
Tak mudah melalui ujian keletihan mengandung ini sebenarnya. Itu belum lagi morning sickness sehingga langsung tak boleh telan makanan, ‘mood swing’ dan macam-macam lah. Setiap kehamilan itu berbeza, mengandung anak kedua ke pertama atau ke berapa pun, dugaan untuk ibu hamil itu sememangnya hebat.
Seharusnya suami faham dengan keadaan isteri yang tak berdaya semasa hamil. Jangan sesekali dicop mengada, apatah lagi disindir dengan kata-kata yang buat kecil hatinya. Dia punya terasa sampai bayi dalam kandungan pun boleh dapat kesannya.
Tertarik dengan perkongsian pelakon Saharul Ridzwan untuk menzahirkan rasa kasih terhadap isteri, Deena Emir yang ketika ini mengandung anak kedua mereka.
Katanya, keadaan isteri kali ini berbeza dengan kehamilan anak sulung mereka, Muhammad Luth Ali. Kali ini, isterinya nampak kepenatan. Dan inilah doa yang suami ini kongsikan untuk isterinya.
Beza Mengandung Anak Kedua..
Dua tiga hari ni, selalu saya tenung muka dia waktu dia tidur. Nampak kepenatan dia time mengandung kali ni. Berbeza waktu mengandungkan Ali dulu.
Kali ni dia malas nak bersiap, nak ambik gambar pun tak ada mood, update ig sendiri pun dah lupa kot. asyik terbaring je sebab penat sangat, dah lepas 1st trimester ni pun still muntah-muntah lagi. Terima kasih sayang.

Besarnya pengorbanan awak sebagai isteri dan jugak ibu. Kalau boleh saya hadiahkan apa-apa untuk pengorbanan awak ni, saya akan usahakan, tapi awak tak ada mintak apa-apa pulak.
“Ya Allah, kurangkanlah keletihan isteriku. Berikanlah dia kekuatan mengharungi membawa “nyawa” baru dalam hidup kami sekeluarga. Ampunkanlah segala dosa-dosanya, limpahkanlah rahmatmu kepadanya dan jadikanlah aku sebaik-baik suami kepadanya. Amin Ya Rabb”
Thank you sayang @deenaemir
MW : Semoga ramai lagi suami di luar sana yang menghargai isteri yang sedang hamil. Yang sedang membawa nyawa baru dalam keluarganya.
Sumber/Foto : Saharul Ridzwan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tolong Jangan Pegang Perut Aku & Tanya Dah Ada Isi Ke?!” Siti Elizad Berang Soalan Makcik Bawang Pasal Anak

Soal anak, jodoh, berat badan adalah antara perkara sensitif untuk dijadikan bahan gurauan mahupun topik bersembang. Dalam meraikan Aidilfitri ketika ditebak dengan soalan-soalan ini oleh makcik-makcik bawang, memang boleh hilangkan mood untuk terus beraya.
Baru-baru ini, pelakon Siti Elizad ada meluahkan perasaan berang dan terkilan didalam ig story dan twitternya dengan tindakan segelintir tetamu yang sering bertanya soalan berkaitan cahaya mata kepadanya ketika sedang sibuk meraikan Aidilfitri. Elizad atau Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, menyifatkan soalan-soalan yang diajukan tersebut sebagai sensitif dan tidak menghormati perasaan orang lain.
“Kepada makcik-makcik bawang, yang kepochi (kepoh) masa beraya, ini aku nak cakap sikit bagi lekat dekat kepala. Soalan di hari raya, bila nak ada anak? Bila nak buat anak? Tak ikhtiar ke? Cara tak betul ke?
“Mari sini aku nak cakap aku ni manusia biasa, jadi tiada jawapan untuk semua itu,” tulisnya di Twitter dan Instagram miliknya pada Selasa.
Elizad telah mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015. Lebih jengkel lagi kata Elizad, pertanyaan tersebut diikuti dengan tindakan memegang dan mengusap perutnya. Pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu berkata, pertanyaan tersebut juga menjejaskan emosinya untuk beraya.
“Sekarang aku faham macam mana budak-budak bujang yang belum ada jodoh, kau sibuk tanya bila nak kahwin? Aku yang sudah kahwin belum ada anak orang sibuk tanya bila nak ada anak?
“Pegang-pegang perut aku sambil cakap belum ada isi ke dalam? Menunjukkan betapa ceteknya didikan kau, kau rasa seronok ke melawak tentang benda tu semua?” ujarnya.
Elizad mengingatkan agar orang ramai tidak lagi bertanya tentang itu kerana ia bukanlah satu gurauan. Tambahnya, sebagai seorang manusia biasa, dia sendiri tidak mengetahui rezeki dan jalan hidup yang sudah disusun untuknya.Malah, dia juga mempunyai harapan untuk dikurniakan cahaya mata seperti mana pasangan suami isteri lain.

“Berhenti bertanya soalan begitu. Kalau tiada soalan nak tanya atau tidak reti bergurau lebih baik diam.
“Belajarlah menghormati perasaan orang sebab itu aku ni jenis tidak lama beraya dekat rumah orang,” katanya.
Ada benarnya apa yang diluahkan oleh Siti Elizad ni. Tak perlulah bergurau atau tanya isu-isu sensitif musim-musim raya ni. Daripada elok nak merapatkan hubungan silahturahim jadi sebaliknya pula, bermasam muka dan berkecil hati.Doakan je yang baik-baik. Semoga Siti Elizad banyakkan bersabar dan dimurahkan rezeki dengan anak satu hari nanti.
Sumber: Instagram & twitter Elizad Sharifuddin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pegawai Farmasi Ini Kongsi Jenis Ubat Berhenti Merokok & Cara Dapatkannya Di Klinik/Hospital Kerajaan

Isi Kandungan
ToggleBerita baik buat para perokok yang nekad untuk berhenti merokok. Rupanya selain nekad berusaha sendiri, rupanya ada jenis ubat yang boleh diambil boleh membantu untuk hentikan tabiat ini.
Berikut merupakan perkongsian daripada Faiz Akmal Mfa, yang merupakan
Pegawai Farmasi di Klinik Kesihatan sebagai rujukan.
TAHUKAH ANDA BAHAWA ADA UBAT UNTUK BERHENTI MEROKOK?
Ini adalah salah satu ubat untuk berhenti merokok yang dah pun ada di kebanyakan klinik dan hospital kerajaan seluruh Malaysia sekarang ini.
Nama ubat: Varenicline
Jenama ubat: CHAMPIX
Kekuatan sebiji ubat: 0.5mg dan 1mg
Keluaran kilang: Pfizer, Jerman
Harga satu kotak ubat: Lebih kurang RM90
Macam mana nak dapatkan ubat ini?
1. Pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan yang menawarkan perkhidmatan KLINIK BERHENTI MEROKOK. Daftarkan diri anda.
2. Anda akan diberi kaunseling terlebih dahulu oleh doktor atau penolong pegawai perubatan atau pegawai farmasi berkenaan cara-cara untuk berhenti merokok (tanpa melibatkan ubat).
3. Selepas anda menjalani beberapa siri kaunseling dan temuramah, dan jika anda menepati kriteria yang diperlukan, anda akan dimulakan dengan rawatan UBAT berhenti merokok ini.
4. Anda perlu berjumpa dengan pegawai farmasi untuk mendapatkan khidmat kaunseling ubat ini sebelum diberikan ubat tersebut.
5. Anda perlu tentukan dulu TARIKH BILA ANDA MAHU BERHENTI MEROKOK, dan ubat perlu dimakan 1-2 minggu sebelum tarikh tersebut.
Dalam SATU KOTAK UBAT ini, anda boleh lihat biji-biji ubat yang dah pun disusun dalam papan ubat mengikut MINGGU, HARI, dan MASA. (sila rujuk gambar).
Anda tinggal ikut sahaja aturan macam dalam papan ubat itu.
PADA HARI KE 1-3:
Anda perlu makan ubat 0.5mg SEKALI SEHARI (PAGI SAHAJA)
PADA HARI KE 4-7:
Anda perlu makan ubat 0.5mg DUA KALI SEHARI (PAGI & MALAM)
PADA HARI KE 8-14:
Anda perlu makan ubat 1mg DUA KALI SEHARI (PAGI & MALAM)
Perlu diingat, ubat ini sangat bagus dimakan BERSAMA-SAMA DENGAN SEDIKIT MAKANAN.
AMARAN: Ubat ini TIDAK SESUAI untuk pesakit yang ada MASALAH BUAH PINGGANG, WANITA YANG MENYUSUKAN ANAK, WANITA MENGANDUNG, dan KANAK-KANAK.
Kesan sampingan ubat ini biasanya adalah loya-loya, sakit kepala, tak boleh tidur, dan mimpi yang aneh, yang mana ianya tidaklah serius dan itupun bergantung pada setiap orang.

Ini adalah salah satu sahaja dari rawatan ubat untuk berhenti merokok. Dan ubat ini juga TIDAK MENGANDUNGI NIKOTIN.
Kuncinya, hati kena kental dan mental kena kuat jika ingin berhenti merokok.
Amat susah, tetapi tidak mustahil!
SEMOGA BERJAYA BUAT SEMUA YANG TEKAD INGIN BERHENTI MEROKOK!
Sekian,
Faiz Akmal Mfa,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Air Tawar 2,
Kota Tinggi, Johor.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Jadi buat mak-mak yang suami berhasrat untuk berhenti ketagihan merokok, boleh cuba ambil ubat ini seperti yang disarankan oleh Pegawai Farmasi ini.
Sumber: Faiz Akmal Mfa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
3000 Kenderaan DiArah BERPATAH Balik, Menteri Besar Kelantan Bimbang PERANTAU Ikut Jalan TIKUS

Isi Kandungan
ToggleSejak beberapa hari lalu berlaku peningkatan jumlah kenderaan dilebuhraya dalam usaha pulang ke kampung walaupun kerajaan tidak membenarkan perkara ini berlaku.
Rata-rata mereka seolah-olah tidak memikirkan soal kesihatan dan keselamatan masing-masing apabila tekad ambil keputusan untuk balik beraya di kampung halaman bersama keluarga di desa.
Buat masa sekarang, memang rata-rata beremosi kerana tak dapat balik beraya. Tetapi mak, ayah perlu ingat bahawa hampir 3000 kenderaan diarah berpatah balik.
Mahukah mak, ayah bazirkan masa, wang dan tenaga hanya kerana mengikut perasaan. Sementara itu, Menteri Besar Kelantan bimbang perantau pulang menggunakan jalan tikus untuk pulang ke kampung halaman.
3000 Kenderaan Diarah Berpatah Balik
Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, meningkat sekali ganda berbanding kelmarin.
Lebih 3,000 kenderaan dikesan cuba menghala ke kampung halaman semalam, berbanding 1,633 kenderaan kelmarin, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung untuk berhari raya, diarah berpatah balik oleh polis, semalam.
“Kelmarin ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun semalam meningkat lagi sehingga lebih 3,000.
“Ini bermakna jumlah mereka yang berminat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.
“Namun, polis akan bertindak tegas dan tidak akan benarkan sesiapa merentasi negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kecuali atas kes kecemasan seperti kematian dan kebenaran perlu diperoleh dari balai polis berhampiran,” katanya.
Sekatan Dibuat Bagi Memantau Pematuhan PKPB
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKPB di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan kompaun kepada 51 individu setakat semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
“Semalam, PDRM juga menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP, dengan 40 individu direman dan empat individu dijamin,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, memaklumkan PDRM melaksanakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri, semalam, dan memeriksa 318,082 kenderaan.
Selain itu, sebanyak 77,537 pemeriksaan dibuat semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan PKPB di seluruh negara, membabitkan 4,883 pasar raya, 4,572 restoran, 697 penjaja, 1,260 kilang serta 3,878 bank.
“Pemeriksaan juga dibuat di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air dan 107 terminal pengangkutan udara, dan memeriksa 32,670 kenderaan persendirian, 2,369 kenderaan awam dan 461 kapal.
“Turut diperiksa adalah 2,814 pasar awam, 3,894 tempat ibadah, 1,546 tempat riadah dan 462 tapak binaan,” katanya.
Menteri Besar Bimbang Perantau Ikut Jalan Tikus
Manakala menurut laporan Sinar Harian, Kerajaan Kelantan melahirkan kebimbangan dengan perantau yang ‘curi-curi’ balik ke negeri ini menggunakan laluan tikus semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tersebut sebenarnya berisiko kerana ahli keluarga mahupun sanak-saudara akan terdedah dengan bahaya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat mereka yang merentas negeri dengan cara tidak betul semata-mata mahu balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
“Mereka menggunakan jalan-jalan tertentu. Cara mana kita pun tidak tahu. Sedar-sedar mereka sudah ada di Kelantan.
“Saya nak nasihatkan, sebab ini berkaitan dengan kepentingan awam. Wabak Covid-19 masih tidak ada vaksin lagi,” katanya kepada media hari ini.
Minta Perantau Tidak Balik Ke Kelantan
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Bilangan 12 di Kompleks Kota Darulnaim yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Ahmad mengharapkan supaya kumpulan yang masih berada di luar Kelantan kekal tinggal di sana dan tidak sesekali merentas negeri tanpa kebenaran kerana ia adalah langkah terbaik untuk putuskan rantaian penyebaran Covid-19.

Baca ini:
Ibu Hamil Ditahan Di Singapura, Selamat Pulang Ke Tanah Air
Lebih Sebulan Kelantan Tiada Kes Baru, Wanita Hamil Rentas Negeri Positif Covid-19
Diingatkan Terus Patuh SOP
Katanya juga, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri rakyat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya penjarakan sosial.
“Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar rakyat kita masih tidak mematuhi arahan tersebut. Kita sendiri dapat melihat virus ini masih belum reda lagi, bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat dunia. Jadi semua kena patuh dengan arahan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebenaran jumlah jemaah menunaikan solat Aidilfitri dan solat berjemaah di negeri ini, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan terbaharu lagi.
“Ketepatan masih sama dengan yang sebelum ini. Kita masih menunggu keputusan dan ketetapan baharu dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.
Sumber: Berita Harian/ Sinar Harian
MW: Mak, ayah harus bersabar kerana keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya. Jangan terlalu ikutkan emosi hingga membahayakan nyawa sendiri dan juga keluarga. Walaupun kita semua beraya dalam normal baharu tetapi patuhilah sop yang telah ditetapkan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI