2017 dan 2018. Tahun ini saya masih menyertai, cuma penghakiman belum lagi dijalankan.

“Sebelum ini saya juga menanam sayur, tetapi kekangan membuatkan saya beralih kepada tanaman mencantikan landskap. Sayur-sayuran memerlukan penjagaan rapi dan perlu dijaga sentiasa.

“Sesungguhnya kebahagiaan berkebun buat saya apabila saya melihat bunga-bunga saya hidup subur dan berkembang dengan cantik sekali. Rumput-rumput yang dijaga juga menghijau sihat. Lazimnya awal pagi dan lewat malam saya akan bersantai di laman menikmati semua yang saya tanam.

“Itulah kepuasan yang amat sukar digambarkan kerana semuanya saya buat sendiri tanpa mengupah orang lain. Saya seronok kerana dalam kesuntukan masa mengajar dan bersenam, masih ada ruang untuk saya berkarya iaitu berkebun.

“Bagi yang baru berjinak-jinak dalam dunia seni tanaman saya syorkan tanam bunga-bunga yang tidak memerlukan penjagaan yang rapi terlebih dahulu seperti bunga jenis daun. Begitu juga kalau yang berminat hendak menanam sayur, mulakan dengan menanam pokok-pokok herba terlebih dahulu seperti halia, cili, serai wangi, daun limau purut atau yang asas-asas sahaja. Jika sudah mahir boleh beralih kepada tanaman seperti kangkung dan sawi,”kongsi wanita mengenai sisi hidupnya yang menarik boleh dijadikan panduan buat pembaca Mingguan Wanita di luar sana.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI